Saturday, September 26, 2009

ADAKAH ISLAM MENINDAS WANITA?

(BAHAGIAN 1)
Oleh: Lopa Hussain & Adnan Khan, Khilafah.com

Burka yang menutupi hujung rambut ke hujung kaki dengan gril yang tidak berudara, bukan hanya satu instrumen penindasan, secara umum ia merupakan satu perbuatan yang mencemar dan menutupi keseksualan perempuan. Ia menjadikan seseorang wanita itu satu objek yang mencemarkan, terlalu menjijikkan untuk dilihat. Ia adalah satu pakaian yang membunuh keinginan seksual…malah menjadikan mereka makhluk yang takut untuk membuat sebarang tuntutan, juga mengundang keganasan dan penindasan…Versi moden pakaian ini juga turut mempunyai impak yang sama, memberi inspirasi untuk fikiran yang menunjukkan nafsu seks yang kuat yang tidak disenangi, yang bertujuan untuk mengekang.

Polly Toynbee dalam ‘ Behind the Burka,’ Guardian, UK.

Pengenalan
Tidak ada penghinaan yang telah diberi lebih perhatiannya oleh komentator dan penulis di seluruh dunia daripada isu mengenai pandangan Islam terhadap wanita. Imej wanita yang bertudung litup dengan vel menutupi muka-muka mereka, akan terbayang di fikiran apabila sahaja media membincangkan isu ini. Layanan terhadap wanita di dalam mana-mana masyarakat telah dijadikan satu kayu pengukur terhadap kemajuannya supaya apabila dunia Muslim dinilaikan daripada segi layanan terhadap wanita dan keterlibatannya dalam masyarakat, ia dianggap sebagai satu kegagalan daripada segi standard Barat.

Ini telah disusuli dengan berbagai-bagai serangan yang keterlaluan terhadap Islam:

“Kita tahu bahawa Taliban adalah sebuah regim yang menafikan hak kesemua warganya walaupun hak-hak asas manusia, dan untuk wanita perkara ini adalah sesuatu yang sangat buruk. Perkara yang wanita di negara kita ambil mudah seperti menikmati kehidupan bersama keluarga secara terbuka atau berpakaian sebagaimana yang disukai. Kesemua ini adalah dilarang. Jika anda memakai pengilat kuku di Afghanistan, kuku anda berkemungkinan akan dicabut. Ya, mungkin ini adalah contoh yang remeh, walaubagaimanapun, ia tetap satu contoh penindasan terhadap wanita dan tidak ada apa lagi yang boleh saya fikirkan sebagai satu simbol penindasan terhadap wanita selain daripada burka yang menggambarkan dengan jelas tentang peranan wanita di Afghanistan dan kami mempunyai perbincangan yang menarik bagaimana pengalaman memakai burka dan bagaimana ia menyukarkan kehidupan harian.”

dan

“Islam adalah sebenarnya anti wanita. Islam adalah punca utama penindasan wanita Muslim dan terus menjadi halangan yang utama untuk perkembangan mereka. Islam sentiasa menjadikan wanita sebagai makhluk yang inferior di dalam semua perkara: daripada segi fizikal, intelektual dan moral. Pandangan negatif ini dibenarkan oleh Al-Quran, disokong oleh hadith dan diteruskan oleh ahli-ahli agama yang menjadi penjaga dogma dan kejahilan umat Muslim.

dan

“Beratus-ratus wanita ditembak, dibakar, dicekik, direjam, dipenggal atau dibunuh setiap tahun di negara-negara Islam kerana saudara lelaki mereka percaya bahawa perbuatan mereka telah mencemarkan nama keluarga. Mereka terbunuh supaya maruah keluarga terjamin. Mengikut praktis keagamaan dan kesukuan ini, wanita adalah kepunyaan lelaki dan mencerminkan maruahnya. Kehormatan lelaki akan tercemar jika seseorang wanita itu berkelakuan bebas. Para pembunuh ini dan penyokong-penyokong mereka merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang membenarkan para suami memukul isteri –isteri mereka.”

dan

“Para fundamentalis menuntut supaya wanita berpurdah dan diasing-asingkan di setiap peringkat dalam masyarakat, bermula dari awal baligh. Perasaan kasih sayang yang ditunjukkan di antara suami dan isteri di khalayak umum juga adalah dilarang. Memukul isteri pula adalah sangat berleluasa di mana ramai yang melihatnya sebagai satu perlakuan yang normal dalam sesebuah perkahwinan. Manakala dalam hubungan kelamin, sebarang posisi di mana wanita berada di posisi atas akan dianggap haram atau berdosa. Adalah sukar untuk dibayangkan bagaimana kedua-dua pasangan ini dapat menikmati keintiman dalam suasana sebegini…. Nazi, seperti juga fundamentalis Islam dan Kristian, sangat obses dengan perawan dan wanita harus akur hanya dengan menjadi suri rumah tangga dan ibu yang sempurna.”

Kesemuanya ini hanyalah sebahagian daripada tuduhan-tuduhan yang dilabelkan oleh Barat untuk menentang Islam dan Syariah. Sementara itu, terdapat beberapa kesalah tanggapan di Barat tentang Islam dan wanita , dan pada masa yang sama kebencian terhadap Islam adalah rencana yang berterusan di dalam akhbar dan majalah di Barat.

Walau bagaimana pun, kesalah tanggapan ini tidak hanya terhad di Barat sahaja, malah dunia umat Islam juga mempunyai banyak kesalah tanggapan mengenai hubungan lelaki dan wanita secara Islami dan juga peraturan Syariah mengenai wanita. Idea-idea seperti wanita dilarang daripada mempunyai sebarang peranan dalam masyarakat, suara wanita dianggap aurat, perkahwinan paksa, pengundungan alat kelamin wanita, pembunuhan bermaruah, malah beribu-ribu wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana disimbah asid akibat menolak untuk perkahwinan yang diaturkan atau perbalahan mengenai mas kahwin dan rumah tangga. Ramai yang mempunyai pandangan bahawa Syariah telah mengenepikan sebarang hak wanita kepada suami dan bapa mereka di mana kesemua ini adalah kebiasaan budaya mereka yang telah dilihat sebagai Islami.

Sebagai reaksi terhadap perkara ini, ramai wanita telah berpaling kepada Barat dan bertahun-tahun berjuang untuk mencapai kesamaan hak dengan lelaki. Malah ramai wanita yang mempunyai pengetahuan Islam juga berpaling kepada Barat sebagai penyelamat mereka dan sentiasa menuntut pemisahan dan pengasingan kepada apa-apa yang masih tersisa dalam Islam.

Tujuan buku kecil ini ditulis adalah untuk menilai perjuangan yang dilakukan oleh wanita-wanita Barat untuk mencapai hak-hak mereka kerana keberlangsungannya akan dijadikan kayu pengukur untuk wanita-wanita dan masyarakat di seluruh dunia. Sistem sosial Islam pula akan dirujuk untuk menilai apa yang sebenarnya diperkatakan oleh Islam tentang wanita, bagaimana ia mengatur hubungan lelaki dan wanita dan kesesuaiannya sebagai model untuk wanita dan masyarakat.

9 Ogos 2009

Lopa Hussain

Adnan Khan

Kesetaraan: Dahulu dan Sekarang
Pada hari ini konsep kesetaraan masih dijadikan sebagai kayu pengukur dalam mengatur hubungan lelaki dan wanita dan juga digunakan sebagai alat untuk menuntut hak-hak wanita. Daripada perspektif sejarah, terlalu banyak signifikan dan kepentingan telah diberikan dalam perbincangan ‘kesetaraan’, dan ia membawa kepada satu pengertian yang baru oleh penulis-penulis Barat.

Teologi Kristian, tonggak raja-raja Zaman Pertengahan Eropah telah memainkan peranan utama dalam membentuk perspektif keliru Eropah terhadap wanita. ‘Decreturn Gratiani’, yang menjadi dasar kepada undang-undang Gereja selama hampir lapan ratus tahun iaitu di antara tahun 1140 dan 1917, telah mengagihkan tugas dan tanggungjawab berasaskan kepada “dosa wujud di dunia ini melalui mereka (wanita)” dan oleh itu, “kerana asalnya berdosa, mereka (wanita) harus memperlihatkan kepatuhan mereka.” Selain daripada menuduh Hawa untuk dosa yang asal dan mengecam wanita, kepercayaan bahawa Hawa telah dicipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok, telah mempopularkan kedua-dua sifat mereka ini. Walaupun setelah Reformasi, sesungguhnya, usaha ahli-ahli teologi yang mendakwa bahawa wanita memiliki sifat buruk secara semulajadi, yang mana kemanusiaan mereka juga dipersoalkan, telah berjaya meyakinkan raja-raja dan paderi kanan gereja. Sokongan Pope Innocent VIII di dalam buku “The Hammer of the Witches’ dalam tahun 1484, telah menegaskan: “Apalah seorang wanita, hanya seteru kepada persahabatan, hukuman yang tidak dapat dielakkan, kejahatan yang tidak dapat tolak, daya penarik semulajadi, musibah yang mengghairahkan, bahaya dalaman, hidangan yang berbahaya, satu kejahatan semulajadi, diwarnakan dengan menarik”, (The Malleus Maleficarum, 1971) telah mengakibatkan beribu-ribu wanita telah dibakar. Malah pemikir tersohor dalam ilmu pengetahuan juga berbicara tentang subjek ini dengan sifat yang menggambarkan sikap yang lebih tradisional. Rousseau dalam karangannya tentang pendidikan yang bertajuk ‘Emile”, menulis:

“Lelaki dan wanita dicipta untuk satu sama lain, tetapi sifat saling kebergantungan mereka tidak sama. Kita boleh hidup lebih baik tanpa mereka, daripada mereka tanpa kita. Mereka bergantung kepada perasaan kita, dengan harga yang kita letakkan ke atas merit mereka, di atas nilai yang kita tetapkan terhadap daya tarikan dan kesucian mereka. Oleh itu, seluruh pendidikan wanita perlu dirancang berkaitan dengan lelaki. Untuk menggembirakan lelaki, berguna kepada mereka untuk memenangi rasa sayang dan hormat mereka…..”

Pengindustrian tidak membebaskan wanita daripada layanan yang lampau tetapi hanya menambahkan ketidakpentingan mereka di dalam masyarakat. Kekayaan yang dijana ketika zaman perindustrian telah menyebabkan pertambahan lelaki kelas pertengahan yang semakin tidak menghormati wanita. Wanita-wanita meratapi layanan yang diterima mereka di tangan-tangan lelaki yang menjustifikasikan perbuatan mereka yang lazimnya mabuk dan liar disebabkan oleh tekanan akibat peningkatan persaingan dalam perdagangan dan industri, malah tidak mempedulikan urusan rumahtangga melainkan menuntut keperluan mereka dipenuhi. Sesungguhnya, situasi dalam perindustrian Eropah inilah yang melahirkan sistem masyarakat yang dikuasai lelaki yang telah menjadi bantahan para feminis darpada dahulu lagi. Dalam konteks sejarah kesetaraan, sejak mula dicadangkan telah menjadi satu kontroversi. Tidak lama selepas itu, debat kesetaraan telah membentuk satu kerangka di mana Eropah perlu menangani kewujudan untuk menguasai wanita dan memperbetulkan ketidakseimbangan sejarah. Oleh yang demikian, membetulkan prejudis sejarah telah menjadi asas untuk menjelaskan hubungan di antara manusia.

Kerangka hari ini berasal daripada zaman ilmu pengetahuan Eropah (Europe’s Age of Enlightenment). Mary Wollstonecroft, yang telah dipengaruhi oleh pemikir-pemikir liberal adalah orang yang pertama menggunakan kesimpulan Enlightenment ke atas isu-isu wanita dalam ‘Vindication of the Rights of Women’ dalam tahun 1971. Ini diikuti oleh penerbitan ‘The Rights of Man’ oleh sahabat baiknya, Thomas Paine dan telah mencabar ‘kezaliman domestik lelaki’ seperti mana Paine telah mencabar ‘hak keTuhanan raja-raja’. Setelah hampir seabad berkempen, dan melalui pergolakan Revolusi Perancis, sebuah lagi mercu tanda dalam usaha untuk mencapai hak-hak wanita, yang bertajuk ‘The Subjugation of Women’ telah diterbitkan oleh John Stuart Mill.

Perspektif ‘moden’ mengenai hak-hak wanita adalah berdasarkan kepada kesimpulan liberal yang pertama kali dijelaskan oleh Wollstoncraft dan yang dimaksudkan oleh Mill sebagai ‘kritikan membina’ (constructivism). Para liberalis menegaskan bahawa lelaki dan wanita pada dasarnya setara (atau seperti mana yang dikatakan oleh Mill sebagai ‘sempurna’) dan menerima apa sahaja yang lebih rendah adalah untuk menggalakkan penindasan satu jantina terhadap yang lain, menjadikan subordinat yang lain lemah. Mereka juga menjelaskan bahawa perbezaan di antara lelaki dan wanita, apabila diperhatikan adalah hasil daripada keadaan yang berabad lamanya. Inilah yang menyebabkan feminis tertarik untuk membezakan di antara ‘gender’ sebagai satu pembangunan sosial dan ‘jantina’.

Simone De Beuvoir, salah satu suara yang signifikan selepas Wollstonecroft, telah menulis dalam bukunya yang bertajuk ‘The Second Sex’: “Seseorang itu tidak dilahirkan, tetapi rela menjadi wanita”. Kesetaraan secara efektifnya bermaksud kesetaraan secara politik, ekonomi, peluang dan hak-hak sosial supaya tidak bergantung kepada yang lain dalam pendidikan, pekerjaan dan politik. ‘Pembahagian kerja’ di antara perempuan sebagai suri rumahtangga dan lelaki sebagai pencari nafkah , telah menunjukkan satu simbol penaklukan dan penguasaan lelaki dan ia adalah satu kesan peningkatan ketidakadilan oleh revolusi industri. Individualisme yang liberal (mengutamakan individu daripada masyarakat), telah menjadi dasar bagi teori klasik emansipasi wanita yang diasaskan dan sekarang menjadi asas kepada persepsi moden.

akan bersambung di bulan Oktober……..

Muhasabah untuk Wanita di Aidil Fitri

Ramadhan yang penuh keberkatan ditangisi pemergiannya oleh umat Islam yang berusaha mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala. Tatkala senja Ramadan mula berlabuh, lazimnya kaum wanitalah yang paling sibuk sekali apabila Syawal membuka tirai. Dendangan lagu-lagu klasik hari raya yang berkumandang di corong radio dan di pusat-pusat membeli belah menggamit perasaan sayu dan rindu untuk menyambut hari raya di kampung halaman. Pertemuan dengan kerabat dan sahabat handai dimanfaatkan untuk saling bermaafan sambil menikmati juadah lazat. Umumnya, ramai dalam kalangan umat Islam berpendapat begitulah hebatnya sambutan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan saat yang sememangnya disunatkan untuk umat bergembira dengan penuh rasa kesyukuran setelah berjaya menempuh fasa latihan kerohanian (spiritual) dan penyucian jiwa (tazkiah an-nafs) di sepanjang bulan Ramadan.

Wanita dan Penyucian Jiwa (Tazkiyah an-Nafs)

Sebahagian umat Islam termasuk kaum wanita beranggapan bahawa aktiviti penyucian diri yang sinonim dengan bulan Ramadan hanya bersifat ritual, spiritual dan individual sahaja. Selaras dengan pemikiran Sekular-Barat yang memisahkan agama dari kehidupan (fasludeen anil hayah) Muslimah hanyut dalam gelombang sekularisme hingga sebahagian mereka hanya memberi fokus kepada aktiviti memperbanyakkan ibadah-ibadah ritual seperti solat dan puasa sunat, zikir/wirid, dan lain-lain. Semua ini sesuai dengan kata-kata Gibb (tokoh missionaris Britain, Profesor di Universiti Hartford, AS):“Islam telah kehilangan dominasinya atas kehidupan sosial kaum Muslim. Sementara, wilayah kekuasaannya semakin menyempit sedikit demi sedikit hingga tinggal ritual-ritual yang amat sempit. Semua ini semakin beranjak sempurna tanpa adanya sebuah kesedaran sedikitpun. Perkembangan itu kini telah benar-benar jauh dan tidak mungkin akan kembali lagi. Akan tetapi, kejayaan perkembangan ini sangat bergantung dengan para tokoh dan pemimpin kaum Muslim, terutama para pemudanya. Semua itu tak lain adalah hasil kegiatan pendidikan dan tsaqafah liberal”.

Hal ini menyebabkan sebahagian Muslimah merasakan bahawa ketakwaan hanya perlu dikejar setahun sekali iaitu selama sebulan. Mereka juga merasakan kerugian yang amat sangat apabila tidak dapat menghidupkan Ramadan apabila datang haid. Anehnya, hanya dibulan Ramadan sahaja mereka merasakan kekurangan pahala disebabkan haid yang menyekat peluangnya untuk beramal, berpuasa dan mengerjakan solat.

Akibatnya, apabila fajar Syawal menyinsing, mereka seolah-olah memperoleh ‘kebebasan’ untuk kembali kepada kehidupan di luar bulan Ramadan. Aidil Fitri diraikan untuk menikmati semaksima kemeriahannya.

Apakah Syawal hanya menjanjikan seribu kenikmatan dan kemeriahan semata-mata? Adakah wanita hanya perlu disibukkan dengan penyediaan hidangan, menerima tetamu, menziarahi rakan taulan semata dan menyusun sepuluh jari memohon kemaafan? Fikratul Ummah kali ini ingin memuhasabah kaum wanita supaya kemeriahan Aidil Fitri tidak sedikit pun menjauhkan kaum Muslimah dari ajaran agamanya.

Sambutan Hari Raya & Muhasabah untuk Wanita
Berbeza dengan sambutan Hari Raya yang menjadi kelaziman rakyat Malaysia, sambutan Eid (hari raya) pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memberi kesan yang berbeza kerana aktivitinya merangkumi muhasabah kepada wanita.

Daripada Ummu 'Atiyah Radhiallahu Anha. Ujarnya: "Rasulullah memerintahkan kami, sama ada dia hamba wanita, wanita sedang haid atau wanita perawan, agar keluar pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Bagi wanita yang sedang haid diperintahkan untuk menjauh dari tempat solat, tetapi tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum Muslim. Aku lantas berkata, “Ya Rasulullah, salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab(jubah).” Rasulullah Menjawab,“Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbabnya (jubah) kepadanya.” [Muttaqafaq 'alaih].

Pada masa kini, Muslimah turut sama melakukan solat sunat Aidil Fitri dan mendengar khutbah adalah fenomena biasa. Akan tetapi, berapa ramai dari kalangan Muslimah menyedari tentang perintah Rasulullah supaya wanita yang hendak keluar ke tempat umum mengenakan jilbab yang mana kewajipan ini dinyatakan dalam Surah Al-Ahzab (33):59: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”.

Sering kali, apabila memperkatakan tentang aurat wanita, sebahagian Muslimah memahami bahawa aurat wanita hanyalah tudung penutup kepala yang mana perintah melaksanakannya disebutkan dalam Surah An-Nur (24):31:‟Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya”.

Akan tetapi tahukah Muslimah sekalian bahawa bukan hanya mengenakan khimar (tudung) dan berjilbab sahaja yang diwajibkan ke atas mereka? Lazimnya, di hari raya, kaum wanita mengenakan pakaian paling cantik, bersolek dan berwangi-wangian ketika menerima tetamu yang bukan mahramnya, juga ketika menziarahi sahabat handai, rakan serta taulan. Fenomena ini mungkin disebabkan kesalahfahaman memahami saranan Rasulullah: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." [Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327]. Hakikatnya, ada larangan bertabarruj kepada wanita iaitu sebarang kelakuan, penampilan atau perhiasan yang menarik perhatian laki-laki ajnabi. “Wanita apabila memakai wangi-wangian kemudian berjalan melalui majlis (laki-laki) maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur” [HR Abu Dawud dan Tirmizi].

Dalam suasana hari raya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah mengajarkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. Ketika baginda selesai khutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan anjuran untuk mentaatiNya, baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda: “Bersedekahlah kalian! Kerana kebanyakan kalian adalah kayu bakarnya Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya: “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana kalian banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” [HR Bukhari].

Dari hadis di atas, salah satu penyebab saranan untuk wanita bersedekah adalah kerana ramainya dari kalangan mereka yang menjadi bahan bakar neraka Jahanam disebabkan oleh perilaku buruk mereka terhadap suami. Akan tetapi, banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan wanita dihumban ke neraka sebagaimana hadis riwayatkan Sayyidina Ali Karam Allahu Wajhah: “Saya dengan Fatimah pergi mengadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kami dapati baginda sedang menangis lalu kami bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Aku lihat ada perempuan rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di umbun-umbunnya dan disuakan dengan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku melihat perempuan yang memotong tubuhnya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta. Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan, rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar dari duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripada api neraka”.

Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya: “Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda; apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.

Rasulullah menjawab: “Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang bukan mahramnya. Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya. Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas. Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepda orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat oleh lelaki lain. Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah umbun-umbun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub). Perempuan yang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.

Selain itu, apa yang perlu difahami oleh Muslimah adalah syurga yang didambakan bukanlah semata-mata disebabkan akhlak terpujinya terhadap sang suami. Sebaliknya fokus utamanya adalah mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mematuhi perintah Allah mestilah menjadi keutamaannya sehingga ketaatan kepada suami hanyalah dalam rangka mencari keredhaan Allah. Seorang wanita tidak boleh menumpahkan ketaatan mutlak atau membabi buta sehingga darjat sang suami lebih tinggi dari status Yang Maha Berkuasa seolah-olah suami lebih layak ditaati daripada Sang Pencipta Azza wa Jalla.

Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal bermaksiat kepada Al-Khaliq (Allah)” [Misykatul Mashbih dan dishahihkan Al-Albani dalam At-Tahqiq 3969].

Tiada ketaatan dalam bermaksiat kepada Allah, ketaatan itu hanya dalam hal yang makruf” [Muttafaqun'alaih].

Muslimah juga hendaklah memahami bahawa masuknya seseorang manusia ke dalam syurga Allah adalah atas rahmat Allah dengan usahanya memaksimakan ketakwaan dan bukan hanya memberi fokus kepada urusan rumah tangga, diri dan keluarganya sahaja. Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu [TMQ At-Taghabun (64):16]. Justeru walaupun ada hadis yang memberi isyarat mudahnya seorang wanita masuk syurga seperti hadis-hadis ini:

Bagi isteri hanya 4 syarat untuk mereka ke syurga “Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan, memelihara kehormatannya (aurat) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga” [HR Imam Bazzar melalui Anas r.a.].

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” [HR Ahmad].

Ia bukan bermakna segala tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim telah terlaksana dengan sempurna hingga tumpuan diberikan semata-mata kepada amalan dan kefarduan yang bersifat individu yang dinyatakan di atas sahaja. Ada kewajipan lain yang dibebankan di atas batu jemala kaum Muslim yang datang dalam bentuk umum seperti kewajipan berdakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar yang mana perintah datang dalam bentuk umum yang menyangkut seruan kepada laki-laki dan wanita Muslimah sebagai prasyarat untuk menjadi orang-orang yang beruntung (al-muflihun) dan menjadi umat terbaik (khayru ummah).

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [TMQ Ali Imran (3):104]

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3): 110]

Selain perintah melaksanakan dakwah melalui ayat di atas, Allah juga meletakkan status istimewa dan darjat yang tinggi kepada hamilud dakwah (pemikul dakwah) sebagaimana firman-Nya: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata aku adalah daripada orang-orang yang menyerah diri(muslimin)". [TMQ Al-Fussilat (41): 33].

Allah juga menurunkan ancaman kepada manusia yang lalai mematuhi perintahNya sebagaimana hadis Rasulullah riwayat Thabrani dari Abu Dzar al-Ghifari: “Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim).

Hadis ini berbentuk umum, bermakna ancaman Allah itu bukan hanya kepada kaum lelaki sahaja sebaliknya ia juga ditujukan kepada kaum Hawa yang tidak mahu mengambil tahu urusan kaum Muslim. Justeru, kaum wanita perlulah sentiasa mengambil kira isu-isu semasa yang berlaku, lebih–lebih lagi isu-isu politik dunia Islam. Mereka tidak sepatutnya ketinggalan dalam kancah dunia politik sekarang yang amat sinonim dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi sebagaimana yang difahami oleh banyak pihak. Mereka tidak perlu merasa jijik dan kotor apabila terlibat dalam kancah politik kerana makna politik sebenar adalah mengambil tahu urusan umat (ri’ayah shu’unil ummah) bukan memahami politik dari kaca mata penganut fahaman sekular-kapitalis-demokrasi. Oleh yang demikian amat penting untuk kaum wanita itu turut memahami permasalahan umat Islam yang berlaku di dalam dan luar negara sama ada laki-laki atau wanita.

Ketika menikmati ketupat, rendang dan kuih-muih, apakah kita sedar bahawa di negara-negara lain umat Islam memerlukan pembelaan dan bantuan daripada kita? Kita telah biasa mendengar dan melihat penderitaan umat Islam di Iraq, Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Bosnia. Adakah kita hanya mendengar dan mengucapkan rasa syukur kerana kita dilindungi Allah di bumi Malaysia? Adakah cukup sekadar mendoakan mereka dan mengecam serta mengutuk mereka yang melakukan kezaliman? Sudah tiba masanya kita melakukan perubahan untuk memastikan umat Islam berusaha melaksanakan sistem Islam yang sebenar.

Adakah kita sedar bahawa mengapa umat Islam yang teraniaya di luar sana tidak mendapat pembelaan sewajarnya walaupun bantuan kemanusian dihulurkan oleh pelbagai pihak? Kenapa wanita Islam diluar sana sentiasa dinafikan haknya seperti yang berlaku di kebanyakan negara Eropah yang menjadikan tudung sebagai alasan tidak dibenarkan ke sekolah? Dan yang paling menyedihkan, wanita Islam yang tidak bersalah ditikam sehingga mati begitu sahaja dihadapan orang ramai tanpa mendapat bantuan daripada sesiapapun? Pasti masih terbayang dibenak kita insiden yang menimpa Dr Marwa Al-Sharbini yang berasal dari Mesir, seorang ibu beranak satu yang sedang mengandung 3 bulan yang meninggal dunia akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti Islam dan anti Muslim kerana dia (Marwa) memakai tudung.

Adakah kita sebagai wanita hanya dapat mengeluarkan airmata tanpa melakukan sesuatu agar umat Islam itu tidak ditindas sehingga sedemikian rupa? Ingatlah bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memastikan nasib umat Islam ini terbela di bawah satu sistem yang adil dan mengikut fitrah manusia iaitu sistem Islam yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya)" [TMQ Al-Baqarah (2):208].

Muslimah yang dirahmati Allah,

Pada hari raya, Rasulullah menyarankan kita untuk mengucapkan kepada sesama Muslim kalimat “Taqabballahu minna wa minkum" yang bermaksud "Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu". Marilah kita mengorak langkah mendalami agama Allah ini untuk kita mengetahui seluruh tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim sama ada kefarduan dengan taklif khusus kepada wanita ataupun taklif umum sebagai umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja kita akan mengetahui bahawasanya doa yang kita panjatkan agar amalan dan ibadat diterima oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu bukanlah hanya ibadat ritual semata-mata yang hanya akan terhenti apabila fajar Syawal mula menyinsing. “Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. [TMQ:Az-Zumar(39):9]. Wallahu ‘alam bisshawab.

Wahai Wanita Islam Sedarlah, Mari Kembali Kepada Islam

Dalam keghairahan dan keriangan sambutan Aidilfitri, kaum wanita khususnya “terlalu” sibuk dengan persiapan lebaran. Bagi yang memegang status pengurus rumah tangga berjaya secara ‘full time’, acara membuat kuih raya, baju raya dan segalanya raya adalah suatu acara ‘kesibukan melampau’ setahun sekali. Sungguhpun begitu, pemegang status yang sama tetapi memiliki kerjaya sampingan sama ada dari bidang profesional, penjawat awam atau dari apa jua sektor pekerjaan juga tidak mahu ketinggalan. Acara membeli belah untuk persiapan ahli keluarga dan kuih muih raya tetap menjadi fokus bagi insan bergelar wanita. Dalam kesibukan dan keghairahan meraikan hari yang mulia ini banyak perkara yang sepatutnya diutamakan secara konsisten, terabai hanya kerana penangan aidilfitri yang bakal menjelma. Walaupun sambutan aidilfitri merupakan ‘hari kemenangan’ setelah melalui sebulan puasa Ramadhan, namun aidilfitri sering dijadikan sebagai lonjakkan kepada pembaziran dan intipati aidilfitri tidak langsung dihayati. Umat Islam terpesona dengan sambutan aidilfitri sehinggakan, tanpa umat sedar kita sedang membiarkan Kuffar Barat terus ‘tenang dan aman’ dalam menenggelamkan fokus kita terhadap ibadah dan kekuatan aqidah umat Islam yang semakin parah.

Kerakusan Barat dalam ‘melarikan dan menenggelamkan’ pemikiran mendasar umat Islam dari ke ‘Islam’annya amat menakutkan. Umat Islam semakin tenang dan selesa menggunapakai ‘the way of life’ yang bukan miliknya. Umat Islam juga semakin bangga meninggalkan Islam sebagai cara hidupnya itu. Ini menjadi satu tanda aras bahawa serangan pemikiran yang dilancarkan Barat terhadap umat Islam amat sukses dan meninggalkan kesan mendalam di jiwa raga mereka. Na’uzubillahhimin zallik. Barat yang amat benci kepada Islam sejak dahulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Atas kesedaran inilah maka mereka mulai mengkaji, meneliti dan memerhati dengan penuh kesungguhan apakah yang menjadi kunci kekuatan umat Islam, yang akhirnya mereka dapati bahawa perlunya ‘menyerang’ umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri.

Dengan kata yang lebih mudah, menyesatkan umat Islam itu dengan pemikiran Islam jua - iaitu putar belit dan manipulasi sesuai dengan kata-kata Samuel Zwemer dalam konferensi Al Quds untuk para paderi pada tahun 1935: "Sebenarnya tugas kalian bukan mengeluarkan orang-orang Islam dari agamanya menjadi pemeluk agama kalian. Akan tetapi menjauhkan mereka dari agamanya (Al-Qur'an dan Sunnah). Sehingga mereka menjadi orang- orang yang putus hubungan dengan Tuhannya dan sesamanya (saling bermusuhan), menjadi terpecah- belah dan jauh dari persatuan. Dengan demikian kalian telah menyiapkan generasi-generasi baru yang akan memenangkan kalian dan menindas kaum mereka sendiri sesuai dengan tujuan kalian"[http://swaramuslim.net/more.php?id=1828_0_1_0_M]. Antara tiga isu utama yang sering dijadikan ‘lubuk’ serangan oleh para orientalis Barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu (i) jihad, (ii) poligami dan (iii) emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi Kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya keatas Islam, sering menggunakan tiga sendi utama – (i) demokrasi, (ii) isu wanita dan (iii) akauntabiliti pemerintah umat Islam.

Propaganda Barat Terhadap Islam Melalui Isu Wanita
Isu-isu berkaitan wanita sering dijadikan alat oleh Barat untuk menyerang ideologi Islam. Sejak dari zaman berzaman, mereka secara terbuka dan langsung menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong dan bersikap berat sebelah terhadap wanita. Mereka juga dengan bijak memanipulasi isu-isu wanita Islam agar pandangan terhadap isu tersebut akan dinilai mengikut kacamata mereka. Propaganda yang dilancarkan itu secara sedar atau tidak telah dinilai mengikut pandangan mereka dan ia dihadam dengan baik oleh umat Islam terutama wanita. Kaum muslimah langsung tidak menyedari kehalusan teknik “membuang Islam dari hidup”- propaganda yang dilancarkan Barat terhadap mereka.

Isu-isu panas yang melibatkan wanita muslimah seperti sebuah penulisan yang bertajuk ‘Afghanistan's Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam’ (Jim Woods, ‘Capitalisme Magazine’, May 7, 2005) yang mana penulis artikel ini telah mengulas hukuman rejam terhadap seorang wanita yang bernama Amina selaku penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam. Dalam kes-kes terbaru dan masih hangat lagi diperkatakan adalah dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah dijatuhi hukuman enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana kesalahan meminum arak. Manakala dalam kes antarabangsa adalah kes Mahkamah Syariah di Ommudarman, Sudan. Laporan The Observer pada 2hb Ogos 2009 menyebut bahawa 40 sebatan dan denda yang tiada had boleh dikenakan terhadap seorang wanita Sudan, Lubna Hussein kerana memakai seluar panjang kerana menyalahi Artikel 152, undang-undang jenayah Sudan [http://www.guardian.co.uk/world/2009/aug/02/sudan-women-dress-code]. Insiden yang menimpa bekas wartawan ini terus di beri perhatian ‘luar biasa’ oleh media tempatan dan antarabangsa tersohor seperti CNN, Reuters, Al Jazeerah dan sebagainya. Pelbagai pendapat dan kritikan digembar-gemburkan untuk menunjukkan betapa Islam menindas wanita dan jeleknya layanan Islam terhadap makhluk kaum hawa ini.

Untuk merealisasikan bahawa wanita Islam itu ‘tertindas’ dengan ajaran Islam dan perlu kepada pembelaan, mereka juga menonjolkan 'tokoh-tokoh wanita' yang mereka anggap sebagai lonjakkan wadah untuk menyerang ajaran Islam. Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Nobel Tahun 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan 'memperbetul' ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita. Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar The Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan Sisters in Islam begitu ghairah memuji Zainah Anwar dari SIS - "Zainah Anwar is a good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women's rights. To many Muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible" ['Sisters take on scholars in battle for Islam', Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005]. Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam – dalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka untuk 'mencairkan' ideologi Islam agar Islam dapat di 'liberal'kan sehingga umat tidak dapat menilai lagi antara kaca dan permata.

Kaum Kufar Barat turut berusaha dengan gigih mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah merekalah memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperleceh dan merendahkan martabat wanita yang mulia.

Realiti Suatu Kepastian
Kufar Barat begitu teruja menyerang Islam kerana menyangka mereka dan ideologi Kapitalisme ciptaan mereka itu yang terbaik dan sesuai untuk diaplikasikan. Beberapa isu yang melibatkan hukuman terhadap wanita Islam mengikut hukuman Islam sengaja disensasikan seperti isu Amina di Afghanistan yang sengaja digunakan oleh Barat untuk menghina hukuman rejam kepada penzina. Dalam kes Kartika pula isu hukuman sebanyak enam kali sebatan juga menjadi satu kontroversi sejagat untuk menghentam hukuman hudud. Manakala isu pemakaian seluar oleh Lubna Hussein di Sudan juga adalah polemik Barat untuk terus menyeru bahawa Islam menindas dan menganak-tirikan makhluk yang bernama wanita kerana mengekang hak asasinya untuk bertingkahlaku serta berpakaian mengikut kehendak sendiri.

Walaupun Kapitalisme pada hakikatnya tidak memandang isu seks sebagai suatu masalah yang besar, penzinaan merupakan satu cara hidup di negara-negara Barat. Mungkin keganasan seks masih dianggap sebagai jenayah disana, namun frekuensi kejadiannya memberikan gambaran bahawa ia seolah-olah sudah menjadi ‘trend’ di dalam masyarakat mereka. Begitu juga dalam kebebasan untuk minum arak dan kebebasan berpakaian untuk wanita yang dilaungkan. Marilah kita perhatikan sedikit sebanyak dari contoh yang memanifestasikan hakikat sebenar pandangan Barat keatas wanita.

Dalam tahun 2003 sahaja AS menyaksikan 93,233 kes rogol - 63 orang wanita dalam 100,000 telah menjadi mangsa rogol. Pada setiap satu atau dua minit akan ada seorang wanita AS yang diganggu secara seksual dan dalam masa setiap 6 minit 1 kejadian rogol akan berlaku (FBI). Bilangan wanita didera dan dirawat di ‘First Aid Centers’ melebihi satu juta orang. Dan lebih dari 1,500 wanita dibunuh oleh suami, kekasih dan teman sebilik (The Milenio, Mexico, Sept 26, 2004). Hampir 78% wanita di Barat secara fizikal menjadi mangsa gangguan seks sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka. Kajian yang dilakukan oleh US National Institute of Justice menunjukkan bahawa semasa menghabiskan masa 4 tahun pembelajaran di kolej, 88% wanita menjadi mangsa serangan fizikal atau mangsa seks dan 64% daripada mereka ini pernah mengalami kedua-dua kes.

Jenayah melibatkan seks yang seringkali mangsanya adalah wanita yang dilakukan oleh tentera Amerika sendiri semakin meningkat. Menurut Washington Post (3hb Jun, 2004), dari 1999 kepada 2002 bilangan saman terhadap jenayah seks di dalam tentera US difailkan secara meningkat dari 658 kepada 783, menunjukkan peningkatan sebanyak 19% dan kejadian rogol meningkat dari 356 kepada 445 kes, sebanyak 25%. Bilangan kes yang sedemikian meningkat setara iaitu 5% antara tahun 2002 sehingga 2003. The British Guardian melaporkan pada bulan Oktober 2004 bahawa Miles Foundation telah mengendalikan 242 kes yang difailkan pada September 2002 dan Ogos 2003 tentang tentera wanita AS yang dirogol dan gangguan seks di Iraq, Kuwait, Bahrain atau Afghanistan. Tambahan pula, terdapat 431 kes gangguan seksual wanita di kem-kem tentera yang lain.

Di bumi Amerika sendiri, selaku penganjur kebebasan yang tersohor diskriminasi terhadap wanitanya dalam bidang pekerjaan adalah lebih hebat. Pada tahun 2004, terdapat dua kes yang menarik perhatian. Ianya berkaitan dengan kes “gender bias" yang melibatkan 1.6 juta pekerja wanita di Wal Mart dan kes yang lain melibatkan 340 staf wanita Morgan Stanley [New York Times, Julai 13, 2004]. Wanita yang bidang tugasnya tidak berbeza dengan pekerja lelaki tidak dibayar kadar gaji yang sama - statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS menunjukkan bahawa wanita mendapat median gaji 81.1% gaji lelaki.

Penjagaan kesihatan terhadap wanita di AS adalah antara yang paling teruk di dunia; ini diceritakan sendiri oleh Dr. Jody Heyman, dari Harvard School of Public Health. Dari 168 buah negara yang dikaji penulis ini, beliau berkomentar tentang AS sebagai "...far behind the rest ot the World.." (...jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia) [AP Boston, 17hb Jun, 2004] .

Nah, inilah Barat. Kononnya Barat dan ideologi Kapitalisme sebagai penyelamat namun hakikatnya, selagi manusia itu berhukum dengan akal dan nalurinya maka keamanan dan keselamatan buat wanita akan terus menjadi impian semata-mata. Allah Subhanahu wa Taala adalah Pencipta manusia dan alam ini. Dia yang menjadikan Islam dan syariatnya juga yang menjadikan akal dan perasaan manusia. Maka wajarlah segala ketentuan dan tatacara hidup ini dikembalikan kepadaNya sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “(Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" [TMQ Al-Baqarah (2) : 216]

Wanita Dalam Pandangan Islam
Islam amat sensitif dalam membicarakan wanita kerana dalam pandangan Islam, wanita dan lelaki sama sahaja darjatnya, tanggungjawabnya. Dalam pandangan Islam juga wanita adalah makhluk Tuhan yang dijaga maruah dan kehormatannya. Justeru, hanya perbezaan taklif hukum sahaja yang berbeza mengikut ketentuan hukum khusus mengikut fitrah yang tercipta buat mereka. Dengan jelas dalam Al-Quran juga telah dinyatakan beberapa persamaan diantara lelaki dan wanita.

Persamaan Dalam Proses Penciptaan
Allah Subhanahu Wa Taala telah menyatakan: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [TMQ An-Nisaa (4) : 1]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Sesungguhnya perempuan itu saudara kandung bagi lelaki” [HR Abu Dawud & Tirmizi]

Persamaan Dalam Taklif Hukum Dan Mendapat Ganjaran
Sebagaimana Allah Subhanahu Wa Taala telah menyatakan: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” [TMQ An-Nisaa (4) : 124]

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” [TMQ An-Nahl : 97]

Persamaan Dalam Hudud (Ketentuan Hukuman) & Hukum Syariah Yang Lain
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” [TMQ Al- Maidah (5) : 38]

Persamaan Dalam Hak Milik & Menggunakan Harta Miliknya
Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
[TMQ An –Nisaa’ (4) : 20-21]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Tidaklah halal (diambil) harta seorang muslim kecuali dengan jiwa yang lapang” [HR Ahmad]

Islam: Demi Kesejahteraan Dan Keamanan Wanita
Justeru, jelas hanya Islamlah yang memiliki ideologi dan adilnya kesaksamaan diantara lelaki dan perempuan. Ini adalah janji dan ketentuan yang dibuat oleh pencipta makhluk yang ada dimuka bumi ini.

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. [TMQ Al-Maidah (5) : 3]

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” [TMQ Al-Hujurat:13]

Kesimpulannya adalah, segala ketentuan hukum yang telah Allah tetapkan sebenarnya memiliki segala hikmah yang tidak dapat diungkapkan dengan segera. Tambahan pula dalam keadaan umat Islam yang telah hilang kekuatan dan penunjuknya selepas Khilafah Islam yang pernah memayungi seluruh umat Islam dighaibkan secara bahasa dan maknanya. Umat Islam terus lemas, dan terkapai-kapai mencari daratan kepastian. Wanita Islam terus dimanipulasi, terus dipermainkan supaya matlamat musuh Islam agar Islam dibuang dari hidup sentiasa subur dan mekar.

Bangkitlah wahai muslimah yang bernaung dibawah kalimah syahadatain,

Dalam kemuliaan Syawal ini marilah kita sama-sama bangkit mengembalikan Islam sebagai satu cara hidup yang akan menjamin kesejahteraan kita melalui pelaksanaan seluruh hukum-hakam Allah secara kaffah. Janganlah kelekaan dan keasyikkan Syawal melalaikan kita dari terus berjuang dan kembali kepada Allah dan syariat yang ditetapkanNya supaya akan tertegak kembali Khilafah kali kedua sebagai sebuah institusi pemerintah yang menerapkan segala syariah. Wallahu’alam.

Wednesday, September 2, 2009

Puteri Kecintaan Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam : SAIDATINA FATIMAH BINTU MUHAMMAD

Rabu, 02 September 2009 16:30 Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Malaikat turun lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.

Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah. Fatimah Radiallahu anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Beliau membesar di rumah nubuwwah yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Ibunya, Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman. Suami Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama, pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu anhu. Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin Radiallahu anhuma. Bapa saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’ Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib. Bapa saudara beliau yang lain adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga, mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu Al-Abbas bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu. Jaafar bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara bapa saudara beliau yang utama, sekaligus sepupu kepada suaminya, yang merupakan pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.

Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut. Begitu juga dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam. Ibnu Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.” Puteri-puteri Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.

WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA
Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan, tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum yang memusuhi baginda. Saidatina Fatimah menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum musyrikin ketika itu.

Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith. Si jahil ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang tubuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya. Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang perbuatan keji itu . Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab.

Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah, ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”. Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu wa Taala. Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa tersebut terbunuh semasa Perang Badar.

Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam . Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan, tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.

Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan dikepung di perkampungan Abu Thalib. Sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para wanita lantaran kelaparan. Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah beliau kembali bertemu dengan Rabbnya.

Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina Khadijah Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya.

Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang berhijrah. Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri.

TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH
Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat dirham. Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar Al-Kubra.

Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah. Semenjak hari pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu.

Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut. Ini terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya. Bahkan Ali sempat berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas berat Fatimah di rumahnya, “Janganlah membebani Fatimah bintu Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” . Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka.

Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang. Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain. Rasulullah menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada keduanya:

"
Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.” [Ditakhrij Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]

Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka ucapkan sehingga akhir hayat mereka.

KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA
Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”

Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih keredhaanNya. Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda: “Wahai Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”. Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas tersebut dan memerdekakannya. Sebaik Rasulullah mengetahui hal tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.

Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya. Beliau turut menempati kedudukan yang tinggi dalam hal As-shiddiq, yang suci dan diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha dengan menyebutkan, “ Aku tidak melihat seseorang yang lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.

Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan Rasulullah sangat memuliakannya”. Beliau menduduki kedudukan yang istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah, ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.

MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK
Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh muslimah yang namanya harum di medan jihad. Di dalam Perang Uhud contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum muslimin ketika itu. Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah Fatimah bintu Rasulullah. Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di wajah baginda. Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”.

Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan menyebutkan, “ Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali mengalirkan air dengan menggunakan bekas air. Ketika Fatimah melihat bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu. Lalu disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka tersebut.”

Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk di dalam Perang Khandaq dan Khaibar. Di dalam peperangan ini, Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh lima wasaq gandum dari Khaibar. Fatimah juga ikut bergabung di dalam Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu Sufyan bin Harb.

KEKASIH RASULULLAH SAW
Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”. [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud]. Al-Imam Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah Ali”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu, beliau berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan daripada Fatimah”.

Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain. Cukuplah kemuliaan baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah Radiallahu anha melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara duduknya melainkan Fatimah. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di tempat yang sebelumnya baginda duduki. Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri baginda dan memeluknya”.

Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi. Baginda pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk memberikan nasihat. Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang berseri-seri dan bersabda “Apakah yangmenghalangiku (dari merasa bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.

Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda juga marah kerana kemarahan Fatimah. Baginda sangat memperhatikan perasaan puterinya. Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib Radiallahu anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini menimbulkan kesedihan Fatimah. Rasulullah kemudiannya bangkit dan bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki (suami)” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud]. Perkataan Rasulullah ini membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin menjaga perasaan Fatimah.

Ibnu Abdil-Barr Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah, yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat, menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda yang lain.

PERJALANAN MENUJU KEABADIAN
Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan Rasulullah. Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya sangat hampir di sisi dirinya. Kemudian, baginda membisikkan perkataan yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula menyebabkan Fatimah tersenyum. Kami hanya mengetahui perkataan tersebut setelah Rasulullah wafat.

Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam setahun. Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali. Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian melainkan petanda ajal baginda kian hampir. Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih dahulu berlalu bagimu adalah aku”. Maka aku (Fatimah) pun menangis. Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau para pemimpin wanita umat ini”. Maka, aku pun tersenyum.”

Sepeninggalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan yang sangat mendalam. Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11 Hijrah. Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun. Maka, benarlah apa yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.

NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid, Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam bintu Imran”. [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]

Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah bersabda,

Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.

Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’ Radiallahu anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira seperti ini. Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul Jauzy Radiallahu anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah Radiallahu Anha”. Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah, yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi. Dan cukuplah keberkahan
bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.

Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar, wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya. Semoga Allah meredhai Saidatina Fatimah Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.

Wallahua’alam bisshowab.