Thursday, October 1, 2009

111 : Pembaziran Halang Agihan Kekayaan Dunia

Sudah nyata bahawa pembaziran bukan sahaja ditentang oleh Islam, malah dibenci oleh semua tamadun manusia. Ini kerana pembaziran boleh menjejaskan pengagihan kekayaan harta dunia yang dikurniakan Allah SWT, yang sepatutnya boleh dinikmati oleh setiap warga.

Namun, pembaziran terus dilakukan oleh kebanyakan negara maju dan membangun serta para penguasa dan pemerintah banyak negara yang mengetepikan syariat Allah SWT. Mereka melaksanakan sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat seperti pembinaan tugu atau pintu gerbang dan projek-projek lain yang membazir seperti pembinaan padang golf dan seumpamanya. Kebanyakannya menggunakan wang rakyat atau wang negara.

Semua pembaziran ini akan mengakibatkan kepincangan dalam pengagihan harta atau kekayaan, khususnya dalam kalangan rakyat miskin. Jika padang-padang golf yang muncul begitu banyak dimanfaatkan bagi membela rakyat yang berpendapatan rendah, nescaya tidaklah wujud apa yang dinamakan peneroka bandar yang hidup bersesak-sesak di kawasan setinggan tanpa sebarang kemudahan awam.

Dalam kalangan hartawan pula, tidak kurang juga yang melakukan pembaziran, khususnya dalam perlumbaan membina rumah bukan sebagai keperluan sebenarnya, malah lebih bersifat untuk kebanggaan. Mereka berbelanja besar untuk membina sesuatu yang bersifat perhiasan, semata-mata untuk memperlihatkan kemampuan kewangan masing-masing.

Allah SWT menjamin rezeki kepada setiap yang melata di muka bumi ini, sama ada manusia atau haiwan, seperti firman-Nya dalam surah Hud ayat 6, tetapi oleh sebab kebanyakan manusia, terutamanya kalangan para penguasa lebih mengutamakan projek pembaziran, maka wujud krisis ekonomi dalam kalangan orang-orang miskin.

Pada abad kini, kita temui penguasa negara yang mengadakan projek untuk menguasai angkasa lepas. Sayangnya, ketika mereka menaburkan wang di angkasa, mereka lupa bahawa ramai rakyatnya di muka bumi yang kelaparan dan tidak berumah.

Pemimpin yang mabuk kuasa sibuk membongkar rahsia penciptaan senjata-senjata maut kerana ingin menjadi super power di dunia, tetapi dia lupa bahawa masih ramai rakyat mereka menyelongkar tong-tong sampah mencari sisa-sisa makanan.

Sebuah hadis riwayat Abu Daud daripada Anas RA menjelaskan:
Pada suatu hari, Rasulullah SAW keluar berjalan bersama seorang sahabat (Anas), tiba-tiba Nabi SAW terpandang sebuah rumah yang di atasnya terbina sebuah kubah, lalu baginda bertanya: "Rumah siapa itu?" Sahabat memberitahu bahawa rumah itu kepunyaan si polan daripada kaum Ansar. Nabi SAW diam tidak berkata apa-apa, tetapi memendamkan perkara itu di dalam hatinya.

Kemudian pada suatu ketika, sahabat daripada kaum Ansar yang mempunyai kubah itu bersua dengan Rasulullah SAW lalu memberi salam, tetapi Nabi memalingkan muka dengan wajah yang masam.

Peristiwa itu amat mendukacitakan sahabar Ansar yang berkenaan itu sehingga suatu waktu beliau menceritakan kesedihannya berikutan peristiwa pahit itu kepada Anas RA. Maka Anas menceritakan bahawa beliau pernah berjalan dengan Rasulullah SAW dan terpandang kubah yang dibina di rumah sahabat itu, lalu Nabi bertanyakan rumah kepunyaan siapa itu?

Selepas sahabat Ansar itu mendengar penjelasan daripada Anas, maka fahamlah beliau bahawa Nabi SAW tidak suka dalam kalangan sahabatnya yang membuat kerja-kerja membazir seperti pembinaan kubah kerana kubah hanyalah perhiasan, bukannya keperluan. Sahabat Ansar itu segera pulang ke rumah dan mengambil tukul besi lalu memecahkan kubah yang dibina itu sehingga tiada kelihatan lagi kubah tersebut.

Mungkin banyak alasan yang boleh diberikan tentang pembinaan kubah atau binaan yang seumpamanya. Ada pendapat kononnya hendak menimbulkan ciri-ciri binaan Islam, sebagai menggambarkan tamadun Islam yang dianggap unggul. Sebenarnya tidak wujud apa yang dikatakan binaan Islam, tidak ada hujah ilmiah yang dapat menguatkan anggapan tersebut. Rumah juga sebagaimana pakaian, tidak wujud apa yang disebut pakai Islam,kerana rupa bentuk pakaian Islam hanyalah bersifat asasi, iaitu pakaian yang menutup aurat dan sopan atau berakhlak.

Selepas kejadian itu, Rasulullah SAW bersabda di hapadan para sahabat "Ingatlah! Bahawa setiap binaan yang kamu dirikan itu akan menjadi bala kepada kamu, kecuali binaan rumah yang menjadi keperluan."

Kubah yang dibina oleh sahabat Ansar itu merupakan satu contoh pembaziran yang dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Lantaran itu Nabi memalingkan muka daripada sahabat berkenaan sebagai tazkirah dan amaran agar setiap yang mengaku dirinya beriman tidak sekali-kali melakukan kerja-kerja yang tergolongan dalam pembaziran.

Firman Allah SWT:
"Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan adalah syaitan itu kufur terhadap Tuhannya".
(Al-Isra', ayat 27)

Sahabat daripada kaum Ansar yang peka terhadap nasihat Rasulullah SAW walaupun baginda hanya memalingkan wajah tanpa sepatah kata ketika menghadapi isu kubah itu segera memahaminya dan prihatin terhadap nasihat Nabi yang simbolik itu.

Beliau menyedari kesilapannya dan segera meruntuhkan kubah yang dibina tanpa diminta oleh Rasulullah SAW. Sahabat Ansar itu juga tidak memberitahu baginda selepas kubah itu diruntuhkan. Hal ini menggambarkan keikhlasan sahabat dalam menerima sebarang teguran khususnya daripada Rasulullah SAW. Hati yang lembut apabila menerima nasihat segera berkesan, ibarat tanah yang subur segera tumbuh berbagai-bagai tumbuhan apabila disirami hujan.

Rasulullah SAW memperluhatkan kebenciannya terhadap pembaziran kerana pembaziran melambangkan sifat tidak prihatin terhadap harta kekayaan anugerah Allah SWT. Tidak menggunakan di tempat yang wajar, sedangkan di keliling mereka terdapat begitu ramai golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan seperti ahli sufah yang tinggal di Masjid Nabi, janda-janda serta anak-anak yatim yang suami-suami mereka serta ayah-ayah mereka gugur di medan perang.

No comments:

Post a Comment