Thursday, June 4, 2009

1 - ‘MATI’ SUATU PERINGATAN BERHARGA

RASULULLAH S.A.W. mengakui bahawa umat manusia mempunyai banyak kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak sepi dari sifat lalai dan lupa. Justeru insan amat memerlukan bimbingan dan peringatan, kerananyalah Allah Taala telah mengutuskan para rasul a.s. bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yg diperlukan oleh manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat manusia seperti yang disebut di atas.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”
[Surah Adz-Dzariat, ayat 55].

Lantaran para rasul itu sebagai penerima wahyu yang mengandungi petunjuk dan peringatan, maka manusia perlu mendampinginya dan beriman dengannya, kerana pertunjuk dan juga peringatan dari wahyu Allah itu hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat 55 surah Adz-Dzariat itu.

Petunjuk dan peringatan wahyu dari Allah itu laksana air yang akan menyuburkan tanaman, air akan mendatangkan faedah hanya kepada tanah yang subur, jika air disiram ke atas batu pejal pasti tidak mendatangkan sebarang kesan. Demikian juga petunjuk dan peringatan Allah SWT, ia akan berguna apabila segala nasihat dan peringatan itu jatuh ke lembah hati yang lembut. Hati yang keras sama dengan batu pejal yang tidak mungkin dapat manfaat dari petunjuk dan peringatan wahyu itu.

Batu pejal terlalu keras tetapi hati yang keras adakalanya lebih keras dari batu yang pejal, batu yang keras lama kelamaan akan lekuk jika dititis air terus menerus, tetapi hati yang keras kadangkala tidak mendapat manfaat dari kehadiran para rasul a.s., sekalipun rasul itu didatangkan dari kaum keluarganya sendiri sebagaimana firaun tidak mendapat faedah dari kenabian Musa a.s. walaupun Nabi Allah itu dibesarkan di dalam istana firaun sendiri. Begitu juga Abu Jahal walaupun Nabi Muhammad dari kaum kerabatnya sendiri namun hati Abu Jahal tetap berkeras dan menolak wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Hati memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang, sama ada ia akan menjadi insan yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Hati manusia telah dicipta oleh Allah Taala mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat ‘mahmudah’, seperti sifat lemah lembut, sabar, insaf, simpati, pemurah, penyayang, belas kasihan dan seumpamanya. Bagaimanapun ia perlu diasuh dengan bersungguh-sungguh untuk menyubur dan merawat sifat-sifat mahmudah itu, kerana hati manusia itu sering menjadi sasaran makhluk jahat iaitu iblis. Jika dibiarkan makhluk jahat itu menguasai hati, pasti hati akan rosak binasa, jika hati sudah rosak maka rosaklah seluruh anggota sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. itu.

Hati boleh dipimpin dan disedarkan hanya dengan ilmu yang berteraskan wahyu, kerana hanya ilmu tersebut sahaja yang bersumberkan tauhid iman dan akidah. Tanpa wahyu Allah Taala pasti manusia tidak akan mengetahui hal-hal yang abstrak iaitu perkara-perkara ghaib, seperti rahsia di sebalik kematian, alam barzakh dan juga hari qiamat.

Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidup dan dibangkitkan semula, mereka akan menghadapi satu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi ahli syurga atau neraka.

Peristiwa alam barzakh bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai, sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang engkar yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzakh itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di mahsyar kelak.

Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati itu, maka tidak dapat tidak manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam barzakh dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut,maka tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak dalam mimpi ngeri.

Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari Mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut untuk mencabut nyawanya, kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.

Saidina Ali r.a. pernah berkata “sesungguhnya manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya.” Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur lena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.

Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan diingatinya. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

“Apakah anda hendak mengambil nyawaku?” tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael,

“Benar,” jawab malaikat maut.

“Tidakkah engkau tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah) yang selalu didampingi dan mendampingi-Nya? Adakah munasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?”

Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat maut pun berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya.” Dengan penjelasan malaikat maut itu maka Nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya “hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup,” bertanya Abu Hurairah “apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?” jawab Rasulullah “zikrulmaut” iaitu mengingati akan mati.

Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan, kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orang akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur. Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan kematian.

Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka akan mati. Justeru kematian adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak akan disudahi dengan kematian.

Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan jika tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas dia pun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.

Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, si pulan telah mati dan si anu sudah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?

Justeru, mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.

No comments:

Post a Comment