Thursday, June 4, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 3)

Wanita Dalam Zaman Moden
Wanita Muslimah menjadi sasaran propaganda kejam negara-negara kufur Kapitalis Barat. Mereka ingin mengeluarkan Muslimah dari kesuciannya dan hubungan sucinya dengan pihak lelaki untuk menjadi barang dagangan dan tempat memuaskan nafsu syahwat semata-mata. Sesungguhnya propaganda ini telah lama bermula sejak mereka mula menyerang umat dan usaha mereka semakin meningkat akhir-akhir ini, terutamanya selepas peristiwa 9/11. Bagaimanakah masyarakat dunia sebelum Islam dan zaman moden memandang wanita? Apakah perancangan Amerika Syarikat dan sekutunya, iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam isu ini?... Inilah yang akan kami jelaskan InsyaAllah Ta’ala.

Pada awal era tersebut hingga sebelum runtuhnya daulah Khilafah pada tahun 1924 Masehi, kaum wanita Muslimah hidup dalam naungan hukum-hukum syarak yang memuliakan dan meninggikan kedudukannya. Mereka dipandang dengan pandangan yang mulia.

Sementara wanita bukan Islam sama ada di Barat atau Timur, kedudukan mereka berbeza mengikut perbezaan agama, sistem dan adat yang mendominasi mereka. Wanita di Eropah adalah berbeza dengan wanita di Asia Tenggara, Afrika, Australia atau Amerika Latin.

Di Eropah, kaum wanita di beri beberapa hak dan keistimewaan, tetapi ia kurang dari lelaki. Di sana terdapat jurang yang nyata antara lelaki dan wanita. Kaum lelaki menguasai segalanya di bawah naungan kerajaan peninggalan agama Nasrani yang tunduk kepada kekuasaan Gereja. Keutamaan mereka adalah mempertahankan institusi raja-raja lebih daripada memelihara hak wanita atau lelaki. Keadaan wanita adalah seperti lelaki yang perlu berusaha untuk mendapatkan keredhaan gereja dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya. Mereka melihat kaum wanita ini dengan pandangan yang rendah dan hina.

Keadaan terus berlangsung demikian sehingga Kapitalisme mencetuskan revolusi industri. Maka mulailah para Kapitalis menyerukan pembelaan hak-hak wanita.

Manakala wanita di belahan dunia yang lain berada dalam keadaan yang lebih teruk dari keadaan wanita di Eropah. Di Afrika wanita adalah hina dan ia dipandang dengan pandangan yang rendah dan mereka boleh diperhambakan. Lalu dijual dan dibeli untuk bekerja dalam satu-satu pekerjaan sama ada di rumah, ladang atau sebagainya. Di negara yang lain pula keadaan wanita sama dengan keadaan di Afrika kecuali isu hamba abdi.

Sementara wanita Muslimah sebelum runtuhnya Khilafah berada pada kedudukan yang baik, memiliki hak dan penghormatan yang lebih banyak. Ini menyebabkan mereka berhadapan dengan dengki dan ancaman tipudaya Barat yang menghendaki keburukan untuk mereka. Berlakulah usaha untuk merosakkan wanita Muslimah kerana ia akan membawa kerosakan kepada seluruh masyarakat Islam. Barat menyedari bahawa merosakkan wanita tidak akan berjaya melainkan dengan menggoncang pegangannya dan iltizamnya kepada hukum-hukum syarak yang dikhususkan untuk wanita. Dengan demikian mudahlah menjauhkan mereka dari kemuliaan dan melemparkan mereka kepada kehinaan. Barat mengkaji dengan bersungguh-sungguh untuk mencari cara yang dapat merealisasikan hal tersebut dan menyampaikan kepada munculnya seruan kepada persamaan antara lelaki dan wanita. Barat juga telah mendorong mereka untuk menuntut hak-hak mereka. Percubaan pertama telah dilakukan ketika Napoleon Bonaparte menakluki Mesir pada tahun 1798 Masehi. Beliau berusaha untuk menggesa Muslimat menentang sistem yang diterapkan ke atas mereka iaitu Islam. Pada era Muhammad Ali al-Kabir dan para penggantinya, Daulah terbuka kepada Barat. Beberapa utusan dikirim ke Eropah. Ruang pengutusan misionaris juga terbuka untuk memasuki negara yang berada di bawah pemerintahannya. Kaum Nasrani menguasai kawasan Syam dalam kesempatan ini dengan pertolongan para misionaris tersebut. Mereka bergerak cergas dalam bidang kewartawanan dan kesenian termasuklah di Lubnan dan Mesir. Perhatian yang lebih diberikan kepada Mesir dengan menempatkan isu wanita di sana sebagai isu yang besar oleh pihak Barat. Mereka mengerah segenap upaya di sana dan menggunakan semua teknik yang keji untuk merealisasikan tujuan-tujuan mereka. Di sana, mereka mewujudkan semua perkara yang dapat merosakkan manusia bahkan mereka menyebarkan keburukan mereka melalui filem dan drama seks bersiri dan sebagainya. Ia menyebabkan tersebarnya kekejian di banyak negara di dunia Islam. Di Mesir, Qasim Amin membuka pintu seruan yang keliru yang mengajak kepada pembebasan wanita yang disahut oleh orang-orang yang berkepentingan. Mereka membuka sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan demikian juga tersebarnya sekolah-sekolah asing di Mesir. Pada awalnya orang-orang kaya dan para pemerintah menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah ini kerana menginginkan anak-anak mereka mengikut orang Barat. Selanjutnya ia diikuti oleh masyarakat umum yang lainnya.

Di samping itu, Barat menjaga usaha untuk merosakkan wanita Muslimah dan menunjuk-nunjuk dengan seruan pembebasan mereka, sesungguhnya di tempat lain di dunia ini, iaitu di negara bukan Islam sejak kedatangan ideologi Kapitalisme mula berusaha untuk mendapatkan hak-hak mereka dengan dorongan dari seruan-seruan yang jelas menuntut keadilan dan pembebasan mereka dari penguasaan gereja dan kaum lelaki. Ramai sejarawan yang melaporkan bahawa pada tahun 1792 Masehi adalah permulaan gerakan wanita Eropah, iaitu merupakan tahun tersebarnya buku (Mary Wilson) di British yang bertajuk “Mempertahankan hak-hak wanita” yang mendapat sambutan kaum wanita di banyak negara Eropah.

Pada tahun 1859 Masehi telah diterbitkan buku “Asal-usul Spesis” oleh Darwin dan disebarkan di dalamnya teori mengenai evolusi yang menggugat akidah Nasrani yang mengatakan bahawa benda-benda adalah tetap dan tidak berubah. Darwin datang dengan mengatakan: “Di sana tidak terdapat tujuan yang tetap pada benda-benda dan bahawasanya manusia wujud sebagai hasil daripada proses evolusi yang lambat yang mengambil masa jutaan tahun”. Darwin juga menyentuh mengenai institusi keluarga dengan berkata: “Keluarga dengan konsepnya yang lama adalah sesuatu yang indah pada masa lalu dan munasabah untuk peringkat tertentu dari evolusi, dan konsep ini tidak penting lagi pada hari ini dan tidak juga indah, bahkan tidaklah penting untuk adanya keluarga secara mutlak kerana keperluan-keperluan masyarakatlah yang membentuk keluarga.”

50 tahun selepas Darwin, muncul orang yang lebih ekstrim iaitu seorang Yahudi (Sigmund Freud) yang mengatakan “Seks adalah segalanya dan segalanya datang dari seks.” Orang yang mempunyai dua jantina digalakkan agar keluar dari kongkongan yang dipaksakan ke atas mereka. Dia menyeru mereka agar mempraktikkan pemuasan seks. Lalu terbitlah buku-buku mengenai seks dan syair-syair yang disusun supaya pembaca menikmati nafsu seks dan muncullah lakonan dan pementasan yang mengeksploitasi tubuh wanita dan kewanitaannya yang mewujudkan suasana baru bagi wanita di Eropah.

Keadaan baru ini telah terefleksi pada undang-undang yang diterapkan di negara-negara Barat dan yang dahulunya terdapat kekangan terutamanya yang melibatkan wanita. Mereka mula mengadakan seminar-seminar untuk mengkaji undang-undang ini dan mengubahnya sehingga undang-undang mereka yang baru kosong dari sebarang nilai spiritual atau akhlak mahupun kemanusiaan. Kebahagiaan menurut mereka adalah mendapatkan setinggi-tinggi kepuasan jasmani yang antaranya adalah menikmati seks. Wanita menjadi tidak mempunyai nilai jika mereka hodoh, menderita penyakit, tidak berupaya atau telah tua. Nilai wanita terletak pada umurnya yang muda, kecantikannya serta daya tarikan seksualnya. Mereka mula mengamalkan kebebasan individu. Melepaskan diri dari ikatan kekeluargaan ataupun ikatan yang lain, lalu amalan yang rendah dan hina itu diiktiraf oleh undang-undang. Mereka memuaskan nafsu di rumah-rumah murah yang dilindungi oleh polis dan undang-undang. Mereka meminta bangsa dunia untuk mengikut amalan mereka dan mula memasarkan kebebasan ini kepada sebahagian besar bangsa di dunia dengan nama demokrasi, khususnya kepada bangsa yang dijajah di dunia Islam. Mereka melihat Mesir dengan serius kerana kepentingannya dan bahaya kedudukan geografinya kerana ia bersambung dengan negara Syam di satu sempadan dan Sudan dan beberapa negara Utara Afrika di sebelah yang lain. Ia juga mempunyai pengaruh ke atas seluruh umat Islam. Oleh yang demikian, ketika British menjajah Mesir, mereka memberi perhatian khusus terhadap isu wanita, antaranya mereka boleh merosakkan wilayah negara Islam melalui filem-filem wayang dan pementasan, nyanyian dan buku-buku yang memasuki setiap rumah. Sempurnalah usaha mereka untuk merosakkan wanita di negara ini oleh mereka yang digelar reformis dari kalangan para pemikir dan sasterawan yang menyambut seruan yang sesat ini di atas nama pembebasan wanita.

Pegawai British di Mesir (Lord Kromer) telah menyatakan sejauh mana keprihatinan Inggeris terhadap wanita Muslimah ketika dia mengatakan dalam laporannya yang ditujukan kepada ahli politik Britain: “Sesungguhnya situasi wanita di Mesir dan di negara Islam adalah halangan terhadap usaha meninggikan tahap pemikiran dan personaliti, yang perlu untuk membantu masuknya tamadun Barat ke dalam negara umat Islam. Jika tamadun ini mahu memperolehi faedah yang sebaik mungkin maka di hadapan kita tiada lain melainkan program pendidikan terhadap wanita”, Beliau (Lord Kromer) perintis terhadap perubahan wanita Mesir. Pada tahun 1898 Masehi beliau menulis: “Sesungguhnya lambatnya kemajuan (Mesir) adalah disebabkan pandangan umum yang menyebabkan tidak wujud kepedulian yang serius terhadap pendidikan anak perempuan.”

Kemudian dia kembali semula pada tahun 1900 Masehi dan menulis: “Sesungguhnya perubahan terhadap pandangan umum rakyat Mesir dalam tahun-tahun lalu terutamanya isu pendidikan wanita merupakan sesuatu yang menarik perhatian.” Oleh yang demikian, kita dapati orang Inggeris telah membuka pintu kepada para misionaris untuk membuka sekolah-sekolah asing di Mesir, yang jumlahnya mencapai lebih dari 50 sekolah pada tahun 1892 Masehi. Selepas itu dibuka pula sekolah-sekolah swasta yang jumlahnya mencapai 40 buah sekolah. Pelajar wanita keluaran sekolah ini telah menguasai kemahiran pendidikan dan pembelajaran dengan asas-asas Barat. Sebahagian mereka memasuki universiti-universiti asing supaya apabila kembali ke Mesir akan membawa pemikiran dan peradaban Barat yang menentang agama dan nilai-nilai utamanya. Maka pada tahun 1919 Masehi, para penunjuk perasaan wanita telah keluar mengelilingi jalan-jalan Kaherah yang menuntut pegawai British agar memberikan wanita Mesir kebebasannya. Jumlah penunjuk perasaan adalah 300 orang yang diketuai oleh Safiyyah Zaghlul isteri kepada Sa’ad Zaghlul dan Huda Sya’rawi isteri kepada Sya’rawi Basya.

Melihat kepada kepentingan media maka tidak terhadlah aktiviti pengutusan dengan membina sekolah-sekolah untuk anak-anak perempuan bahkan muncul keperihatinan untuk menerbitkan akhbar dan majalah yang khusus mengenai wanita yang penyebarannya ditujukan secara meluas kepada kaum wanita terutamanya keluaran dari sekolah-sekolah asing. Kebanyakan penyelia akhbar dan majalah ini dari kalangan Nasrani Lubnan. Dan sekitar tahun 1892-1906 mereka telah berjaya menerbitkan lapan majalah wanita seperti Majallah al-Fatat, al-Firdaus, al-Hasna’, az-Zahrah, Fatat as-Syarq, Anis al-Jalis dan sebagainya.

Ada juga majalah yang diterbitkan mengenai wanita bukan muslim di Lubnan dan Turki. Tujuan majalah ini semuanya adalah sangat jelas iaitu menjauhkan wanita Muslimah dari nilai-nilai agamanya dan pendidikannya. Barat telah berjaya dalam merealisasikan tujuan ini sehingga ke tahap tertentu. Para pemerintah yang dilantik oleh Barat di negara-negara umat Islam mentaati pimpinan mereka dan menyumbang kepada kerosakan para pemuda-pemudi kaum muslimin, lalu mereka mewujudkan persatuan yang bercampur-aduk antara lelaki dan wanita termasuk di pejabat-pejabat kerajaan.

Sementara itu wanita Barat, situasi mereka pada zaman moden nampak secara zahirnya elok di hadapan orang yang tidak mengetahui hakikat hidup mereka sebenarnya. Zaman revolusi industri telah membawa mereka keluar dari rumah untuk bekerja, dan membebaskan diri dari penguasaan lelaki. Mereka menganggap bahawa ikatan asas bagi wanita dengan lelaki adalah keperluan materialnya kepada lelaki, lalu membolehkannya bekerja dan memperolehi pendapatan yang membolehkannya memutuskan ikatan dengan lelaki. Ini memberi peluang dan memudahkan mereka untuk melepaskan diri dari kehidupan berkeluarga dan dunia perkahwinan. Ini bersesuaian dengan ideologi Kapitalisme yang berdiri di atas empat asas kebebasan itu dan yang paling menonjol adalah kebebasan individu.

Wanita Barat telah diberikan kesempatan untuk menyertai lelaki dalam semua perkara dan mempunyai hubungan seksual tanpa ikatan mahupun batasan. Dalam BBC NEWS edisi internet pada 13/6/2002 telah dikeluarkan kajian bagi Majalah Top Sante yang dilakukan terhadap responden yang terdiri daripada 5 ribu wanita bekerja. Hasilnya 28% daripada mereka melakukan hubungan seksual dengan teman-teman lelaki mereka di tempat kerja dan ¾ responden terdedah kepada gangguan seksual oleh teman sekerja lelaki. Lima dari responden bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan ketua-ketua mereka di tempat kerja demi untuk merealisasikan impian mereka dalam jawatan. Natijah dari hubungan-hubungan seksual di luar rumahtangga, dan dari kesibukan wanita di tempat kerja untuk memperolehi sesuap nasi telah mendedahkan wanita kepada gejala pengguguran anak. Sebagai contoh, kes pengguguran anak di Amerika Syarikat dari tahun 1973 hingga 1998 Masehi telah mencatatkan lebih dari 38 juta kes.

Pandangan terhadap wanita telah menjadi pandangan manfaat seksual semata-mata. Wanita dan gambar-gambar telanjangnya telah muncul di kaca-kaca televisyen, iklan-iklan perniagaan, tempat-tempat membeli-belah dan tempat-tempat hiburan yang menawarkan hiburan yang diharamkan, arak, kelab-kelab perjudian dan rumah-rumah pelacuran. Ini membawa kepada munculnya banyak masalah sosial yang bahaya di Barat. Antaranya tersebarnya ibu-ibu tunggal tanpa nikah dan anak-anak luar nikah yang nisbah mereka di salah sebuah negara Barat berjumlah 50% daripada jumlah penduduk. Demikian juga menularnya penyakit kelamin yang bahaya yang terhasil dari perlakuan seks di luar institusi perkahwinan seperti: penyakit AIDS, Herpes, Gonorrhea dan sebagainya. Setiap gadis dan teruna mempunyai pasangan, demikian juga anak perempuan yang suci yang tinggal di rumah menjaga kesucian dan kegadisannya merupakan satu perkara yang jarang lagi berlaku. Tersebar dalam kalangan mereka pencabulan, tekanan dan keganasan keluarga serta sumbang mahram. Di sesetengah negara digubal undang-undang yang membenarkan seks luar tabii seperti liwat dan homoseksual dan perkahwinan sama jenis antara dua lelaki atau wanita diiktiraf. Ditambah pula dari semua itu isteri menjadi seperti suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga – ini jika ia memiliki keluarga- di luar rumah seperti menjamin nafkah dan menghantar anak-anak dan suami ke sekolah dan tempat-tempat kerja di samping tugasnya di dalam rumah. Maka adakah ini hak-hak dan syariat yang mereka serukan? Dan mereka mahu pasarkan di kalangan umat Islam?!

Bersama tersebarnya keruntuhan akhlak dan meluasnya hubungan seksual yang keliru berbanding hubungan yang benar antara lelaki dan wanita di Barat, telah muncul pula kesedaran kebangkitan di atas asas Islam dalam negara umat Islam. Seruan agar kembali kepada agama Islam serta beriltizam dengan hukum-hakamnya mula menggema dan menjadi fenomena umum di dunia Islam yang menyebabkan kemarahan Kuffar dan bertambahnya umat Islam. Lalu mereka kembali kepada gerakan mereka yang awal dahulu iaitu memperdaya Islam dengan dakwaan pembebasan wanita Muslimah dari ikatan mereka dan persamaan hak dengan lelaki. Amerika Syarikat mengetuai mereka menanam pemikiran ini dengan segenap kekuatan, kuasa dan cara-cara yang mereka miliki berupa cara yang menarik mahupun menakutkan. Mereka terbahagi kepada dua pihak, berpegang kepada dua arah yang terpecah tugas dalam memberi perhatian kepada hal-ehwal wanita Muslimah dan kedua-dua arah tersebut adalah: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai persatuannya dan Amerika Syarikat sendiri, sebagai pembawa panji sekular dan demokrasi.

No comments:

Post a Comment