Friday, August 14, 2009

SN187 - KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?

alt


KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?


[SN187] Untuk ke sekian kalinya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berdepan satu lagi konflik percaturan politik Pakatan Rakyat (PR) apabila timbul isu penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam di Selangor. Usaha PAS yang tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka ditentang keras oleh rakan karibnya dari DAP. Tekanan demi tekanan diterima dari pelbagai sudut menyebabkan PAS tersepit di antara ‘pegangan’ dengan hukum Islam dan kepentingan politik yang wujud dalam PR. Sebelum itu, PAS juga goncang seketika gara-gara cadangan Presidennya sendiri untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Konflik dalaman PAS diperparah dengan kelicikan UMNO yang sememangnya pakar dalam politik hipokrasi memecahbelahkan lawan. Pemimpin tertinggi PAS bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengekalkan kesetiaan ‘perkahwinan’ mereka dengan PR atau bertukar pasangan kepada UMNO/BN. Secara logiknya, tidak ada bezanya bergabung, baik dengan BN atau PR kerana di dalam kedua-duanya terdapat parti sekular dan parti kafir. PAS Kedah juga pada 1 Julai lalu ‘ditampar’ hebat oleh DAP yang mengumumkan untuk keluar daripada PR akibat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya. Demikianlah serba sedikit beberapa siri tekanan yang dialami oleh sebuah parti Islam dalam perkahwinan campur mereka dengan parti sekular dan parti kufur. Ini yang terdedah, manakala yang tidak terdedah seperti perebutan jawatan, perebutan projek dan banyak lagi perbalahan lainnya ‘terpaksa’ ditelan oleh PAS, dan ada yang hanya menunggu masa untuk meletup.

Koalisi PAS dengan parti-parti lain yang wujud di Malaysia bukanlah satu perkara baru. PAS pernah berkoalisi dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam pilihan raya 1990. Jauh sebelum itu pun, PAS pernah bergabung dengan UMNO pada tahun 1970-an di era Tun Razak. Sebelum Anwar Ibrahim mengisytiharkan koalisi PAS-PKR-DAP-PRM sebagai ‘Pakatan Rakyat’ pada 1 April 2008, selama lebih kurang 10 tahun, koalisi parti-parti tersebut dinamakan Barisan Alternatif (BA). Begitu juga halnya dengan parti pemerintah, UMNO, di mana parti sekular ini telah lama berkoalisi dengan rakan-rakannya yang lain dari parti kufur. Namun, oleh sebab UMNO didirikan di atas asas assabiyyah, maka koalisinya dalam BN merupakan suatu perkara yang tidak perlu kita bahaskan, kerana asas penubuhan dan perjuangannya yang jelas-jelas haram. Berbeza halnya dengan koalisi PAS ke dalam PR, kerana PAS adalah sebuah parti Islam, yang bergabung dengan PKR (parti sekular) dan DAP (parti kufur). Aspirasi koalisi dalam PR ini ternyata tidak ada beza dengan koalisi di dalam BN kerana kedua-duanya berkoalisi untuk menuju perkara yang sama, iaitu ingin meraih sebuah pemerintahan. Dan pemerintahan yang bakal diwujudkan adalah pemerintahan kufur-sekular dengan perkongsian kuasa di antara parti-parti yang berkoalisi. Inilah yang menjadi persoalan (yakni) sebuah parti Islam berkoalisi dengan parti sekular dan kufur, bersama-sama berjuang untuk mewujudkan sebuah pemerintahan kufur-sekular di bawah sistem demokrasi. Apakah hal ini dibenarkan oleh syarak?

Fakta Koalisi

Menurut pengertian istilah (terminologi), koalisi memiliki banyak definisi. Di dalam Kamus Dewan, koalisi didefinisikan sebagai pergabungan atau perikatan beberapa buah parti politik. Dalam bahasa Arab, koalisi politik dikenal dengan istilah at-tahaluf as-siyasi. Tahaluf berasal dari kata hilfun yang bererti perjanjian (mu’ahadah) atau kesepakatan (mu’aqadah). Siyasi bererti politik. Koalisi dapat diertikan sebagai ikatan atau gabungan antara dua atau beberapa negara untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu. Koalisi juga dapat diertikan sebagai gabungan beberapa parti dalam sesebuah negara untuk meraih majoriti yang dapat mendukung pemerintahan.

Dengan meneliti fakta (manath) koalisi parti Islam dan parti sekular/kufur yang ada di Malaysia, kita akan dapati bahawa mereka sesungguhnya berganding bahu untuk menumbangkan ‘musuh’ yang sama dengan berkoalisi untuk meraih pemerintahan bagi menggantikan musuh (kerajaan) yang sedang memerintah. Hal ini jelas seperti yang terkandung dalam konsesi aspirasi PR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang ahli parlimen BN akan melompat parti. Aspirasi ini sekaligus menunjukkan fakta bahawa koalisi PR adalah untuk meraih dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi-sekular yang sedia ada. Ini kerana tidak mungkin parti Islam yang berada dalam koalisi boleh ‘memerintah secara solo’ atau ‘menerapkan Islam’ kerana hakikatnya mereka berada dalam satu tahaluf dengan puak kuffar/sekular. Apatah lagi halatuju dan perbezaan ideologi parti sekular/kufur yang sangat bertentangan dengan parti Islam tersebut. Realiti ini diperkuat lagi dengan banyak kenyataan yang keluar dari mulut si kuffar dan sekular sendiri bahawa mereka tidak pernah berpakat untuk mewujudkan negara Islam ataupun melaksanakan undang-undang Islam. Malah mereka akan menentang hasrat ini habis-habisan jika ia cuba dilaksanakan oleh parti Islam.

Demi Allah sesungguhnya mereka telah ‘membuktikan’ bahawa tahaluf siyasi mereka bukan ditegakkan atas dasar Islam, malah mereka telah mengorbankan Islam dengannya! Lima buah negeri telah mereka menangi, lalu mereka menjadi parti yang memerintah. Di Pulau Pinang parti Islam langsung tidak dapat bersuara kerana diperintah oleh parti kufur. Namun mereka tetap menyokong parti kufur ini kerana tahaluf. Aneh! Sebuah parti Islam menyokong pemerintahan yang bukan Islam oleh parti kufur! Manakala di Perak mereka berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular yang jauh lebih berani dan kuat berpegang teguh kepada kekufuran berbanding mereka (parti Islam) berpegang kepada keislaman. Lalu parti Islam tersebut terus membuang dan mencampakkan usaha mereka selama ini untuk menerapkan Islam, demi menjaga kepentingan koalisi dengan puak kuffar/sekular yang turut sama berada dalam pemerintahan. Akhirnya kekuasaan mereka berakhir dengan cara yang hina.

Di Selangor, pun kita menyaksikan hal yang sama di mana parti Islam berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular. Sekali lagi kita menyaksikan tiada satu pun hududullah dapat ditegakkan, malah pemerintahan mereka hanya dipenuhi konflik dan perbalahan yang mereka sembunyikan dan zahirkan. Begitulah juga ‘nasib’ Islam di Kedah di mana agama Allah ini langsung tidak ditegakkan oleh parti Islam yang memerintah walaupun mereka menguasai majoriti pemerintahan. Persoalan hudud dan lain-lain langsung tidak timbul, malah pemerintahan mereka hampir tidak ada bezanya dengan pemerintahan kerajaan sekular sebelumnya. Segala usaha mereka (parti Islam) untuk menegakkan Islam dihalang oleh parti yang bertahaluf dengan mereka dan akhirnya parti Islam terus tunduk dan tunduk kepada kehendak kuffar/sekular. Justeru, di manakah kedudukan ‘tahaluf siyasi’ yang kononnya merupakan ‘kerjasama baik’ dengan golongan kuffar/sekular untuk menghindar kezaliman, walhal mereka sendiri memerintah dengan ‘kezaliman’ kerana tidak berhukum dengan hukum Allah, malah senantiasa tunduk kepada puak kuffar/sekular?

Hukum Koalisi Parti Islam Dan Parti Sekular/kufur

Apa yang terjadi di dalam koalisi parti Islam dengan parti sekular/kufur adalah kerjasama, saling membantu, saling mempertahankan dan saling membela dalam perkoalisian. Hakikat dari semua ini memunculkan dua perkara. Pertama: legalisasi, pengakuan dan keredhaan parti Islam akan keberadaan/kewujudan dan keabsahan parti sekular/kufur. Kedua: pengukuhan parti sekular/kufur dengan menjadi teman rapat (bithanah) kepada parti Islam. Inilah hakikat parti Islam yang berkoalisi dengan parti sekular/kufur. Pada satu sisi UMNO dihentam dahsyat kerana kesekularan yang dibawanya, namun PKR sebaliknya digendong, juga kerana kesekularan yang sama atau lebih teruk yang dibawanya. Pada sisi lain pula, parti sesama Islam dihentam dahsyat kerana keIslaman yang dibawa, namun sebaliknya parti kufur DAP digendong dengan kekufuran yang dibawanya. Padahal Allah SWT telah mengharamkan menjadikan orang kafir sebagai bithanah, dan Allah mewajibkan setiap kelompok/parti berdiri hanya atas asas Islam. FirmanNya,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh yang ma’ruf serta mencegah yang mungkar...” [TMQ Ali Imran (3):104].

Ayat ini dengan jelas memerintahkan bahawa kelompok/parti yang dibenarkan oleh Allah untuk berdiri, hendaklah ‘menjalankan’ dua hal (i) menyeru kepada Islam (ii) melakukan amar makruf nahi mungkar. Apakah aktiviti yang ‘dijalankan’ oleh parti kufur jika bukan kekufuran? Kemungkaran apakah lagi yang lebih besar dari kekufuran? Dan salah satu bentuk kemungkaran yang besar adalah sekularisme. Apa yang jelas, koalisi atas alasan melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap parti sekular/kufur, justeru menjadikan parti Islam semakin erat berganding tangan dan menjaga eksistensi bahkan melegalisasi keabsahan parti sekular/kufur. Malah lebih buruk, bukannya parti kufur/sekular berjaya di Islamkan (sebagaimana niat tahalluf), sebaliknya parti Islam yang berjaya disekularkan! Hal ini amat bertentangan dengan perintah Allah ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Hakikatnya, apabila sesebuah parti Islam berkoalisi dengan parti kufur/sekular, maka ia sesungguhnya telah mencampur adukkan haq dengan batil. Acap kali Islam dijadikan korban, kerana yang mereka titikberatkan bukan lagi ‘Islam’, tetapi ‘kepentingan dan sensitiviti’ rakan koalisi. Inti pati yang menjadi pegangan dalam koalisi adalah ‘kompromi’, bukannya ‘hukum syarak’. Kerana itulah, seringkali ideologi parti dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan pragmatisme dan kepentingan semasa. Malangnya, kompromi dalam koalisi justeru terjadi antara hukum Islam dan hukum sekular, dan hukum kufur/sekular selalu dimenangkan. Parti Islam mencampur adukkan yang halal dengan yang haram dan yang haq dengan yang batil. Sering kali parti Islam langsung tidak berani menyebut atau mencadangkan untuk menegakkan negara Islam atau hukum Islam, kerana ia bertentangan dengan kompromi dan aspirasi koalisi. Sungguh, apa yang parti Islam ini lakukan amat jelas bertentangan dengan firman Allah,

“Dan janganlah kalian mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kalian menyembunyikan kebenaran itu, sementara kalian mengetahuinya” [TMQ al-Baqarah (2):42].

Koalisi sememangnya tidak boleh lari dari amalan tolong-menolong. Apatah lagi semasa pilihan raya. Parti Islam tentunya akan menolong parti sekular/kufur untuk menang di dalam pilihan raya, malah mereka pastinya akan mengundi calon sekular/kafir yang diletakkan oleh rakan koalisi. Hujah mereka selama ini bahawa jika kita tidak keluar mengundi maka kita akan memberi kemenangan kepada orang kafir, ternyata umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Mereka (parti Islam) itu sendirilah yang hakikatnya memberi kemenangan kepada orang kafir/sekular di dalam setiap pilihan raya dengan mengundi calon tersebut. Tolong-menolong yang mereka lakukan ini adalah jelas haram, apatah lagi ia mengarah kepada penerapan hukum-hukum kufur, baik dalam kekuasaan eksekutif mahupun legislatif. Tolong menolong semacam ini telah dilarang oleh Allah SWT kerana firman Allah,

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” [TMQ al-Ma’idah (5):2].

Kerjasama dengan puak sekular/kafir pastinya menimbulkan kecenderungan (sikap pasrah/setuju) aktivis parti Islam kepada aktivis parti sekular/kufur. Padahal sikap cenderung ini dilarang oleh Allah SWT,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Para aktivis parti sekular/kufur hakikatnya adalah orang-orang zalim atau para pelaku maksiat (ahlul ma’asi), kerana tidak menjadikan ajaran Islam sebagai asas dan pedoman dalam berpolitik. Dari sisi lain, koalisi juga melahirkan ramai golongan munafik di dalam parti Islam. Ini kerana, walaupun mereka tidak bersetuju dengan polisi atau pendapat/perbuatan yang dibawa oleh parti sekular/kufur, namun anggota parti Islam terpaksa menzahirkan kesetujuannya kerana ingin menjaga hati rakan koalisi atau demi menjaga kepentingan yang wujud dalam koalisi. Kemunafikan ini jelas haram dalam Islam.

Dengan berkoalisi juga, maka anggota parti Islam akan turut berada sebaris di dalam sistem pemerintahan sekular, seperti apa yang berlaku dalam pemerintahan beberapa buah kerajaan saat ini. Padahal telah ada hadis sahih yang melarang umat Islam menjawat apa jua jawatan dalam pemerintahan yang menyalahi syarak, seperti dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Sabda Nabi SAW,

“Sungguh akan datang pada manusia suatu zaman, di mana yang ada atas kalian adalah pemimpin-pemimpin yang bodoh (umara sufaha) yang mengutamakan orang-orang yang jahat dan mengalahkan orang-orang yang baik di antara mereka, dan mereka suka menunda-nunda solat keluar dari waktu-waktunya. Maka barangsiapa di antara kalian yang mendapati pemimpin-pemimpin seperti itu, janganlah sekali-kali dia menjadi kakitangan (’ariif), atau menjadi polis, atau menjadi pemungut, atau penyimpan harta.” [Musnad Abu Ya’la, 3/121; Ibnu Hibban no 4669].

Dalam hadis lain disebut,

“Akan ada pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, para menteri yang fasik, para hakim yang khianat, dan para fuqaha yang pendusta. Maka barangsiapa di antara kamu yang mendapati zaman itu, janganlah sekali-kali dia menjadi pemungut harta mereka, atau menjadi kakitangan mereka, atau menjadi polis mereka.” [HR Thabrani].

Sesungguhnya koalisi antara parti Islam dan parti sekular/kufur hanya akan memperpanjangkan lagi umur kebatilan. Walau apa sekalipun hujah yang diberikan oleh parti Islam, mereka sebenarnya telah jauh tersasar dari jalan yang lurus. Sama ada sedar atau tidak, mereka sebenarnya telah menyalahgunakan nas atau mengambil nas dengan cara yang keliru. Kebanyakan hujah mereka adalah bersandarkan akal dengan mengaitkannya dengan kaedah maslahat. Sungguh, mereka telah menyimpang jauh dari kebenaran!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan nas-nas yang jelas, termasuklah nas yang tidak dapat dibincangkan di sini, koalisi di antara parti Islam dan parti sekular/kufur adalah haram secara mutlak. Ingatlah wahai saudaraku bahawa matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara. Walau matlamat kita baik sekalipun, namun cara yang ditempuh hendaklah syar’i. Dilihat dari sudut pandangan Islam mahupun realiti yang wujud, tiada guna barang sedikitpun sesebuah parti Islam bersengkongkol dengan parti sekular, apatah lagi parti kufur demi political mileage yang dirasakan baik untuk Islam, kerana hakikatnya parti Islam tersebut telah bergelumang dengan noda dan dosa. Malah hingga ke tahap rakan koalisi menghina Islam pun, parti Islam masih mempertahankan rakan mereka. Masya Allah! Betapa hinanya keadaan ini. Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh parti Islam, imejnya akan terus tercalar dan terhina, bukan sahaja di mata umat, malah di mata anggota-anggotanya sendiri. Kemuliaan telah tercabut dari parti Islam itu lalu jadilah ia setaraf dengan parti-parti sekular/kufur yang bersamanya.

Sedarlah wahai pejuang-pejuang Islam yang ikhlas! Kalian merupakan umat yang terbaik yang terpilih untuk memikul amanah Allah dan RasulNya. Fikirkanlah, untuk apa kalian berjuang jika tidak untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan semula Negara Islam dan meraih sepenuh keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla? Kalian sewajibnya bergerak memperjuangkan Islam di dalam ruang dan peluang yang dibenarkan syarak sahaja. Janganlah hendaknya kalian terpengaruh dengan bisikan syaitan yang akan membinasakan kalian. Berpalinglah segera dari syaitan yang sesat lagi menyesatkan! Jadilah pejuang agama Allah yang amanah lagi ikhlas, berusahalah bersungguh-sungguh di jalan yang diredhai Allah dan serahkanlah (urusan) kemenangan kepadaNya semata-mata. Sesungguhnya kita tidak memerlukan bantuan sedikit pun dari orang-orang sekular dan orang-orang kafir untuk menang. Kemenangan adalah janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa. Demi sesungguhnya janji Allah terhadap orang-orang sekular (mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian) dan terhadap orang-orang kafir hanyalah neraka, bukannya kemenangan!!! Na’uzubillah min zalik.

Tuesday, August 11, 2009

DEMOKRASI: SISTEM KUFUR YANG MELAHIRKAN I.S.A.

SN Keluaran 30 Julai 2009
alt
DEMOKRASI: SISTEM KUFUR YANG MELAHIRKAN I.S.A.

[SN186] Tanggal 1 Ogos 2009 bakal mencipta satu lagi sejarah di Malaysia apabila Gerakan Mansuh ISA (GMI) bersama pakatan pembangkang menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Demonstrasi kali ini dijangka lebih besar dari yang diadakan oleh Bersih pada 10 November 2007 yang lalu. Dalam masa yang sama, kumpulan pengampu kerajaan turut ingin keluar berdemonstrasi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Akta zalim tersebut. Janji Najib pada ucapan sulung sebagai Perdana Menteri yang ingin mengkaji semula ISA nampaknya tinggal janji. Setelah selesai segala kenduri-kendara menyambut 100 hari pemerintahan, ISA masih tetap utuh tanpa diusik sedikit pun. Slogan rakyat didahulukan ternyata benar di mana rakyat senantiasa didahulukan untuk merasai segala penderitaan dan kesusahan hasil tindakan kerajaan. Harta rakyat didahulukan untuk dikaut bagi mengkayakan kerajaan seperti cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai pintu, tol dan seumpamanya. Minyak dan gas asli yang merupakan hak milik rakyat juga didahulukan oleh kerajaan untuk dirampas.
Tanggal 1 Ogos nanti, kita sama-sama saksikan sama ada rakyat turut didahulukan untuk ditangkap kerana berani berdemonstrasi untuk memansuhkan ISA. Sebelum rakyat bersuara, sebenarnya bekas Perdana Menteri, Pak Lah telah pun menyuarakan pandangannya untuk memansuhkan ISA [lihat UM 18/07/09]. Pelik tapi benar, dan naik menyampah rakyat dibuatnya! Semasa menjadi Perdana Menteri, mengkaji ISA pun, beliau langsung tidak mahu [lihat UM 19/10/08], malah ia turut menjadi ‘senjata’ utama pemerintahan beliau. Namun bila takhta sudah terlucut, Pak Lah meminta agar ianya dihapuskan. Kini, giliran Najib pula untuk bersilat dengan ‘taming sari’ yang sungguh berkuasa ini. Siapa berani lawan jika ‘keris hikmat’ ini sudah di tangan?

Demokrasi Memberanakkan ISA

ISA merupakan satu akta yang bertindak sebagai tahanan pencegahan (preventive detention). Sebelum ISA, telah ada Ordinan Peraturan Darurat 1948 sebagai undang-undang untuk menghalang anasir subversif khususnya dari Parti Komunis Malaya, yang membenarkan seseorang ditahan tidak lebih dari satu tahun. Setelah darurat diisytiharkan tamat, maka kuasa penahanan yang terkandung di dalam Ordinan tersebut juga turut berakhir kerana peruntukannya telah dimansuhkan. Namun, pada tahun 1960, kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang ‘menghidupkan’ semula kuasa tahanan pencegahan di bawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Apa yang jelas lagi nyata adalah, lahirnya ISA adalah dari peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen. Jika kita tanya, siapakah yang meluluskannya? Maka jawapannya tidak lain tidak bukan, ‘wakil rakyat’lah yang meluluskannya. Jika kita tanya lebih lanjut, bagaimana wakil rakyat boleh meluluskan akta sekejam itu? Maka jawapannya, kerana ‘demokrasi’lah yang membenarkannya dan kerana menurut demokrasi, mana-mana undang-undang sekalipun, boleh diluluskan jika mendapat undi/sokongan majoriti di Parlimen. Atas nama majoriti yang menjadi tonggak ‘kelulusan’ undang-undang di bawah sistem demokrasi, maka sekejam mana sekalipun undang-undang itu, ia tetap dapat dilaksanakan, malah yang halal boleh jadi haram, dan yang haram boleh jadi halal, yang penting, majoriti meluluskannya. Di bawah sistem demokrasi, undang-undang Allah boleh dibuat, digubal, dibuang, dimansuh, dipinda dan dihapuskan dengan sesuka hati, pokoknya ia diluluskan secara majoriti. Inilah hakikat demokrasi yang hina lagi menghinakan!!!

ISA adalah contoh nyata kebobrokan demokrasi yang kononnya dikatakan sebagai pemerintahan ‘oleh rakyat dari rakyat untuk rakyat’ (the rule of the people by the people for the people). Mengikut idea asal demokrasi di bawah konsep ini, rakyatlah yang merupakan ‘tuan’ kepada diri mereka sendiri dan menentukan kehendaknya sendiri dalam membuat peraturan (rule of the people). Rakyatlah (melalui wakil mereka) yang memerintah mengikut peraturan yang telah mereka tetapkan (by the people). Dan mereka menerapkan undang-undang yang mereka cipta itu untuk kesejahteraan mereka (for the people). Namun, apa yang dipraktikkan bertentangan secara diametral dengan konsep yang dibawa. Ternyata, puak yang memerintah adalah segolongan Kapitalis raksasa atau yang di‘back-up’ oleh Kapitalis raksasa. Mereka membuat undang-undang yang mementingkan mereka (seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Polis, Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya) dan dengan undang-undang ini, mereka pastikan tidak ada orang/pihak yang boleh menentang atau mengkritik mereka. Jika ada yang berani mengkritik, maka ‘penjara’lah jawabnya. Dan ternyata, banyak undang-undang yang mereka terapkan adalah undang-undang yang memberikan kesejahteraan kepada mereka (bukan kepada rakyat) dan yang dapat mengekalkan kekuasaan mereka.

Sudah sekian lama kita dapat melihat sendiri para penguasa Kapitalis ini menggunakan undang-undang yang mereka gubal untuk menyekat rakyat dari bersuara (atau bertindak) mengkritik mereka. ISA merupakan contoh yang jelas. Jika benar mereka memerintah mengikut kehendak rakyat dan untuk rakyat, sepatutnya sudah lama ISA dihapuskan kerana majoriti rakyat tidak mahukan ISA. Namun, ternyata ini tidak berlaku. Sebaliknya, jika ada wakil rakyat dari parti pemerintah yang berani mengusulkan dan bertindak untuk memansuhkan ISA, mungkin sahaja wakil rakyat berkenaan yang di‘ISA’kan terlebih dahulu. Bertambah malang bagi pihak rakyat apabila pasukan polis dipergunakan habis-habisan, bahkan ada di antara mereka yang sanggup taat membabi buta kepada pemerintah, tanpa menilai langsung sama ada tindakan pemerintah selaras dengan ajaran Islam atau tidak. Malah berapa ramai di antara mereka yang menjadi manusia yang tidak berperi kemanusiaan menangkap dan menyeksa tahanan di bawah ISA, semata-mata kerana taatkan tuan mereka yang derhaka kepada Allah dan Rasul. Termasuk mereka yang ditahan adalah mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Dan berapa ramai lagi pejuang agama Allah di luar sana yang diugut untuk ditangkap di bawah ISA. Sungguh keji dan hina perbuatan mereka ini, tidak ubah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang menghalang Rasulullah SAW dari menegakkan agama Allah semasa di Mekah!

Sekiranya kita tanya, dari manakah lahirnya ISA, dan kenapa ia masih kekal hingga sekarang? Jawapannya, ISA sesungguhnya diberanakkan oleh demokrasi dan ‘anak haram’ ini kekal hingga ke hari ini kerana ibunya masih hidup. Ibunyalah yang memastikan anaknya terus hidup. Oleh yang demikian, sungguh aneh bagi umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin menghapuskan ‘anak haram’ ini, namun dalam masa yang sama, mereka bersungguh-sungguh menjaga ‘ibu haram’ yang melahirkannya. Sungguh aneh bagi umat Islam yang bermati-matian ingin menolak ISA tetapi dalam masa yang sama bermati-matian ‘menjaga’ demokrasi. Mereka bencikan ISA tetapi sayangkan demokrasi, mereka ingin mansuhkan ISA tetapi tetap mahu mengekalkan demokrasi. Masya Allah! Perbuatan mereka ini tidak ubah umpama bencikan riba, tetapi tetap mengambil riba, yang dengan perbuatannya itu hanya akan memperpanjangkan lagi ‘usia’ perbankan kufur (ibu riba) yang ada. Atau lebih tepat lagi jika dikatakan, mereka umpama bencikan babi, tetapi senantiasa menghidupkan, malah membaik pulih kandang-kandang babi yang ada.

Sedarlah wahai saudaraku! Emosi kita hendaklah dipandu mengikut hukum syarak. Kita memang marah dan bencikan ISA (secara emosi), namun marah dan benci itu hendaklah di atas kesedaran bahawa ISA itu ‘haram’ di sisi syarak. Maka, ISA itu mesti dihapuskan sebab ia bertentangan dengan syarak, bukan kerana sebab lainnya. Justeru, ‘ibu’ yang melahirkannya hendaklah turut dihapuskan kerana bertentangan dengan syarak. Jika kalian menolak ISA, tetapi dalam masa yang sama tetap mengambil demokrasi, maka ibaratnya kalian ingin menghapuskan judi namun dalam masa yang sama membiarkan, malah membenarkan pusat perjudian. Mana mungkin jika kita kasihkan undang-undang Islam, kita tetap 'menyayangi' Perlembagaan Persekutuan? Malah, ada di antara kita yang marah apabila kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Apakah kita (dan kerajaan) dituntut oleh Allah SWT untuk mentaati sumber undang-undang kufur terbesar di Malaysia itu? Atau kita hanya dituntut untuk mentaati Al-Quran dan Sunnah? Apakah Perlembagaan Persekutuan yang dicipta oleh sikafir Lord Reid itu selaras dengan Al-Quran dan Sunnah, sehingga kita harus tunduk kepadanya? Kita hendaklah sedar bahawa yang haram itu perlu dihapuskan kesemuanya, tidak kira kecil mahupun besar.

Sungguh, tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa ISA itu lahir dari sistem demokrasi. Selama mana ibu haram ini masih hidup dan dijaga rapi, maka selama itulah ia akan melahirkan anak-anak haram. Bukan sahaja ISA, malah pelbagai anak haram lain lagi yang dilahirkan oleh demokrasi seperti OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Kanun Acara Jenayah (CPC), Akta Mahkamah Syariah, Akta Pendidikan, Akta Kawalan Harga, Akta Air dan Elektrik dan bermacam-macam lagi Akta serta Enakmen. Semuanya lahir dari perut demokrasi. Ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang beranggapan ISA itu zalim, tetapi mereka tidak pula menganggap Akta Pendidikan, Akta Syarikat, Akta Cukai atau Akta Kontrak sebagai zalim, walhal kesemuanya adalah undang-undang yang dibuat oleh manusia dengan suara majoriti di bawah sistem demokrasi. Dan kesemua undang-undang ini diluluskan tanpa memperhatikan Al-Quran dan Sunnah sedikit pun. Dan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan kita adalah sekular, sistem ekonomi pula Kapitalisme-kufur yang kesemuanya terhasil dari undang-undang buatan manusia yang diluluskan di Parlimen. Jadi, selama mana sistem demokrasi masih tidak terhapus, maka selama itulah ISA boleh wujud. Malah, undang-undang yang jauh lebih zalim dari ISA pun boleh diwujudkan, yang penting majoriti ahli Parlimen bersetuju. Inilah realiti negara demokrasi!

Demokrasi Dijadikan Way Of Life

Usaha untuk menghapuskan ISA patut dipuji dan disokong. Hanya sahaja, usaha tersebut hendaklah selaras dengan Islam dan niat para pejuangnya juga hendaklah semata-mata kerana Islam. Dalam masa yang sama, undang-undang kufur lain juga mestilah diperjuangkan untuk dihapuskan oleh umat Islam. Pokoknya segala undang-undang buatan manusia yang diluluskan oleh wakil rakyat di Parlimen perlu dihapuskan, kerana ia bukanlah undang-undang Islam dan bertentangan dengan Islam sama sekali. Jika ISA berjaya dihapuskan, namun undang-undang kufur lain masih lagi berkuat kuasa, maka perjuangan mestilah diteruskan. Perjuangan umat Islam bukanlah sekadar untuk menghapuskan ISA atau mana-mana undang-undang yang dianggap zalim sahaja, malah perjuangan hendaklah ditujukan kepada aspek yang jauh lebih besar dari itu, yakni ‘sistem’ yang melahirkan undang-undang tersebut hendaklah diperjuangkan agar dihapuskan. Selagi akarnya masih hidup, maka selagi itulah seluruh cabang dan rantingnya akan hidup.

Sungguh sedih dan mengecewakan apabila melihat sebahagian besar dari umat Islam yang masih terus bergelumang dengan demokrasi. Malah, dalam setiap tindakan dan perbuatan mereka, termasuk tindakan yang dilakukan oleh pemerintah, mereka menilai dan meletakkan ‘standard kebenaran’nya dengan demokrasi. Mereka sering mengatakan bahawa ‘tindakan kami adalah selaras dengan demokrasi’, ‘kami berjuang dalam lunas-lunas demokrasi’. Dan mereka marahkan pemerintah dengan mengatakan bahawa, ‘tindakan pemerintah adalah tidak demokratik, atau ‘tidak selaras dengan prinsip demokrasi’ atau mereka mengatakan, ‘pemerintah telah melanggar semangat demokrasi’ dan seumpamanya. Parti pemerintah juga mengatakan perkara yang sama di mana mereka menuduh pembangkang tidak demokratik dan merekalah yang demokratik. Begitulah tuduh-menuduh, tuding-menuding dan perbalahan yang sering kita saksikan di antara parti pembangkang dan pemerintah, malah turut melibatkan sebahagian dari umat Islam lainnya sama ada secara individu atau pun gerakan. Satu hal yang pasti, masing-masing telah menyandarkan nilai atau ‘standard kebenaran’ hujah masing-masing kepada demokrasi, bukannya kepada Islam. Baik atau buruk, terpuji atau tercela, mulia atau hina sesuatu tindakan itu, semuanya dinisbahkan dengan demokrasi, seolah-olah demokrasilah ‘kayu ukur’ kepada kebenaran atau kebatilan di dalam hidup ini.

Sungguh amat mendukacitakan apabila umat dan gerakan Islam telah menjadikan demokrasi sebagai cara hidup (the way of life) mereka, di mana setiap tindakan dan tingkahlaku (khususnya dalam persoalan politik) dinisbahkan dengan demokrasi. Sesuatu perbuatan itu dikatakan baik apabila selaras dengan demokrasi dan menjadi buruk apabila bertentangan dengan demokrasi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka ini telah menjadikan demokrasi seolah-olah sebagai ‘agama’ di mana setiap tindakan, perbuatan dan perkataan mesti disandarkan kepada demokrasi. Fenomena nyata di mana demokrasi ini dijaga ‘kesuciannya’ boleh dilihat setiap kali pilihan raya diadakan, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Standard ‘suci dan hina’ seseorang calon, penyokong mahupun parti yang bertanding diukur dari sejauh mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi. Lagi kuat mereka berpegang dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi, maka lagi ‘suci’lah mereka dan jika melanggar demokrasi, maka buruk dan hinalah mereka. Dan oleh sebab ‘kesucian’ diukur dengan demokrasi, maka masing-masing ‘takut’ jika dikatakan atau dituduh sebagai tidak demokratik. Dan masing-masing juga turut berebut-rebut untuk tunduk kepada peraturan demokrasi agar mencapai darjat ‘kemuliaan’ kerana dikatakan mematuhi demokrasi. Begitulah yang terjadi secara berulang-ulang kepada para pejuang demokrasi. Demokrasi seolah-olah menjadi satu ‘agama baru’ yang suci yang mesti dijaga kesuciannya dan tidak boleh dicemari sedikitpun. Siapa sahaja yang ‘mencemari’ demokrasi atau proses demokrasi, maka hinalah orang itu bagi mereka, dan jika berpegang teguh dengannya, maka mulialah orang itu. Malah, mereka akan cukup-cukup marah dan melenting jika ada pihak yang menghina atau mengutuk demokrasi atau menyatakan demokrasi itu haram. Inilah pegangan sebahagian dari umat/gerakan Islam yang begitu mensucikan demokrasi. Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran! Semoga Allah menyedarkan mereka dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Wahai kaum Muslimin! Sukalah kami mengingatkan kalian bahawa kayu ukur, standard kebenaran, kemuliaan dan kehinaan, baik dan buruk serta terpuji dan tercelanya sesuatu tindakan dan perbuatan itu, semuanya hendaklah dinisbahkan kepada Islam, bukannya kepada demokrasi. Mulia dan benarlah seseorang itu bila dia mengikut Islam, serta salah dan hinalah seseorang itu apabila dia menyalahi Islam, bukannya kemuliaan dan kehinaan itu kerana dia mengikut atau menyalahi demokrasi. Hakikatnya, kerana mengikut dan tunduk kepada demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam hidup terhina di seluruh dunia. Demi sesungguhnya, sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini adalah sistem kufur. Ia lahir dari akidah kufur yang berasal dari Barat dan langsung tidak punya hubungan sama sekali dengan Islam, dilihat dari aspek mana sekalipun. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam dalam garis besar mahupun rinciannya, dalam aspek sumber kemunculannya, aqidah yang melahirkannya atau asas yang mendasarinya, serta berbagai idea dan peraturan yang dibawanya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Kami telah pun menerangkan akan keharaman ISA di sisi Islam di dalam SN174. Kami juga telah menerangkan sedikit sebanyak tentang keharaman demokrasi menurut Islam di dalam SN167. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa sesungguhnya Islam ini telah lengkap dan sempurna dan tidak ada satu pun yang tertinggal dari diwahyukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Apatah lagi apabila kita membincangkan tentang sistem pemerintahan, satu perkara yang amat penting yang tercakup di dalam perintah Allah untuk menzahirkan agamaNya di muka bumi. Maka, teramatlah mustahil jika Allah tidak menurunkan hukum tentang pemerintahan atau menurunkan satu bentuk sistem pemerintahan yang tidak lengkap. Mustahil sama sekali sistem pemerintahan Islam tidak lengkap sehingga kita perlu mengambil sistem pemerintahan demokrasi dari Barat untuk melengkapkannya, apatah lagi sebagai galang ganti. Jika kita meyakini Firman Allah “pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agamamu” [TMQ al-Mai’dah (5):3], maka kita hendaklah meyakini bahawa Allah dan Rasul telah mengajar kita dari hal membuang air kecil hinggalah kepada hal memerintah dunia, dan tidak ada satu pun urusan agama ini yang tercicir atau tidak lengkap. Janganlah kalian menjadikan kejahilan kalian tentang agama Allah sebagai penyebab kalian mencari sistem lain, atas dalih bahawa Allah dan Rasul tidak merincikan hukum tentang pemerintahan. Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam adalah Sistem Khilafah dan sistem ini telah lengkap sempurna tanpa memerlukan ‘pertolongan’ dari demokrasi sedikit pun. Wallahu a’lam.

Tuesday, August 4, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian Akhir)

Lelaki Dan Wanita Tidak Sama
Sesungguhnya mereka yang melontarkan idea persamaan antara dua jantina ini perlulah menegaskan –secara rasional- bahawa kedua-dua jantina ini sama daripada segi faktanya. Justeru apakah lelaki dan wanita dari segi bentuk tubuh badannya dan juga tugas-tugas semulajadinya benar-benar sama?

Marilah bersama-sama kita melihat adakah idea persamaan antara lelaki dan wanita yang dilemparkan oleh Barat adalah idea yang betul atau salah? Dan apakah yang dikehendaki daripada idea ini sebenarnya!!

Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia ini dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"[TMQ Al-Baqarah(2) : 30]. Begitu juga Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia itu terdiri daripada lelaki dan wanita. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)" [TMQ al-Hujurat (49) : 13], Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan wanita pertama daripada lelaki dengan firman-Nya: "Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai" [TMQ an-Nisa’ (4) :1]. Kehendak Allah Subhanahu Wa Taala menentukan bahawa lelaki dan wanita itu memiliki persamaan dalam banyak ciri dan berbeza pula dalam ciri-ciri yang lain. Allah Subhanahu Wa Taala juga menjadikan setiap mereka itu ada tugas semulajadi yang khusus dan sesuai dengan penciptaan dan pembentukannya. Allah Subhanahu Wa Taala meminta agar mereka ini saling tolong-menolong dalam mengelolakan bumi dan memakmurkannya, bekerja dan meramaikan generasi. Dia menjadikan lelaki berasa tenang bersama wanita dan begitulah pula sebaliknya. Allah Subhanahu Wa Taala memberikan kita pasangan, anak-anak dan cucu sebagaimana firman-Nya: "dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit" [TMQ an-Nahl (16) :72]. Berikut ini adalah aspek-aspek persamaan dan aspek-aspek perbezaan antara lelaki dan wanita.

Aspek-aspek persamaan:
Manusia itu makhluk bertamadun secara semulajadi, iaitu ia cenderung secara fitrahnya untuk hidup bersama manusia lain. Setiap wanita dan lelaki adalah makhluk sosial, iaitu secara naluri, lelaki cenderung terhadap wanita. Begitu juga sebaliknya. Lelaki mempunyai perasaan, wanita pun demikian. Lelaki memiliki naluri, keperluan jasmani yang pelbagai dan itulah juga yang dimiliki oleh wanita. Sekiranya naluri ini tidak dipenuhi, ia akan membawa kepada goncangan, keresahan dan penderitaan. Jika keperluan jasmani pula tidak diturutkan akan membawa kepada kemusnahan. Kedua-dua mereka memiliki naluri beragama, naluri seksual dan naluri mempertahankan diri. Tidak boleh tidak mereka perlu memenuhinya dan jika tidak mereka akan menderita dan merana. Mereka mempunyai pelbagai keperluan tubuh badan seperti bernafas, makan, minum, tidur dan sebagainya. Jika keperluan-keperluan ini tidak dipenuhi mereka akan berhadapan dengan kemusnahan. Mereka masing-masing mempunyai lima pancaindera serta otak yang digunakan untuk mengindera dan berfikir. Setiap daripada mereka juga merasa gembira dan sedih, redha dan marah, takut dan merasa aman, cinta dan benci, menangis dan ketawa, merasa selesa dan penat. Lelaki dan wanita serupa dalam banyak perkara, iaitu pada bentuk luaran. Setiap mereka mempunyai kepala, leher, dua tangan, jari-jari, dada, perut, tulang belakang dan juga bersamaan dalam alat-alat dalam tubuh mereka, ada urat saraf, alat penghadaman dan alat pernafasan.

Aspek-aspek Perbezaan:
Lelaki dan wanita berbeza dalam beberapa bentuk rupa kejadian, iaitu pada alat pembiakan. Alat pembiakan bagi lelaki berbeza daripada wanita. Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan alat pembiakan bagi lelaki mampu untuk meletakkan air mani dalam faraj wanita, kemudian air mani ini akan bertemu dengan telur wanita agar dapat membentuk makhluk hidup yang baru yang melekat pada rahim wanita. Wanita mempunyai alat pembiakan yang berbeza yang disediakan untuk menjadi tempat untuk haid dan mengandung kemudian melahirkan dan menyusui, seperti rahim, tempat telur dan payudara. Semuanya itu dicipta untuk membantu janin sehingga dapat tumbuh berkembang dan berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain hingga sampai waktu melahirkan. Seterusnya keluarlah makhluk hidup ini sebagai manusia yang sempurna, tetapi ia masih kecil, lemah dan memerlukan kepada penjagaan dan bantuan daripada ibunya sehingga sempurna tempoh penyusuannya. Kemudian dia memerlukan pula kepada penjagaan hingga dia mencapai usia mumayyiz dan seterusnya usia baligh. Oleh yang demikian, kita dapati wanita itu lebih penyayang, lebih lembut perasaannya, lebih pengasih dan belas kasihan, terutama kepada anaknya. Wanita juga lebih tabah dan sabar menanggung kepayahan mengandung, melahirkan dan juga menyusukan, sifat yang tidak dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada kaum lelaki kerana lelaki tidak melakukan perkara-perkara tersebut.

Sepertimana lelaki dan wanita berbeza pada perkara yang mereka katakan serupa: maka pada perkara-perkara yang lain, secara umumnya majoriti lelaki lebih tinggi dari wanita dan kepalanya lebih besar daripada kepala wanita. Bentuk dadanya juga berlainan daripada bentuk dada wanita. Perut wanita lebih besar daripada lelaki untuk membantunya mengandung dan melahirkan anak. Muka lelaki berbeza daripada muka wanita, dibaluti rerambut ketika balighnya dan rambut lelaki selain rambut di kepala lebih lebat daripada rambut wanita. Suara lelaki ketika telah baligh menjadi kasar dan ada bunyi kelelakian tertentu sementara suara wanita sentiasa lembut dan lebih halus dan ada bunyi yang membezakannya. Otot lelaki secara umumnya lebih kuat daripada otot wanita. Oleh itu mereka bersedia untuk bekerja berat seperti bertani, bertukang, memikul bebanan berat dan berperang sementara otot wanita tidak seperti itu dan ia disediakan secara umumnya kebanyakannya tidak untuk kerja-kerja berat tersebut meskipun sebahagian daripada mereka mampu untuk melakukannya.

Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi kita akan dapati bahawa perbezaan antara lelaki dan wanita bukan setakat pada bentuk anggota pembiakan dan kewujudan rahim, haid, mengandung, melahirkan serta menyusukan, tidak juga pada lamanya masa subur pada lelaki dan pendeknya bagi wanita, dan tidak juga pada perbezaan secara zahir sahaja, semata-mata hanya di sana terdapat perbezaan lain pada susunan dan tugas-tugas sebahagian sel kelenjar endokrin lalu dari mana datangnya persamaan mutlak antara lelaki dan wanita?!

Menyanggah idea `persamaan antara lelaki dan wanita’
Kita telah katakan bahawa lelaki dan wanita adalah makhluk sosial, yang serupa pada beberapa sifat dan berbeza pula pada sifat yang lain. Dan sesungguhnya setiap mereka itu disediakan untuk mentadbir alam ini dan memakmurkannya sepertimana disediakan juga untuk tugas semulajadi khusus yang lain daripada yang satu lagi. Jika pemilik idea persamaan antara lelaki dan wanita mampu untuk membahagikan beban antara dua jenis ini dengan sama maka cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan mengeluarkan haidh, mengandung, melahirkan dan menyusukan pada satu tahun dan wanita pula melakukan hal yang demikian pada tahun yang lain. Bahkan cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan melakukan tugas ini walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Jawapannya telah maklum. Wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan anak dan melakukan tugas menjaga anak kecil dengan sempurna dan pada masa yang sama lelaki tidak mengeluarkan haid, tidak mengandung, tidak melahirkan anak dan tidak menjaga anak, lalu bagaimana kita menuntut wanita agar melaksanakan tugas-tugas di ladang, bertukang, berniaga, berperang, menanggung beban di samping tugas mengandung, melahirkan anak dan menyusukan dengan kadar yang sama yang dilakukan oleh lelaki sedangkan dia tidak mengandung dan tidak menyusukan. Lalu apakah makna persamaan antaranya dalam hal itu?!

Adakah wanita mampu ketika dia sedang hamil atau menyusukan untuk memimpin tentera dan pejuang-pejuang dan memerangi musuh di medan pertempuran?! Sesungguhnya mereka yang menyerukan kepada persamaan mutlak antara lelaki dan wanita ini jahil terhadap hakikat pembentukan mereka, bahkan mereka bersikap degil dan mahu menentang realiti atau fakta ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala bagi lelaki dan wanita.

Sesungguhnya kita meminta agar mereka yang menyerukan kepada persamaan antara dua gender ini dan yang mendakwa tahu hakikatnya dan dia telah merealisasikan banyak perkara mengenai hal tersebut, untuk menjawab beberapa persoalan yang berikut ini:

Dari gender yang manakah semua para nabi dan rasul?! Adakah daripada lelaki atau daripada wanita?! Sedangkan setiap lelaki dan wanita memikul tanggungjawab mengemban dakwah dan bersabar atas gangguan/cabaran di jalan tersebut berdasarkan potensi masing-masing.

Dari gender yang manakah Pope Vatikan dalam sepanjang sejarahnya?!

Dari manakah sebahagian besar gender ini menjadi tentera yang berperang di medan pertempuran?! Sedangkan sebahagian wanita menyertai peperangan. Terutama dalam merawat mereka yang tercedera dan berkhidmat untuk para pejuang.

Adakah pemimpin tentera agung yang dicatatkan dalam lipatan sejarah terdiri daripada kaum wanita atau mereka itu lelaki?!

Kita juga ingin menanyakan kepada mereka: Berapakah pemimpin negara wanita yang memerintah Amerika Syarikat atau Britain atau Perancis atau German sepanjang sejarah mereka dahulu dan sekarang?! Dan berapa ramaikah menteri wanita yang menjawat pimpinan tentera negara-negara tersebut atau negara-negara lain?! Berapa ramaikah wanita bekerja dalam kerja-kerja yang sukar dan jawatan-jawatan pemerintahan di negara-negara ini yang menjanjikan terealisasinya persamaan? Adakah mereka telah melakukan persamaan dengan sebenar-benarnya dalam jawatan-jawatan ini antara lelaki dan wanita?! Sedangkan mereka mendakwa bahawa orang lain daripada kalangan hamba Allah Subhanahu Wa Taala telah menzalimi wanita, menelan hak mereka dan tidak membenarkan mereka menyaingi lelaki!! Bagaimana boleh terjadinya wanita yang haid atau hamil atau bernifas atau menyusukan anak kecil, atau yang mengambil berat dengan kesihatan dan hidup anaknya untuk melakukan kerja yang disebutkan tadi?! Tidak ragu lagi bahawa jika kita meminta wanita melakukan kerja-kerja ini, kita sebenarnya telah menzaliminya dan meminta dia menanggung bebanan di luar kemampuannya. Pada masa yang sama telah diberikan penyelesaian antara dirinya dan tanggungjawabnya dengan ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala dengan sebaik-baik cara. Maka apakah makna persamaan antara keduanya?!

Oleh yang demikian kami katakan: Sepertimana sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan bahawa bagi lelaki ada tugas-tugas yang sesuai dengan bentuk tubuhnya seperti pekerjaan berat dan peperangan, juga pemerintahan. Sunnatullah dan hikmat-Nya juga telah menentukan agar kaum wanita itu ada tugas-tugas yang sesuai dengan penciptaannya seperti kerja-kerja rumah dan mendidik anak-anak. Maka wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan, menyusukan dan melaksanakan kerja-kerja ini dengan penuh lapang dada serta memikul tanggungjawab ini dengan redha dan tenang. Bahkan sesungguhnya wanita merasa kekurangan yang banyak sekiranya terdapat sesuatu yang menghalangnya dari menunaikan tanggungjawab ini atau melakukan tugas-tugas yang fitrah ini. Sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan agar kedua-dua gender ini disamakan dalam banyak tugas seperti menuntut ilmu, mengemban dakwah, memuhasabah pemerintah, amali kedoktoran, pendidikan, menulis dan bersastera, berniaga, bertukang, bertani dan sebagainya.

Lalu di manakah tamadun kapitalis yang rosak ini menyerukan pembohongan persamaan antara lelaki dan wanita?!

Sesungguhnya mereka yang mendirikan tamadun Barat menyedari fakta ini tetapi disebabkan pandangan manfaat mereka, iaitu tolok ukur mereka dalam kehidupan. Disebabkan mereka kosong daripada sebarang nilai selain nilai material, mereka melihat seruan idea persamaan antara lelaki dan wanita dan kemudian menerapkannya adalah satu perkara yang bermanfaat. Hal ini membolehkan mereka memonopoli sebahagian sifat yang dikhususkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada wanita sahaja seperti kecantikannya, kelembutannya dan potensi daya tarikannya kepada lelaki lalu ditambah biak sifat ini dalam kerja perekonomian seperti menarik pelanggan dan pengiklanan. Tubuh badan mereka dipergunakan di rumah-rumah urut, dan dalam bidang seni yang rendah darjatnya juga untuk melakukan dakyah, menjadi setiausaha dan melakukan penyiasatan. Mereka berada di pentas-pentas teater dan sebagainya lalu mereka memperolehi keuntungan yang menjijikkan.

Inilah yang mereka dapati. Mengenai tuntutan mereka kepada kita dengan idea persamaan antara lelaki dan wanita adalah sebahagian daripada propaganda kapitalis terhadap umat Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam. Untuk menghalang tanpa mengembalikannya semula seperti sistem pemerintahan ke dalam kehidupan. Mereka dengan alasan yang dipaksakan dan suatu kebohongan, idea `persamaan antara lelaki dan wanita`, hendak menjauhkan wanita Muslimah daripada kedudukannya yang sebenar untuk menghapuskan keluarga Muslimah. Lebih jauh lagi mereka ingin menghidupkan pelacuran dan keruntuhan akhlak antara kaum Muslim untuk menyambut kemenangan pemikiran baru di samping kemenangan mereka secara politik dan ketenteraan. Cuma kaum muslimin telah tersedar daripada kelalaian mereka. Sekarang mereka merasakan kebangkitan atas asas Islam dalam pelbagai penjuru dunia Islam. Bahkan di rumah kaum kafir yang mereka sempitkan jarak sehasta dengan Islam dan kaum Muslimin. Mereka tidak mampu untuk melihat secarik kain menutupi kepala wanita Muslimah di atas tanah mereka. Inilah dia akidah Islam. Fikrah yang terpancar darinya tersebar di seluruh penjuru dunia meskipun wujud propaganda kufar yang ganas terhadap Islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: "Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka....“[TMQ As-Saff (61) : 8]

Wanita Dalam Islam:
Sebelum cahaya Islam menyinar, pandangan terhadap wanita dahulunya di dunia, khususnya oleh orang Arab adalah pandangan yang menyeleweng seperti pemikiran dan akidah mereka yang menyeleweng. Mereka tidak memandang wanita adalah manusia sepertimana lelaki. Sesungguhnya hikmah Allah Subhanahu Wa Taala dan kehendak-Nya menentukan bahawa di antara mereka ada kehidupan perkahwinan yang menentukan kehormatan, bukan kehinaan, untuk mereka membentuk keluarga yang mampu untuk mendidik anak-anak dan memakmurkan dunia ini.

Islam telah datang dengan meninggikan taraf wanita dan memuliakannya dengan hukum-hukum syarak yang benar. Mereka diselamatkan daripada keadaan yang menyelimuti mereka sepanjang zaman dalam kebanyakan tamadun. Mereka diberikan hak dan kewajipan seperti lelaki daripada segi kemanusiaan. Hal itu tidak disebabkan oleh ajakan, pemberontakan, tuntutan sosial, ekonomi atau politik, bahkan Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala yang menjadikan hal itu. Allah Pencipta lelaki dan wanita. Islam menganugerahkan kepada wanita hak syarak sejak daripada awal lagi tanpa permintaan darinya, daripada persatuan wanita atau pertubuhan hak-hak asasi manusia. Islam bertujuan untuk merealisasikan manhajnya yang sempurna dengan tegas, bukan untuk bahagian lelaki dan bukan untuk bahagian wanita, tetapi untuk bahagian manusia dan masyarakat Islam dan untuk bahagian keadilan yang diperintahkan oleh Pencipta. Memuliakan wanita adalah memuliakan manusia. Tiada kelebihan antara sesama manusia melainkan takwa, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu) " [TMQ al-Hujurat (49) : 13].

Majalah al-wa’ie (edisi bahasa Arab). 2006. Bil. 229.hal. 29-32