Monday, June 29, 2009

Awas! Feminisme & Kesetaraan Gender Musuh Umat Islam

Tak semena-mena nama Sisters In Islam (SIS), sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1990 hasil ilham Dr Amina Wadud berkumandang di media arus perdana tanahair. Segalanya bermula pada 7hb Jun 2009 dalam Muktamar PAS 2009 ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam apabila usul PAS Shah Alam diterima tanpa bahas. Usul itu mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal, seterusnya mengharamkan SIS sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya. Laporan www.malaysiakini.com pada 12 Jun 2009 menyebut bahawa Mutfi Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria juga anggota MFK menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyiasat kenyataan ganjil SIS. Antaranya berhubung isu poligami dan pembahagian harta pusaka yang membelakangkan ayat al-Quran. Akhbar Berita Harian pada tarikh yang sama memetik bahawa “usul itu mengundang pelbagai persepsi daripada masyarakat termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang kelmarin menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan PAS supaya SIS diharamkan” [Berita Harian, 12 Jun 2009].

Adalah penting bagi umat Islam melihat senario ini-bukan dari apa isu panas yang dimainkan oleh media serta respon ‘suam-suam kuku’ yang akan sejuk setelah isu tidak lagi diperkatakan. Sebaliknya melihat dengan jelas – apakah perjuangan SIS yang mesti dibongkar kebatilannya dan bukan kerana ia menjadi mainan politik pihak pro kerajaan dan parti pembangkang. Juga, adakah pengharaman NGO yang berdaftar atas nama SIS Forum Berhad, sekiranya dilaksanakan akan dapat membendung idea feminisme ke akar umbi?

Sepintas lalu, apabila dilihat tujuan penubuhan SIS, agenda mereka adalah menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan maruah manusia sama ada lelaki atau wanita, khususnya hak wanita Islam. NGO “Islam” yang dipelopori seorang aktivis feminis yang memeranjatkan dunia kerana mengimami solat Jumaat di sebuah gereja di New York pada 18hb Mac 2005 ini begitu komited dalam memperjuangkan Musawah (kesetaraan/kesaksamaan). Menurut Kerangka Kerja Tindakan Musawah di laman web rasminya iaitu www.musawah.org, Musawah adalah satu gerakan global bagi menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam. Ia mengisytiharkan bahawa kesaksamaan dalam keluarga sangat diperlukan memandangkan banyak aspek dan amalan dalam Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) masa kini tidak adil dan tidak berlandaskan realiti kehidupan individu serta pengalaman keluarga Islam. Secara ringkasnya, mereka beranggapan bahawa kezaliman dan ketidakadilan yang menimpa wanita Islam akan dapat diselesaikan jika wujud kesaksamaan atau kesetaraan (musawah/equality) antara gender. Jadi untuk mewujudkan kesetaraan gender ini, mereka memperjuangkan feminisme. Justeru, sebelum kita melihat dalam perspektif syarak tentang isu kesaksamaan atau kesetaraan yang diperjuangkan oleh SIS ini, marilah kita halusi dahulu apakah itu feminisme.

Apa itu Feminisme?
Menurut Wikipedia, feminisme ialah himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada pengetepian oleh kaum lelaki. Dalam istilah yang mudah, feminisme merupakan kepercayaan kepada kesamaan sosial, politik, dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina harus tidak merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang [http://ms.wikipedia.org/wiki/Feminisme]. Kamla Bashin dan Nighat Said Khan dalam “Persoalan Pokok Mengenai Feminisme dan Relevansinya” (1995) mengatakan bahawa feminisme adalah “Suatu kesedaran akan penindasan dan pemerasan terhadap perempuan dalam masyarakat, di tempat kerja, dan dalam keluarga, serta tindakan sedar oleh perempuan mahupun lelaki untuk mengubah keadaan tersebut.”

Apa itu Feminisme Islam?
Menurut Yunahar Ilyas dalam “Feminisme dalam Kajian Tafsir Al Qur’an Klasik dan Kontemporer” (1977), selain mesti memenuhi kriteria tersebut iaitu memiliki kesedaran akan ketidakadilan gender (gender inequalities), yang menjadi “benang merah” pengikat semua fahaman feminisme, dia mestilah beragama Islam dan mempersoalkan ajaran Islam. Menurut laman web www.sistersinislam.org.my, Sisters In Islam (SIS) yang mendakwa mereka sebagai pergerakan feminisme Islam berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keIslaman, khususnya prinsip keadilan (al-adala), kesetaraan (al-musawah), kebebasan (al-hurriya), kemartabatan (al-karama) dan kasih sayang antara insan (mu'asyarah bil'ruf). Ini adalah kerana di dalam masyarakat, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama dan saling bertanggungjawab. Feminis Islam seperti SIS menganggap amat penting menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah untuk meraih keadilan, kesetaraan, kebebasan, kemartabatan dan kasih sayang antara insan kerana berpendapat bahawa terjadinya ketidakadilan gender adalah hasil dari anggapan-anggapan bersifat teologi bahawa perempuan memang diciptakan lebih rendah darjatnya daripada lelaki kerana golongan Hawa itu tidak boleh terlibat dalam aspek pemerintahan dan kekuasaan dan hanya membatasi aktivitinya di rumah dan di dapur. Menurut Ali Asghar Engineer yang juga seorang feminis Muslim dalam “Hak-Hak Perempuan dalam Islam” (1994), tanggapan-tanggapan ini iaitu wanita diciptakan dengan darjat lebih rendah adalah hasil penafsiran kaum lelaki terhadap Al-Quran untuk mengekalkan dominasi kaum Adam ke atas kaum Hawa. Dia kemudiannya mengajukan konsep kesetaraan sebagai jawapan kepada masalah kesetaraan antara lelaki dan wanita dalam Al Quran yang mesti memenuhi dua syarat:
i) Dalam pengertian umum, konsep kesetaraan hendaklah ada penerimaan martabat kedua jenis kelamin dalam ukuran yang setara.
ii) Manusia mesti mengetahui bahawa laki-laki dan perempuan mempunyai hak-hak yang setara dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, seperti kesetaraan hak untuk mengadakan akad nikah atau memutuskannya, kesetaraan hak untuk memiliki atau mengatur harta miliknya tanpa campur tangan pihak lain, kesetaraan hak untuk memilih atau menjalani cara hidup, dan kesetaraan hak dalam tanggungjawab dan kebebasan.

Memetik kata-kata Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam buku Nizamul Ijtima’ie fil Islam (Sistem Sosial dalam Islam), dapat disimpulkan secara ringkasnya bahawa idea feminis Muslim ini adalah menjadikan kesetaraan (al-musawah/equality) sebagai batu loncatan untuk meraih hak-hak perempuan. Dengan kata lain, idea dasar feminisme itu adalah kesetaraan kedudukan laki-laki dan perempuan. Sementara idea cabang yang dibangun di atas dasar itu ialah kesetaraan hak-hak antara laki-laki dan perempuan.
Berdasarkan tanggapan bahawa prinsip keadilan dan kesaksamaan yang dipromosikan oleh Al-Quran tidak terlaksana disebabkan para mufassirin yang terdiri daripada lelaki telah menghasilkan tafsir al-Qur’an yang mendukung doktrin yang mengangkat martabat kaum lelaki dan menjustifikasi superiority kaum lelaki, feminis Muslim berusaha meraih kesetaraan yang diimpikan itu dengan membatalkan dan menggantikan idea dan hukum Islam yang mereka anggap tidak sesuai dengan konsep kesetaraan hak antara lelaki dan wanita. Akan tetapi mereka tidak menyebutnya sebagai ‘penggantian’ atau ‘pembatalan’ hukum Islam sebaliknya menggunakan perkataan ‘penafsiran semula’, ‘rekonstruksi syariah,’ ‘re-reading the sacred text’ dsb seolah-olah hukum-hakam Islam itu keliru atau ditafsirkan secara keliru sehingga perlu diluruskan oleh feminis Islam. Para mufassir atau mujtahid yang mengistinbath hukum-hukum yang didakwa mengekalkan ketidaksetaraan gender tersebut dianggap berniat untuk mengekalkan dominasi lelaki dan penindasan ke atas wanita. Bahkan, ada yang bertindak lebih jauh dari itu dengan membuat kesimpulan bahawa hukum-hukum dalam al-Qur’an memberi kelebihan kepada kaum lelaki, terutamanya dalam masalah harta pusaka dan perwarisan, pemerintahan dan kekeluargaan, semata-mata kerana ingin mengambil hati dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat Arab ketika itu yang mengamalkan patriarki.

Kedudukan Wanita dan Lelaki di Hadapan Syariat
Islam datang dengan membawa taklif syarak yang dibebankan ke atas lelaki dan wanita berupa hak, tanggungjawab dan kewajipan yang boleh dibahagi kepada 3 domain utama:
i) Domain khas lelaki. Sang Pencipta telah menetapkan hukum-hakam yang khusus untuk lelaki. Antaranya lelaki adalah pemimpin dalam rumah tangga melalui Surah An-Nisa (4): 34 - “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita”. Para ulama dan mufassirin telah menafsirkan perkataan qawamah dengan tafsiran yang berbeza: al-Tabari menafsirkan kalimat tersebut sebagai pelaksana tugas (nafizi al-amr) dan pelindung (protectors).[Tafsir at-Tabari, 8:290] Ibn Kathir mengatakan qawamah bermakna lelaki adalah ketua dan penguasa rumah tangga kerana lelaki lebih baik dari wanita [Tafsir Ibn Kathir, 2:292]. Selain dari aspek qawamah, Islam juga menetapkan bahawa hanya kaum lelaki boleh terlibat dalam aspek pemerintahan (ruling) manakala wanita dilarang menjadi pemimpin tertinggi negara berdasarkan hadis Nabi “Tidak akan beruntung satu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan.” [HR Bukhari, An-Nasa’i, dan Ahmad melalui Abu Bakrah] termasuk menjadi Qadhi Mazalim iaitu qadhi dalam Mahkamah Mazalim yang merupakan satu-satunya mahkamah yang dapat bertindak untuk mengadili kesalahan dan penyalahgunaan kuasa. Lelaki juga boleh menikahi maksimum empat wanita dalam satu masa, menjadi imam dalam solat, menjadi wali dalam pernikahan, memiliki hak menjatuhkan talak dalam perceraian berdasarkan maksud firman Allah “..kerana Allah telah memberikan kelebihan kepada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain" [TMQ an-Nisa (4):3]. Lelaki juga wajib memberi mahar dan nafkah dalam perkahwinan sebagaimana firmanNya “...kerana mereka telah memberikan nafkah dari harta-harta mereka [TMQ an-Nisa (4):3]

ii) Domain khas wanita. Allah menetapkan hukum-hakam yang spesifik kepada wanita seperti hukum-hakam tentang kelahiran, penyusuan, penjagaan anak (hadhanah). Kesaksian satu orang wanita juga diterima dalam urusan yang tiada penglibatan kaum lelaki seperti jenayah di tempat permandian wanita, isu keperawanan, janda atau persusuan. Allah juga menetapkan hak pewarisan harta separuh dari yang diterima oleh saudara lelaki dalam keadaan tertentu, manakala nafkah hidupnya disara oleh saudara lelaki sungguhpun saudara lelaki itu fakir dan wanita itu mampu bekerja. Wanita juga wajib mengenakan pakaian tertentu iaitu khimar (tudung), memakai jilbab di tempat umum serta dilarang bertabarruj.

iii) Domain umum. Hukum-hakam berbentuk umum ini dipertanggungjawabkan kepada lelaki dan wanita atas kapasiti mereka sebagai manusia. Dalam hal ini, kita tidak menemukan perbezaan taklif hukum. Sebagai contoh, tidak ada diskriminasi kepada lelaki dan wanita dalam menyeru manusia kepada keimanan, mengemban dakwah, menuntut ilmu dan mengajarkannya. Dalam aspek ibadah, Islam menetapkan bahawa solat, puasa, mengerjakan haji dan membayar zakat sebagai beban yang perlu dipikul oleh lelaki dan wanita. Begitu juga dengan aspek jual beli, pekerjaan (ijarah), perwakilan (wakalah), pertanggungjawaban (kafalah) dan hukuman (uqubat) seperti hudud, jinayah, takzir ke atas kedua jantina atas pelanggaran hukum Allah. “Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut [nama] Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.” [TMQ al-Ahzab (33):35].

Kesetaraan Gender menurut Islam

Hukum-hakam yang ditetapkan Allah Subhanahu wa Taala selaku As-Syari’ iaitu Sang Pembuat Hukum adalah untuk mengatur aktiviti manusia sama ada lelaki atau wanita sesuai dengan tujuan penciptaan keduanya iaitu untuk beribadat kepada Sang Pencipta Allah Azza wa Jalla.“Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, sama ada lelaki atau wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dianiaya walau sedikit pun" [TMQ an-Nisa (4):124]. Taklif syarak yang dibebankan di atas batu jemala manusia adalah dalam rangka untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku antara kedua jantina ini tanpa melihat sama ada ia masalah lelaki atau masalah wanita kerana penyelesaian masalah diusahakan oleh manusia untuk aktiviti atau peristiwa yang terjadi, bukan semata-mata demi kepentingan lelaki atau wanita sahaja. Oleh sebab itu, persoalan tentang wujud aspek kesetaraan gender antara lelaki dan wanita tidak pernah ditemukan dalam wacana syariat Islam.

Apa yang ada ialah hukum syarak tentang peristiwa yang terjadi yang dihadapi oleh manusia sama ada lelaki atau wanita. Justeru, isu kesetaraan gender yang menjadi salah satu ‘perjuangan’ golongan feminis bukanlah satu perkara yang perlu dibahas atau didiskusikan dan bukan topik pembahasan dalam wacana sistem interaksi atau sistem pergaulan antara lelaki dan wanita (an-nizam al-ijtimaie) kerana kedudukan lelaki atau wanita yang dianggap ‘sama’ atau ‘setara’ tidak mempengaruhi kehidupan sosial yang perlu diberi perhatian. Ia tidak pernah berlaku dalam kehidupan Islam sebaliknya ia muncul dan lahir di tengah masyarakat Barat. Ia muncul dalam kalangan Muslim yang telah ‘terbius’ dek pemikiran Barat yang secara de facto telah ‘merenggut’ hak-hak asasi wanita selaku manusia.

Hakikat ini menyebabkan masyarakat Barat menuntut ‘hak-hak’ ini dikembalikan sekali gus menjadikan tuntutan itu sebagai wacana kesetaraan gender untuk mendapatkan hak-hak mereka. Islam mempunyai sistemnya sendiri untuk menjamin keutuhan dan ketinggian komuniti dalam masyarakat dengan menetapkan kepada kaum wanita dan lelaki hak-hak serta kewajipan-kewajipannya. Perbezaan taklif tidak menjadi sesuatu jantina itu lebih ‘superior’ dari jantina yang lain.“Bagi kaum lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya. Bagi kaum wanita pun ada bahagian dari apa yang diusahakannya [TMQ an-Nisa (4):32]. Wanita diberi tugas khas untuk membesarkan anak (child bearing) kerana keistimewaan dan keunikan kaum Hawa ini yang tidak dimiliki oleh kaum Adam dari segi biologi, mental dan emosi. Kualiti dan sifat penyayang dan penyabar ini sangat penting dalam membesarkan anak. Antara hikmah perbezaan antara dua jantina ini akan menghasilkan kerjasama, kesempurnaan dan keharmonian. Sekiranya kedua jantina ini memiliki keistimewaan yang sama, keadaan ini akan menghilangkan perasaan saling memerlukan menyebabkan kerjasama dan keharmonian sukar dijalinkan. Pada masa yang sama, ketika Islam menetapkan lelaki selaku pemimpin rumah tangga dan wanita sebagai rabbatul bayt iaitu pengurus rumah tangga, ia sama sekali tidak bertujuan untuk merendahkan martabat wanita. Falsafah kepimpinan dalam Islam tidak dikaitkan dengan kemuliaan atau kerendahan, sebaliknya kepimpinan adalah tanggungjawab berat yang bakal dihisab di Akhirat kelak. Menurut Sayid Qutb, kepimpinan dalam sebuah keluarga adalah sangat penting seperti dalam organisasi atau institusi demi meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Tanpa kepimpinan, tidak wujud bidang kuasa dan tidak ada tanggungjawab.

Dalam hal ini, ulama-ulama bersepakat bahawa seorang suami bertanggungjawab memastikan keluarga menjalankan seluruh perintah dan larangan-Nya. Seorang isteri juga bertanggungjawab mentaati suaminya selama tidak bercanggah dengan hukum syarak. Justeru, sangat penting ditegaskan bahawa kepimpinan lelaki hendaklah atas dasar kasih sayang dan kerjasama, bukan kuku besi, sebagaimana pesanan Rasululllah Sallalahu Alaihi Wa Salam sewaktu menunaikan Haji Wida’ pada tahun 10 Hijrah iaitu: “…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”

Khatimah
Isu kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh golongan feminis lahir disebabkan pejuangnya tidak memahami bahawa manusia lahir dengan ciri-ciri maskulin dan feminin kerana masing-masing lelaki dan wanita memiliki fungsi dan peranan yang berbeza. Perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita bukan bermakna ketidakadilan kerana ia diciptakan oleh Sang Pencipta semata-mata demi kemaslahatan, kelestarian dan kesucian hidup manusia dengan cara saling melengkapi dan bekerjasama sesuai dengan aturan-Nya. Munculnya cara berfikir sedemikian adalah pengaruh prinsip ‘individualistik’ yang amat sinonim dengan pemikiran demokrasi yang beranggapan bahawa masyarakat terdiri daripada individu-individu yang mana lelaki dan wanita di tempatkan di posisi yang berbeza. Ketika timbul permasalahan yang berkaitan dengan wanita seperti diskriminasi dan penindasan, ia dipandang secara sebahagian iaitu ia adalah masalah dalaman wanita yang mesti diselesaikan oleh wanita sahaja. Hakikatnya, kezaliman seperti penindasan, diskriminasi dan kekerasan turut dialami oleh kaum lelaki menjadikannya satu permasalahan dalam masyarakat, bukan permasalahan kaum wanita sahaja. Justeru penyelesaian apa jua permasalahan hendaklah diambil secara total iaitu dengan hukum-hukum syarak yang diturunkan Allah untuk mengatur aktiviti manusia. Selain dari itu, sebagai umat Islam, amatlah penting bagi kita untuk menghakimi suatu kelompok atau gerakan berdasarkan inti pati perjuangannya – adakah sesuai atau bertentangan dengan hukum syarak, bukan berdasarkan nama atau label semata-mata. Pada akhirnya, amat penting memahami bahawa isu kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh feminis Islam di dalam dan di luar negara tidak pernah wujud dalam Islam kerana perbezaan taklif syarak antara kedua jantina tidak menjadikan suatu jantina atau ‘gender’ itu lebih baik atau lebih ‘superior’. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal [TMQ al-Hujurat (49):13]. Wallahu’alam bisshawab.

No comments:

Post a Comment