Thursday, June 4, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 2)

Wanita Dalam Tamadun Cina
Dalam tamadun Cina, wanita digelar “Air penyakit yang mencuci dan menyapu masyarakat dari kebahagiaan dan harta”. Kaum lelaki menganggap wanita jahat dan digunakan hanya untuk melayan kehendaknya. Ia memperlakukan mereka menurut cara yang disukainya. Wanita, khususnya dari kasta tinggi hidup dalam keadaan hampir terpencil sama sekali. Mereka tiada hak untuk keluar daripada rumah atau untuk menerima kunjungan sesiapa bahkan untuk bergaul dengan orang lain. Terdapat rumah-rumah yang dikhususkan untuk wanita dan juga rumah-rumah untuk lelaki. Wanita diharamkan dari memperoleh harta pusakanya samada daripada suaminya atau daripada bapanya. Wanita hanya memiliki apa yang diberikan kepada mereka ketika berumahtangga.

Wanita Dalam Tamadun India
Dalam tamadun India pula, wanita dianggap malapetaka dan wabak kematian. Mereka dianggap lebih dahsyat daripada neraka, lebih berbisa daripada racun serta lebih berbahaya daripada ular. Para wanitanya suka berkahwin awal dan boleh untuk tidak mentaati walinya dan tidak patuh kepada perintah mereka jika telah menjangkau lebih tiga tahun dari usia balighnya dan belum lagi dikahwinkan. Oleh itu, walinya akan berusaha untuk mengahwinkannya pada masa dia berusia dua belas tahun atau kurang dari itu. Adakalanya mereka dikahwinkan seawal usia lapan tahun. Dalam hidupnya, suaminya memilikinya sama seperti memiliki harta, tiada pembelaan dan perlindungan untuknya, tidak juga berhak untuk persaksian. Lelaki berhak untuk menjadikannya taruhan dalam perjudian.

Lelaki boleh berkahwin lagi jika si isteri telah mati. Namun begitu, wanita tidak boleh berbuat demikian dan terus menjadi janda di sisa-sisa hidupnya. Mereka akan dipuji jika [mengamalkan adat ‘sati’] iaitu membakar dirinya dengan api untuk mengikuti suaminya yang telah mati sebagai menunjukkan kesetiaannya dan melarikan diri daripada kepayahan hidup. Adat ini masih berleluasa hingga beberapa kurun sehingga umat Islam menghapuskannya dan seterusnya [turut dihapuskan oleh] kaum penjajah Inggeris.

Wanita Dalam Tamadun Jepun
Dalam tamadun Jepun, mereka menganggap wanita sebagai kesenangan bagi lelaki. Wanita dipergunakan sekehendak hati mereka. Mereka boleh menjual isteri atau anak perempuan mereka. Antara amalan mereka juga, seorang lelaki yang memiliki wanita akan menyewakannya, iaitu wanita yang tidak bersuami atau seorang anak gadis dalam tempoh tertentu dengan individu tertentu. Anak perempuan sebelum dia bersuami dianggap sebagai milik bapanya, sementara jika sudah bersuami menjadi milik suaminya dan selepas suaminya mati mereka berada di bawah wasiat kerabat suami. Sebahagian undang-undang ini terus dipraktikkan sehingga akhir kurun ke sembilan belas Masehi.



Wanita Dalam Tamadun Antara Dua Sungai
Dalam tamadun antara dua sungai, para pemerintah dari kalangan Assyria dan Babilon tidak membenarkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka. Demikian pula, anak perempuan tidak boleh berkahwin sendiri. Hak ini diberikan kepada ahli nujum. Anak-anak gadis yang telah baligh dikumpulkan setiap tahun bersama ahli nujum. Mereka akan menjual gadis-gadis tersebut di pasar dengan secara lelong. Wali kepada gadis itu perlu membayar harga tertentu kepada si suami jika lelaki itu tidak menyukainya lagi. Anak gadis itu pula akan pergi kepada dewa kecantikan sekali dalam seumur hidupnya untuk menyerahkan dirinya kepada orang asing yang memilihnya untuk menggaulinya.

Wanita Dalam Tamadun Parsi
Dalam tamadun Parsi, orang-orang Parsi menganggap wanita sebagai pembantu kepada ahriman (syaitan). Dia melambangkan keburukan yang terjelma. Dia adalah milik lelaki. Lelaki boleh membunuhnya dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya jika dia mahu. Dia juga merupakan barangan yang boleh digunakan sesuka hati seperti menggunakan barang-barang miliknya yang lain. Dia tidak boleh belajar atau keluar daripada rumah. Dia hidup di dalam rumah dan ditutup seperti barang tertentu yang lain oleh si pemilik rumah.

Wanita Dalam Tamadun Turki Lama
Dalam tamadun Turki Lama (sebelum Islam), orang-orang Turki menganggap wanita itu sangat lemah. Mereka hanya digunakan untuk melampiaskan nafsu syahwat oleh para hartawan. Kaum wanita berkumpul secara individu atau berpuluh-puluh orang di rumah ketua atau pemimpin dan tinggal di sana supaya dapat dijadikan tempat untuk bersenang-senang. Pada siang harinya mereka pergi mengerjakan ladang-ladang dan bekerja di kebun-kebun. Sementara kedudukan ibu di sisi mereka adalah seseorang yang dihormati dan dilayan dengan baik (diberi khidmat).

Wanita Dalam Tamadun Firaun
Dalam tamadun Firaun di Mesir, lelaki berkahwin dengan adik-beradik atau anak gadisnya. Cemburu lelaki terhadap wanita sangat sedikit. Perkahwinan di kalangan mereka dibina atas asas keredhaan antara suami dan isteri semata. Wanita ada hak mensyaratkan talak untuk dirinya samada secara sendiri atau secara bersama-sama iaitu antara dia dan suaminya. Barangkali dia mensyaratkan atas suaminya agar harta milik suaminya hanya diberikan kepada anak-anaknya sahaja dan tidak kepada anak-anak daripada isteri-isteri yang lain. Wanita tidak boleh mengelolakan harta melainkan dengan izin suami. Semuanya adalah untuk suami. Kaum wanita tidak boleh memiliki kerana lelaki adalah sumber kekayaan dan pemilik utamanya. Kedudukannya lebih rendah daripada lelaki meskipun dia berhak, bahkan dia juga tidak berhak untuk duduk di atas singgahsana melainkan jika lelaki telah pupus daripada keluarga pemerintah. Hal seperti ini jelas berlaku ketika pemerintahan Yunani di Mesir. Hanya wanita Mesir di beberapa zaman menikmati hak-hak yang sama seperti lelaki. Dia menyertai lelaki di tempat-tempat peribadatan dan institusi pemerintahan. Ratu Cleopatra telah masyhur dengan perkara itu dalam sejarah.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Yahudi
Dalam kalangan kaum Yahudi yang telah menyelewengkan agama mereka, ditemukan beberapa hukum yang pelik dalam kitab Taurat yang telah diubah. Antara hukum tersebut adalah menganggap wanita yang sedang haid sebagai najis, tidak boleh disentuh dan tidak boleh tidur di katil bersamanya, tidak boleh sembahyang dan tidak boleh memasuki tempat ibadat serta tidak boleh makan makanan yang dimasaknya. Oleh yang demikian, lelaki Yahudi akan menjauhinya dan memusuhinya seumpama dia adalah kekotoran hasil daripada perbuatan syaitan. Mereka dizalimi, dipaksa menurut perintah lelaki. Mereka juga bertanggungjawab atas kesalahan lelaki sebagaimana anggapan mereka bahawa Hawa bertanggungjawab di atas kesalahan Adam dan menyebabkannya keluar dari syurga kerana telah memakan daripada pokok yang diharamkan. Setelah itu, tanggungjawab memikul beban kesalahan tersebut berpindah kepada para wanita. Dalam salah satu protokol mereka disebutkan di bawah lisan wanita : ”Inilah aku dengan dosa aku digambarkan dan dengan kesalahan aku bawaan dari ibuku”. Yahudi tidak mewariskan harta kepada wanita. Hak-haknya dalam perkahwinan juga tidak dijaga. Lelaki berkahwin dengan wanita tanpa mengira jumlahnya dan menceraikan mereka hanya kerana sebab-sebab yang remeh. Mereka dianggap antara barisan perhiasan rumah yang dimanfaatkan oleh lelaki bila mana dia suka dan akan melemparkannya apabila dia tidak suka. Jika seorang wanita diceraikan, dia akan berkahwin lagi setelah itu. Kemudian diceraikan sekali lagi maka lelaki itu tidak boleh merujuknya semula. Jika dia melakukan hal demikian maka anak-anaknya adalah anak zina. Jika si lelaki mati, tempat tersebut wajib digantikan oleh abangnya.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Nasrani
Kaum Nasrani telah menyelewengkan agama mereka. Banyak syariat mereka diambil daripada kitab Taurat yang telah diselewengkan. Pada hakikatnya Taurat adalah perkhabaran daripada pendeta Yahudi dan paderi Nasrani. Oleh itu, dalam Injil tidak ditemukan persoalan mengenai wanita melainkan sedikit sekali. Meskipun sedikit, ia sesungguhnya tunduk kepada pentafsiran para paderi dan agamawan mereka. Disebutkan dalam peringatan oleh Isa al-Masih alaihissalam, menurut kata mereka, “Kamu telah mendengar bahawa dikatakan kepada orang terdahulu, jangan berzina dan adapun aku maka aku katakan kepada kamu bahawa semua yang melihat kepada wanita untuk menikmatinya maka dia telah berzina dengannya dalam hati. Dan dikatakan bahawa sesiapa yang menceraikan isterinya hendaklah memberikan buku cerai. Dan adapun aku, aku nyatakan kepada kamu sesiapa yang menceraikan isterinya melainkan dengan sebab zina ia menjadikannya berzina, barangsiapa yang mengahwini orang yang diceraikan maka sesungguhnya dia berzina”. Sebahagian lelaki Nasrani telah bersikap melampau selepas masa Sayidina Isa alaihissalam. Mereka terlalu berburuk sangka terhadap wanita contohnya ketika mereka meragukan kemanusiaannya. Hinggakan dalam perkumpulan di gereja mereka tertanya-tanya samada jika wanita tidak mempunyai ruh seperti ruh lelaki dan persoalan mengenai jika perlu meletakkan kedudukannya adakah di antara binatang buas atau antara makhluk berfikir. Sebahagian paderi besar dalam pertemuan Bacon telah menegaskan bahawa "Kaum wanita tidak terikat dan terkait dengan jenis manusia”, sepertimana dinyatakan dalam pertemuan yang diadakan di Rom pada tahun 582 Masehi. Para gerejawannya memperakukan bahawasanya “Wanita adalah makhluk yang tidak berjiwa, oleh itu, dengan sebab ini ia tidak mewarisi Firdaus, dan tidak sekali-kali akan masuk ke kerajaan langit dan ia adalah kekotoran yang terhasil daripada perbuatan syaitan. Ia tidak boleh bercakap, ketawa dan makan daging. Matlamat waktunya hendaklah dihabiskan untuk berkhidmat kepada lelaki tuannya dan untuk beribadat kepada tuhannya.”

Dalam kurun pertengahan, di bawah naungan kekuasaan gereja, mereka memandang wanita sebagai barang milik lelaki, boleh digunakan sesuka hati. Dia adalah milik bapanya, kemudian suaminya dan kemudian anaknya yang semuanya mengurusinya sama seperti mengurus haiwan, barang atau dagangan mereka. Adat yang mendominasi di Eropah sangat kejam. Mereka memandang seksual sebagai kotor dan keji. Lelaki yang baik dan bersih tidak menginginkannya. Mereka menghina sesiapa yang memberi perhatian mendalam atau membincangkan tentangnya kerana hal itu tidak sesuai bagi orang yang mahu membersih dan meninggikan diri daripada kerendahan. Wanita tidak lain adalah tempat untuk anak-anak yang dilahirkan dan dididik untuk meneruskan generasi. Dia adalah syaitan dengan rupa manusia, diragui kemanusiaannya kerana salah seorang anggota dewan gereja di Rom memperakukan bahawa “Wanita tanpa ruh dan tidak kekal tetapi diwajibkan beribadat dan dimestikan untuk berkhidmat dan mulutnya ditutup seperti unta”. Mereka juga sangat berburuk sangka terhadap akhlak wanita. Pada zaman tersebut telah maklum dengan pemakaian cawat besi yang dibentuk pada tali pinggang yang dipakai oleh wanita di sekeliling pinggangnya sementara para suami menjaga kunci-kuncinya.

Wanita Dalam Kalangan Arab Jahiliyyah
Dalam kalangan kaum Arab pada zaman Jahiliyyah, wanita lebih rendah kedudukannya dari lelaki. Mereka dipandang rendah. Lelaki Arab meskipun mereka menunggang kuda dan menjaga kabilah dan harta benda namun penghinaannya kepada wanita sampai kepada tahap menanam hidup-hidup anak perempuannya, iaitu menanamnya dalam tanah hidup-hidup samada kerana takut malu, miskin atau celaan. Al-Qur’an al-Karim telah memberi amaran mengenai hal tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh.” [TMQ At-Takwir: 8-9]. Orang Arab berasa sedih dan berputus asa serta marah jika diberitahu mengenai kelahiran anak perempuan seperti yang diterangkan dalam al-Qur’an dengan firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.“ [TMQ An-Nahl: 58-59].

Wanita tiada hak untuk mewarisi samada dia adalah ibu, adik-beradik perempuan, isteri, anak perempuan dan sebagainya. Dia juga tiada hak untuk memperoleh pendapatan atau mengelolakan harta miliknya. Dari Umar bin al-Khattab radiallahu anhu. katanya: “Kami pada zaman Jahiliyyah tidak menilai apa pun terhadap wanita, ketika Islam datang dan Allah menyebut tentang mereka, kami melihat bagi mereka ada hak ke atas kami.” [Riwayat Bukhari].
Dan dari Ibn Abbas telah berkata: “Dulu (Arab Jahiliyyah) jika telah mati seorang lelaki, wali-walinya lebih berhak kepada balunya, jika mereka menyukai, akan dikahwini, atau jika tidak, dikahwinkannya (untuk mendapatkan maharnya) dan jika mereka suka, mereka juga tidak akan mengahwinkannya. Mereka lebih berhak terhadapnya daripada keluarganya." Maka turunlah surah an-Nisa’:19 : “Wahai orang-orang yang beriman tidak halal bagi kamu untuk mewarisi wanita secara paksa” [Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i].

Dalam kehidupan berkeluarga, si isteri kebiasaannya ditindas, lelaki mengamalkan poligami yang tidak dibataskan dengan jumlah tertentu, talak merupakan satu cara untuk menekan wanita dan melenyapkan harta mereka. Nafsu syahwat dan ingin berseronok merupakan pendorong untuk berkahwin tanpa ada niat untuk membina keluarga. Talak mengikut acuan lelaki. Mereka tidak memelihara kemaslahatan si isteri. Ila’ dan zihar juga merupakan cara untuk menekan dan menyakiti wanita yang berkahwin.

Pernikahan (dalam kalangan Arab) disempurnakan dengan beberapa cara yang masyhur. Antaranya:

Pernikahan manusia: seorang lelaki melamar anak perempuan seorang lelaki atau tanggungannya dan diberi mahar (iaitu ditunaikan maharnya) kemudian dikahwininya.

Pernikahan secara permanian beradas: dalam perkahwinan ini, seorang lelaki akan berkata kepada wanitanya jika dia telah bersih dari haidnya: Utuslah kepada si fulan lalu ambillah sperma darinya. Dia akan dipencilkan hingga jelas kandungannya. Jika telah jelas, wanita tersebut dikahwini sekiranya dia suka dan hal itu dilakukan semata-mata menginginkan kelahiran anak tersebut.

Pernikahan yang lain: sekumpulan lelaki yang berjumlah kurang dari sepuluh orang berkumpul untuk menyetubuhi seorang wanita. Jika ia mengandung dan melahirkan dan telah berlalu beberapa malam diutuskan wanita itu kepada mereka. Tiada seorang lelaki pun boleh menolak hingga mereka berkumpul bersamanya dan kepada mereka dikatakan, kamu telah mengetahui apa yang kamu lakukan dan aku telah melahirkan. Inilah anakmu wahai si fulan. Dia memanggil nama orang yang dia sukai lalu anak tersebut diserahkan kepadanya sedangkan lelaki tersebut tidak boleh menolaknya.

Pernikahan keempat: ramai lelaki berkumpul dan menyetubuhi seorang wanita. Wanita itu tidak boleh menghalang siapa yang datang kepadanya, mereka ini para pelacur. Pada pintu-pintu rumah mereka dipacakkan seumpama bendera. Sesiapa yang menginginkan mereka akan menyetubuhinya dan jika salah seorang mengandung dan melahirkan anak, mereka berkumpul dan memanggil tukang tenung (tukang tilik), dan mereka akan menyerahkan anaknya kepada orang yang dilihat sebagai bapanya. Lalu anak itu ditemui dan dipanggil tanpa dapat menolaknya.

Demikian juga di sana terdapat bermacam-macam lagi pernikahan lain yang sangat sedikit dipraktikkan seperti: pernikahan tukaran dan pernikahan yang membabitkan amalan saling bertukar pasangan antara suami isteri tanpa talak dan melakukan akad yang baru dan sebagainya.

Pada zaman Jahiliyyah, jika suami kepada seseorang wanita meninggal dunia, dia akan mengurung dirinya selama setahun penuh tanpa memakai pakaian baru atau mandi dan berwangi-wangian. Dia juga tidak menawarkan diri untuk berkahwin atau ditawarkan untuk dikahwini oleh orang lain. Waris si suami tidak berasa perlu bertanggungjawab untuk memberikan tempat tinggal, makanan selama tempoh berkabung tersebut.

Orang Arab pada zaman Jahiliyyah meninggikan jumlah mahar dan syarat sekufu. Seorang merdeka tidak boleh mengahwini hamba sahaya. Wanita yang bernasab tinggi pula tidak berkahwin dengan orang yang lebih rendah nasabnya yang menyebabkan terdapatnya ramai andartu dalam kalangan orang Arab.

Inilah keadaan wanita pada zaman Jahiliyyah pada umumnya. Cuma terdapat riwayat yang banyak jumlahnya serta benar yang menjelaskan tingginya kedudukan sesetengah wanita. Tiadalah nama-nama seperti Khadijah binti Khuwalid, anak-anak perempuan Hatim at-Tha’i, Jalilah Binti Murrah, Hindun Binti Atabah dan al-Khansa’ melainkan contoh-contoh wanita yang mulia. Namun contoh tersebut sangat sedikit berbanding jumlah seluruh wanita Arab.

No comments:

Post a Comment