Sunday, June 14, 2009

4.5 - Perlakuan Khusus Terhadap Solat Subuh

Rasulullah SAW menjadikan solat ini sesuatu yang begitu istimewa dan berbeza dengan solat-solat yang lain. Pada dasarnya semua solat sangat penting, dan solat mempunyai pahala besar. Namun ketika dicermati dengan saksama perbezaan solat ini dibanding solat lainnya, nampak sekali bila solat ini memiliki keutamaan khusus yang besar.

Di bawah ini adalah beberapa keutamaan itu:

Pertama: Solat Subuh merupakan salah satu solat yang pertama kali diwajibkan atas kaum muslimin, di samping solat Asar.

Terbukti, solat Subuh pelaksanaannya dilakukan seperti yang kita kerjakan sekarang ini, iaitu dua rakaat. Adapun solat Asar asalnya dua rakaat kemudian ditambah menjadi empat rakaat setelah peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sedangkan solat Subuh masih tetap seperti ketika pertama kali disyariatkan.

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bahawa Aisyah berkata, "Pertama kali diwajibkan atas Rasulullah adalah solat dua rakaat-dua rakaat, kecuali Mabrib yang terdiri dari tiga rakaat. Kemudian Allah menyempurnakan Zuhur, Asar dan Isya' menjadi empat rakaat -bila dikerjakan di tempat tinggal- dan tetap menjadikan hitungan rakaat solat seperti semula. (Dua rakaat-dua rakaat) dalam keadaan bepergian (musafir))

Ertinya umat Islam melaksanakan solat Subuh dengan kondisi dan waktu yang sama sejak pertama kali Rasulullah SAW diutus. Perkara ini menarik sekali. Seakan-akan solat Subuh menjadi solat yang sangat penting dan sangat diperlukan muslim atau mukmin di muka bumi. Ia diwajibkan sejak diturunkan syariat yang pertama kali kepada Rasulullah SAW.

Kedua: Azan Subuh berbeza dengan azan pada solat-solat yang lain.

Diriwayatkan Abu Daud dari Abu Mahdzurah R.A. bahawa Rasulullah SAW mengajarinya supaya menambah lafaz As-Solatu khairum minan naum (2x) - Solat itu lebih baik daripada tidur- setelah lafaz Hayya 'alal Falah.

Apa yang sebenarnya menghalangimu mendapatkan solat Subuh tepat waktu? Bukankah kerana kenyamanan dan nikmatnya tidur?

Nah, sekarang anda sudah mengetahui apa yang dikatakan Rasulullah SAW bahawa solat Fajar itu lebih baik daripada tidur, walau sebesar manapun pentingnya tidur itu bagi anda!

Jika anda percaya Rasulullah SAW dan anda yakin apa yang dikatakannya benar, tanpa sedikit pun kebatilan, maka tidak ada alasan untuk tidak mengikutinya. Jika anda berpendapat, tidur lebih berguna, lebih utama, lebih sesuai bagi anda daripada bangun, persepsi ini sangat berbahaya dan harus direnungkan kembali.

Saudaraku, buktikan bahawa anda beriman pada Rasul SAW.

Ketiga: Rasulullah SAW memberikan doa khusus setelah solat Subuh, yang berbeza dengan solat yang lain.

Doa khusus ini sebagai tambahan wirid penutup solat yang sering diwasiatkan Rasulullah SAW setiap selesai solat; seperti Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali, Astaghfirullah dan doa-doa yang lain. Rasulullah SAW menambahkan zikir-zikir khusus setelah solat Subuh, yang tidak dianjurkan pada waktu yang lain.

Seperti contoh hadis yang diriwayatkan dari Abu Dzar R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa -setelah solat Subuh sebelum meninggalkan tempat duduknya dan belum berbicara sedikitpun- mengucapkan
["La Ilaha Illallah wahdahu la syarika lahu. Lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumitu wahuha 'ala kulli syai'in qadir"
-Tidak ada Ilah yang berhak disembah selain Allah saja. Dia tidak memiliki sekutu. Milik-Nyalah kerajaan dan segala pujian. Dia Maha Menghidupkan dan Mematikan. Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu-]
sebanyak 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapus 10 kesalahan, diangkat baginya 10 darjat. Satu hari penuh dia dilindungi dari sesuatu yang tidak disukai, dilindungi dari syaitan, tidak ada dosa yang akan mencelakainya, kecuali syirik"
(HR At-Tirmidzi; hasan sahih)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan dari Muslim bin Al-Harits R.A. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berbicara mengatakan padanya,
"Jika kamu solat Subuh, sebelum kamu berbicara, bacalah:
["Allahumma ajirni minannari"
-Ya Allah, lindungilah aku dari api neraka-]
Sebanyak 7 kali, Italicmaka jika kamu mati hari itu, Allah akan melindungimu dari api neraka."
(HR Abu Daud dan Imam An-Nasa'ie)

Keutamaan-keutamaan ini adalah sesuatu yang tidak bisa dinilai dengan harga dan tidak didapatkan kecuali di waktu itu.

Keempat: Rasulullah SAW selalu menyuruh kaum muslimin untuk memendekkan bacaan waktu solat, kecuali Subuh. Sebagaimana diriwayatkan dari Abu Barzah Al-Aslami R.A. bahawa:
"Rasulullah, pada saat solat Subuh, membaca 60 sampai 100 ayat, dan baginda pergi meninggalkan kami ketika kami sudah mengenali wajah sesama kami (maksudnya, sebentar lagi matahari terbit)"
(HR Muslim)

Jelas sekali, penekanan Rasulullah SAW terhadap bacaan yang panjang hanya pada solat ini. Solat yang dilaksanakan pada saat hati jauh dari perkara-perkara dunia dan permasalahannya. Sebagaimana seorang muslim memulai harinya dengan solat ini, alangkah indahnya seandainya dia memulai menapaki harinya dengan beberapa ayat yang agung.

Allah mengibaratkan solat Subuh itu dalam sebuah firman-Nya:
"...dan (dirikanlah) sembahyang Subuh sesungguhnya sembahyang Subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya, oleh malaikat). "
(Al-Isra', 17 :78)

Itu menunjukkan bahawa bacaan Al-Quran pada waktu Subuh lebih panjang daripada solat lain.

Kelima: Bacaan khusus Rasulullah SAW di hari jumaat pada waktu Subuh.

Sebagaimana terdapat dalam riwayat Al-Bukhari dan lainnya dari Abu Hurairah R.A, bahawa pada rakaat pertama, Rasulullah SAW membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan pada rakaat kedua. Keistimewaan ini tidak terjadi di solat wajib yang lain.

Keenam: Solat Subuh tidak bisa di qasar dan di jama'.

Solat Zuhur dan Asar boleh di qasar dan di jama'. Magrib bisa di jama' dengan Isya' namun tidak bisa di qasar. Isya' boleh di jama' dan di qasar. Baik pada waktu bepergian (musafir) atau pun di rumah, pada saat haji, jihad, kondisi kurang aman atau yang lain-lain.

Tidak diragukan lagi, ini menjadi sebuah keistimewaan yang memerlukan perhatian lebih serius. Kita memohon kepada Allah semoga Allah menjadikan kita dari golongan orang-orang yang memelihara solat Subuh dan merindukannya.

(next post : 4.6 - Waktu yang Menjadi Saksi)
-Alhamdulillah-

No comments:

Post a Comment