Thursday, October 1, 2009

110 : Rumah yang Tidak Mendatangkan Kebajikan

Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap harta yang dinafkahkan itu semuanya dikira fisabilillah, kecuali harta yang dibelanjakan untuk membina rumah, tiada kebajikan padanya".

Berdasarkan hadis tersebut sudah nyata bahawa setiap wang ringgit yang dinafkahkan merupakan kebajikan yang tidak boleh dipertikaikan, walaupun dibelanjakan untuk memberikan makanan, pakaian, pelajaran untuk anak-anak dan juga keluarga, itu juga dianggap sebagai berbelanja ke jalan Allah SWT. Apatah lagi jika harta itu didermakan untuk meninggikan dan memperjuangkan agama Allah Taala, yang demikian amatlah nyata sebagai usaha fisabilillah.

Bagaimanapun, dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW menyifatkan harta yang dibelanjakan secara habis-habisan untuk membina rumah sebagai tidak ada kebajikan.

Sesungguhnya rumah adalah keperluan hidup manusia. Lantaran itu memenuhi keperluan tersbut sebagai ikhtiar manusia untuk berlindung daripada panas dan hujan tidaklah bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di dunia ini sebagai tempat persinggahan dalam perjalanan menuju destinasi kehidupan sebenar, iaitu akhirat.

Oleh sebab manusia dicipta bukan untuk menjadi warga dunia buat selama-lamanya, maka sudah pasti keperluan rumah itu mestilah disesuaikan dengan tujuan sebenar hidup yang dicipta untuk berbakti kepada Allah SWT.

Sifat manusia yang sering lalai dan beranggapan bahawa kehidupan di dunia begitu abadi buat dirinya. Justeru, sebahagian besar manusia terus berusaha mengumpul wang ringgit, berbelanja habis-habisan untuk membina rumah kediaman bagai mahligai dengan bahan binaan yang mahal, batu marmar bernilai tinggi yang diimport dari luar negeri. Tembok berlapis dibina untuk memagari rumah besar mereka serta pintu pagar elektronik yang canggih sehinggakan bukan sekadar penceroboh sukar memasukinya, malah tetamu pun tidak mudah untuk singgah.

Lazimnya rumah besar seperti itu agak sulit untuk menawarkan sebarang khidmat buat golongan fakir miskin, jauh sekali untuk mengajak golongan malang singgah bagi memberikan peluang kepada mereka untuk berteduh dan menghilangkan rasa lapar atau untuk mengadukan pelbagai masalah kerana tembok rumah besar itu menyulitkan mereka menjengukkan wajah. Mungkin, sekali dalam setahun orang boleh singgah ke rumah jenis ini apabila ada pengumuman 'rumah terbuka' pada Hari Raya.

Walaupun rumah itu mempunyai ruang dewan yang cukup luas, namun belum pasti ia menjanjikan ruang bagi aktiviti keagamaan seperti majlis kuliah dan seumpamanya. Mungkin pemiliknya tidak gemar dirinya disinggung kerana wang berjuta-juta yang dilaburkan untuk membina mahligai itu bukanlah daripada perbendaharaannya sendiri, sebaliknya bergantung pada ehsan bank. Dia tidak senang jika soal riba dibangkitkan dalam kuliah-kuliah tersebut.

Itulah jenis rumah yang tidak mendatangkan kebajikan kepada pemiliknya, malah mungkin akan menjadi beban yang tidak tertanggung apabila tibanya hari perhitungan di Padang Mahsyar kelak. Wang yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah seperti itu dianggap wang yang telah mati, tidak dapat dikembangkan.

Apabila Rasulullah SAW menjelaskan bahawa harta yang dibelanjakan untuk pembinaan rumah itu tidak berkebajikan, ia bukan bererti semua rumah tidak dapat dimanfaatkan. Jika rumah digunakan untuk tujuan yang makruf, selain sebagai keperluan, tetapi juga untuk memberikan penginapan kepada rakan taulan yang memerlukan atau mengadakan jamuan untuk mengeratkan silatur-rahim antara jiran tetangga dan anggota masyarakat. Apatah lagi jika digunakan untuk majlis ilmu dan tazkirah bagi membentuk masyarakat Islam yang lebih baik, sudah tentu memberikan kebajikan kepada pemiliknya.

Kesederhanaan dalam menyediakan tempat tinggal walaupun dia seorang pemimpin, adalah lebih menepati kehendak Islam. Lihatlah kehidupan Umar bin Abdul Aziz, seorang Khalifah yang mempunyai empayar kerajaan Islam yang besar, kematiannya diratapi oleh Raja Charles, raja Perancis yang hidup sezaman dengan Umar bin Abd Aziz. Raja Charles memujinya dan menganggap Umar sebagai seorang pembesar negara Islam yang patut dicontohi.

Menurut Raja Charles, meskipun Umar bin Abdul Aziz memiliki kerajaan yang besar, menguasai perbendaharaan negara, namun kehidupannya sangat sederhana, tidak memiliki istana, hanya sebuah rumah biasa seperti rumah yang dimiliki oleh rakyat biasa yang miskin. Dialah sebenar-benar ulama dan pembesar negara. Demikianlah menurut Raja Charles ketika mengulas kematian Umar bin Abdul Aziz.

Sebenarnya Islam menganjurkan setiap orang yang beriman agar sentiasa berusaha untuk menghindari sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang manfaat buat dirinya, lebih-lebih lagi perkara yang mendatangkan bencana besar di Akhirat seperti pembinaan rumah atau pembeliannya berasaskan riba.

No comments:

Post a Comment