Thursday, June 4, 2009

Adakah Islam Menindas Wanita? (Bahagian 2)

Ketika kegagalan niqab (Veil Fiasco) Jack Straw, beberapa ahli politik dan media Barat telah berlumba-lumba menonjolkan diri untuk menjelaskan bahawa niqab atau veil muka adalah menyusahkan masyarakat British. Tessa Jowell, Setiausaha Kebudayaan ketika itu turut memberi pendapat “two pence” beliau dalam perdebatan tersebut dengan memberi komen, “ Kita telah berjuang selama beberapa generasi untuk kesetaraan bagi wanita supaya wanita mendapat . kesamaan hak dalam masyarakat.” Bukan niqab sahaja yang di lihat oleh Barat sebagai pengkhianatan Islam ke atas “Hak–hak wanita” (Women’ Rights) tetapi juga perundangan, tanggungjawab dan hak-hak yang berbeza diantara lelaki dan wanita dalam masyarakat; khimar (tudung) dan jilbab (pakaian luar); memberi keterangan, undang–undang pewarisan dan penceraian; poligami; larangan wanita menjadi ketua negara; tugas lelaki sebagai penjaga dan pencari nafkah keluarga sementara tugas wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak; mematuhi suami dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak–hak suami. Perdebatan ini sering disampaikan seolah-olah undang-undang dan tugas–tugas ini mendiskriminasi wanita, hanya dikuasai oleh kaum lelaki, membuat wanita kurang penting dari kaum lelaki dan memberikan wanita status sebagai warga kelas kedua dalam masyarakat, tidak berharga berbanding lelaki. Yang paling penting adalah dakwaan bahawa undang-undang ini menunjukkan perbuatan khianat terhadap kesetaraan gender (gender equality) yang dilihat oleh Barat sebagai satu jalan bagi wanita untuk memiliki status, penghormatan dan kebebasan dalam masyarakat. Dalam artikel ini kita akan meneliti kepercayaan berkaitan dengan kesetaraan gender dan mencabar tanggapan bahawa perundangan Islam menindas wanita hanya kerana tarafnya dikatakan jauh lebih rendah dari kesetaraan gender.

(1) Kesetaraan gender adalah dilahirkan oleh Barat, bukan dari pengalaman Islam.
Perkara pertama yang mesti kita perhatikan adalah konsep kesetaraan gender ini lahir dari pengalaman Barat akibat ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat. Ketidakupayaan untuk meninggalkan suami yang ganas, memulakan proses penceraian apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan, tidak mendapat kemudahan dalam pendidikan dan pekerjaan, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan, kekurangan hak harta dalam perkahwinan dan ketiadaan hak berpolitik adalah keadaan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat dimana keadaan ini mencetuskan gerakan feminism yang pertama. Keadaan ini muncul dari pandangan bahawa wanita dalam masyarakat adalah kurang berharga atau bernilai daripada lelaki sebagai seorang manusia: spiritual dan intelektual. Malah, orang–orang yang dianggap sebagai yang berfikiran terbuka (enlightened thinkers) dalam sejarah Barat seperti Voltaire dan Rousseau, mengambarkan wanita sebagai seseorang yang kurang rasional dari lelaki dan oleh itu tidak sesuai untuk kehidupan umum. Mereka mengemukakan ini sebagai satu hujah mengapa lelaki mesti menjadi warga dalam masyarakat manakala wanita terhad sebagai isteri dan ibu. Wanita-wanita yang berani telah berjuang menentang norma dan pandangan yang menindas ini, sebahagiannya mengorbankan kehidupan mereka untuk membebaskan persepsi yang salah ini terhadap wanita untuk mendapatkan hak asas kewarganegaraan. Mereka telah cuba mendapatkan hak-hak ini dibawah panji “kesetaraan gender”.

Pandangan Islam:
Sebagai perbandingan, “perjuangan wanita” (women struggle) adalah asing dalam sejarah Islam atas beberapa perkara. Pertama, Islam sentiasa berpandangan bahawa lelaki dan wanita mempunyai keupayaan intelektual dan nilai kepentingan yang sama sebagai manusia kerana mereka dicipta dari satu roh yang tidak mempunyai perbezaan dari sifat manusia. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan wanita.” [TMQ An-Nisa : 1]

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, lak-laki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ Al-Ahzab:35]

Kedua, banyak sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang mengangkat status wanita dalam masyarakat, melupuskan status rendah wanita sebagai warga kelas kedua, yang memperhambakan diri kepada laki-laki di Arab dan perkara-perkara yang lain dalam masyarakat, sebelum kedatangan Islam. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan melindungi mereka, memberikan apa yang dikehendaki mereka dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka, akan mendapat syurga.” Seorang laki-laki diantara orang ramai bertanya, “Dan jika ada dua, wahai Rasullullah? Dan baginda berkata, “Ya, walaupun mereka ada dua”. Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Seorang yang benar-benar beriman itu adalah seorang yang mempunyai pekerti yang terbaik dan yang terbaik diantara kamu adalah orang–orang yang berbuat baik kepada wanita-wanita mereka”. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu”. Dalam khutbah terakhirnya, baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Takutlah Allah berhubungan dengan wanita kerana mereka adalah amanah ditangan kamu”. Oleh itu, inilah pandangan terhadap wanita dan rasa tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta adalah langkah utama untuk mencegah dari tidak menghormati, mendiskriminasi dan mencederakan wanita.

Ketiga, hak-hak seperti pendidikan, bekerja dan memberikan pekerjaan, memiliki harta, menyewa tanah, bekerja sebagai ahli perniagaan atau professional, memilih pemerintah dan menyuarakan pandangan politik mereka, memulakan proses penceraian dan memiliki kemewahan bagi seorang wanita sebagai seorang warganegara telah termaktub dalam teks-teks Islam dan telah terjamin semenjak permulaan tamadun Islam. Bulan Julai ini menandakan ulangtahun ke-80 “Equal Franchise Act” apabila wanita di Britain memenangi hak mengundi seperti lelaki, manakala bulan Disember ini pula, akan menandakan 1,430 tahun semenjak Islam memberikan wanita hak mengundi yang sama seperti lelaki. Manakala wanita di Eropah mengikat diri mereka dijeriji dan melakukan mogok lapar untuk menuntut suara berpolitik, Islam telah mewajibkan wanita untuk aktif berpolitik dalam masyarakat. Apabila akhirnya wanita yang telah berkahwin dalam banyak masyarakat Barat dibenarkan untuk menguruskan akaun bank mereka dan segala urusan kewangan mereka tinggal berasingan dari suami-suami mereka pada tahun 1960an, wanita Islam yang telah berkahwin mahupun bujang, telah pun diberikan kekuasaan mutlak keatas kekayaan dan harta benda mereka lebih dari 1400 tahun yang lalu.

(2) Dilema “Kesetaraan Gender”:
Jika kita meneliti konsep “Kesetaraan Gender”, ironinya kita akan dapati bahawa ia adalah satu konsep yang mana lelaki yang menguasai kerana ia meletakkan lelaki sebagai seorang yang menjadi ketua pada nama sahaja atau pun satu matlamat yang ingin dicapai oleh wanita. Lebih beberapa generasi, ramai feminis Barat telah mendapati bahawa ia juga menimbulkan beberapa kontradiksi dan dilema yang tersendiri, Contohnya, dilema dimana seorang wanita yang menyeru kepada kesetaraan turut menyangkal kepentingan gender dalam kehidupan umum tetapi pada masa yang sama turut menyeru kepada hak-hak kehamilan atau waktu kerja yang lebih fleksibil berdasarkan kepada perbezaan gender. Idea kesetaraan gender yang menjejaskan apresiasi perbezaan gender ditempat kerja dan masyarakat, lebih menghalang dari memudahkan pencapaian untuk hak-hak asas yang akan turut membuka pintu diskriminasi. Seruan kearah undang-undang keneutralan gender yang tidak mengiktiraf perbezaan yang ketara antara jantina, berkemungkinan akan menyebabkan ketidakadilan terhadap wanita, dimana majikan akan mengharapkan komitmen kerja yang sama berkaitan masa dan aktiviti fizikal bagi wanita yang hamil ataupun yang mempunyai anak-anak kecil. Tambahan pula, secara teorinya konsep kesetaraan gender akan melahirkan “have it all woman”, tetapi realitinya akan melahirkan “do it all woman” – seseorang yang bukan sahaja akan sentiasa dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga tetapi juga dibebani dengan tanggungjawab kewangan keluarga dengan bersusah payah memelihara kerjaya yang mencabar. Dengan “dirantai di sinki dapur” (being chained to the kitchen sink) dengan pantasnya akan diganti dengan “dirantai di pasaran ekonomi” (being chained to the economic market).

Tambahan pula, diskriminasi gender dan kesulitan untuk meningkat maju (glass ceilings) masih wujud dalam masyarakat Barat sama seperti keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap wanita – dua abad setelah lahirnya laungan kesetaraan gender. Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan rang undang-undang kesetaraan (“Equalities Bill”) baru yang membahaskan isu-isu seperti perbezaan gaji dan meluluskan rang undang-undang mengenai diskriminasi terhadap wanita bagi menangani masalah diskriminasi yang berterusan terhadap wanita ditempat kerja – isu-isu dasar tentang hak-hak wanita yang berterusan melanda persekitaran tempat kerja dan kehidupan umum dalam masyarakat sekular Barat. Tambahan pula, baru-baru ini sebuah laporan dari Home Office telah mendapati lebih 650,000 kes-kes keganasan rumahtangga telah dilaporkan pada tahun lepas di United Kingdom – ini menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dari tahun sebelumnya.

Apa yang nyata adalah dengan memperolehi kesetaraan peranan, tanggungjawab dan hak dalam perkahwinan dan masyarakat, tidak bererti secara automatik wanita mendapat jaminan tentang kehormatan, anti-diskriminasi dan perlindungan sama seperti peranan, tanggungjawab dan hak-hak lelaki dan wanita yang berbeza dalam Islam akan melahirkan penindasan, ketidakhormatan dan bahaya terhadap wanita pada umumnya. Layanan terhadap wanita bergantung kepada pandangan dan nilai-nilai yang telah dipropagandakan oleh mana-mana masyarakat sama seperti kepentingan dan penghargaan terhadap wanita. Dalam masyarakat liberal sekular, malah terdapat satu jurang antara seruan kearah memberi penghormatan dan penghargaan yang setara terhadap wanita dengan konsep kebebasan yang membolehkan lelaki untuk berpandangan dan melayan wanita seperti mana yang diingininya.

Pandangan Islam
“Kesetaraan gender” bukanlah satu konsep yang terkandung dalam Islam. Islam tidak membandingkan wanita dengan lelaki atau melihat apakah yang terbaik untuk wanita berlawanan dengan apakah yang terbaik untuk lelaki apabila menerangkan hak dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga ataupun bermasyarakat. Lebih tepat ia melihat kepada keperluan lelaki dan wanita sebagai manusia dan apakah yang terbaik untuk kehidupan keluarga dan komuniti keseluruhannya untuk mencapai kesejahteraan. Oleh itu, dalam beberapa bidang, hak-hak dan peraturan-peraturan adalah serupa, contohnya hak sebagai warganegara termasuk hak keadilan, hukuman yang serupa untuk jenayah yang serupa, hak untuk mengundi ketua negara dan suara berpolitik dalam masyarakat. Dalam beberapa bahagian, tanggungjawab adalah sama, contohnya solat, puasa, mengerjakan haji, membayar zakat, dan muhasabah pemerintah.

Walaubagaimanapun, dalam beberapa isu, hak dan peranan antara lelaki dan perempuan adalah berbeza, contohnya dalam proses penceraian, kod berpakaian, harta warisan, mahar yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pengantin wanita dalam perkahwinan, poligami, memerlukan 2 orang saksi wanita untuk memberi saksi di mahkamah berbanding dengan hanya seorang bagi lelaki, hak penjagaan anak serta peranan dan hak dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Oleh itu, dalam sesetengah perkara, Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan lelaki hak-hak tertentu yang tidak mungkin mampu dipikul oleh wanita dan dalam isu yang lain Dia Subhanahu wa Taala pula telah memberikan wanita hak-hak yang tidak mungkin mampu dipikul oleh lelaki. Islam tidak melihat perbezaan sebagai masalah atau diskriminasi kerana ia tidak melihat satu peranan atau hak dalam sesuatu perkara itu mengatasi yang lain. Contohnya, dalam kehidupan berkeluarga, Islam menerangkan bahawa tanggungjawab lelaki sebagai pencari nafkah manakala wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’aruf” [TMQ Al-Baqarah:233]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiapnya bertanggungjawab keatas setiap orang dibawah jagaannya. Seorang pemerintah adalah penjaga; seorang lelaki adalah penjaga keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami dan anak-anaknya. Dan setiap dari kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab keatas jagaannya”. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Satu peranan mengatasi peranan yang lain, akan tetapi kedua-duanya adalah penting untuk memastikan kelangsungan fungsi sebuah keluarga dan kemajuan masyarakat amnya. Bagi masyarakat Barat, sebarang perbezaan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dalam Islam sering ditakrifkan sebagai satu pengkhianatan kesetaraan dan oleh itu, ia serta merta dianggap tidak adil dan menindas tanpa meneliti apakah yang ingin dicapai oleh hukum-hakam Islam dalam kehidupan berkeluarga atau masyarakat. Contohnya, Islam telah menetapkan peranan penjaga dan pemimpin keluarga kepada lelaki, bukan kerana lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk tujuan pengurusan kehidupan berkeluarga. Sesungguhnya, Mary Astell, salah seorang diantara feminis English yang awal, telah membuat kesimpulan bahawa seorang isteri mesti mematuhi suami, bukan atas dasar lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk pengurusan kehidupan rumahtangga.

Dari segi kewangan dalam Islam, wanita sepatutnya dibiayai oleh ahli keluarganya yang lelaki, komuniti serta negaranya. Oleh itu, walaupun seorang wanita itu dibenarkan untuk bekerja, tidak harus ada tekanan masyarakat dan kewangan keatasnya jika dia memilih untuk tidak berkompromi akan tugas utamanya sebagai seorang isteri dan ibu serta mengasuh pemikiran dan tingkah laku generasi akan datang. Kekayaan yang diperolehi oleh seorang wanita dari bekerja atau warisan boleh dibelanjakan sesuka hatinya tanpa mengambil kira keperluan kewangan keluarganya. Walau bagaimanapun, lelaki bertanggungjawab untuk membelanjakan pendapatannya dan sebarang warisan bukan sahaja untuk membiayai isteri dan anak-anaknya tetapi juga saudara wanitanya jika diperlukan. Sesungguhnya ia adalah satu hujah yang aneh dimana ia menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga tidak adil keatas wanita. Walhal, ini adalah satu keringanan baginya kerana bebanan kewangan untuk keluarganya tidak lagi terletak dibahunya. Ia juga satu pandangan yang tidak rasional keatas wanita, seolah–olah buta keatas ketidakadilan yang diletakkan di bahu “superwoman” yang bertungkus-lumus setiap hari untuk mengimbangi tanggungjawab ke atas keluarga dan mencari nafkah. Wallahu ‘alam bisshawab.

No comments:

Post a Comment