Saturday, September 26, 2009

Wahai Wanita Islam Sedarlah, Mari Kembali Kepada Islam

Dalam keghairahan dan keriangan sambutan Aidilfitri, kaum wanita khususnya “terlalu” sibuk dengan persiapan lebaran. Bagi yang memegang status pengurus rumah tangga berjaya secara ‘full time’, acara membuat kuih raya, baju raya dan segalanya raya adalah suatu acara ‘kesibukan melampau’ setahun sekali. Sungguhpun begitu, pemegang status yang sama tetapi memiliki kerjaya sampingan sama ada dari bidang profesional, penjawat awam atau dari apa jua sektor pekerjaan juga tidak mahu ketinggalan. Acara membeli belah untuk persiapan ahli keluarga dan kuih muih raya tetap menjadi fokus bagi insan bergelar wanita. Dalam kesibukan dan keghairahan meraikan hari yang mulia ini banyak perkara yang sepatutnya diutamakan secara konsisten, terabai hanya kerana penangan aidilfitri yang bakal menjelma. Walaupun sambutan aidilfitri merupakan ‘hari kemenangan’ setelah melalui sebulan puasa Ramadhan, namun aidilfitri sering dijadikan sebagai lonjakkan kepada pembaziran dan intipati aidilfitri tidak langsung dihayati. Umat Islam terpesona dengan sambutan aidilfitri sehinggakan, tanpa umat sedar kita sedang membiarkan Kuffar Barat terus ‘tenang dan aman’ dalam menenggelamkan fokus kita terhadap ibadah dan kekuatan aqidah umat Islam yang semakin parah.

Kerakusan Barat dalam ‘melarikan dan menenggelamkan’ pemikiran mendasar umat Islam dari ke ‘Islam’annya amat menakutkan. Umat Islam semakin tenang dan selesa menggunapakai ‘the way of life’ yang bukan miliknya. Umat Islam juga semakin bangga meninggalkan Islam sebagai cara hidupnya itu. Ini menjadi satu tanda aras bahawa serangan pemikiran yang dilancarkan Barat terhadap umat Islam amat sukses dan meninggalkan kesan mendalam di jiwa raga mereka. Na’uzubillahhimin zallik. Barat yang amat benci kepada Islam sejak dahulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Atas kesedaran inilah maka mereka mulai mengkaji, meneliti dan memerhati dengan penuh kesungguhan apakah yang menjadi kunci kekuatan umat Islam, yang akhirnya mereka dapati bahawa perlunya ‘menyerang’ umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri.

Dengan kata yang lebih mudah, menyesatkan umat Islam itu dengan pemikiran Islam jua - iaitu putar belit dan manipulasi sesuai dengan kata-kata Samuel Zwemer dalam konferensi Al Quds untuk para paderi pada tahun 1935: "Sebenarnya tugas kalian bukan mengeluarkan orang-orang Islam dari agamanya menjadi pemeluk agama kalian. Akan tetapi menjauhkan mereka dari agamanya (Al-Qur'an dan Sunnah). Sehingga mereka menjadi orang- orang yang putus hubungan dengan Tuhannya dan sesamanya (saling bermusuhan), menjadi terpecah- belah dan jauh dari persatuan. Dengan demikian kalian telah menyiapkan generasi-generasi baru yang akan memenangkan kalian dan menindas kaum mereka sendiri sesuai dengan tujuan kalian"[http://swaramuslim.net/more.php?id=1828_0_1_0_M]. Antara tiga isu utama yang sering dijadikan ‘lubuk’ serangan oleh para orientalis Barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu (i) jihad, (ii) poligami dan (iii) emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi Kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya keatas Islam, sering menggunakan tiga sendi utama – (i) demokrasi, (ii) isu wanita dan (iii) akauntabiliti pemerintah umat Islam.

Propaganda Barat Terhadap Islam Melalui Isu Wanita
Isu-isu berkaitan wanita sering dijadikan alat oleh Barat untuk menyerang ideologi Islam. Sejak dari zaman berzaman, mereka secara terbuka dan langsung menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong dan bersikap berat sebelah terhadap wanita. Mereka juga dengan bijak memanipulasi isu-isu wanita Islam agar pandangan terhadap isu tersebut akan dinilai mengikut kacamata mereka. Propaganda yang dilancarkan itu secara sedar atau tidak telah dinilai mengikut pandangan mereka dan ia dihadam dengan baik oleh umat Islam terutama wanita. Kaum muslimah langsung tidak menyedari kehalusan teknik “membuang Islam dari hidup”- propaganda yang dilancarkan Barat terhadap mereka.

Isu-isu panas yang melibatkan wanita muslimah seperti sebuah penulisan yang bertajuk ‘Afghanistan's Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam’ (Jim Woods, ‘Capitalisme Magazine’, May 7, 2005) yang mana penulis artikel ini telah mengulas hukuman rejam terhadap seorang wanita yang bernama Amina selaku penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam. Dalam kes-kes terbaru dan masih hangat lagi diperkatakan adalah dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah dijatuhi hukuman enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana kesalahan meminum arak. Manakala dalam kes antarabangsa adalah kes Mahkamah Syariah di Ommudarman, Sudan. Laporan The Observer pada 2hb Ogos 2009 menyebut bahawa 40 sebatan dan denda yang tiada had boleh dikenakan terhadap seorang wanita Sudan, Lubna Hussein kerana memakai seluar panjang kerana menyalahi Artikel 152, undang-undang jenayah Sudan [http://www.guardian.co.uk/world/2009/aug/02/sudan-women-dress-code]. Insiden yang menimpa bekas wartawan ini terus di beri perhatian ‘luar biasa’ oleh media tempatan dan antarabangsa tersohor seperti CNN, Reuters, Al Jazeerah dan sebagainya. Pelbagai pendapat dan kritikan digembar-gemburkan untuk menunjukkan betapa Islam menindas wanita dan jeleknya layanan Islam terhadap makhluk kaum hawa ini.

Untuk merealisasikan bahawa wanita Islam itu ‘tertindas’ dengan ajaran Islam dan perlu kepada pembelaan, mereka juga menonjolkan 'tokoh-tokoh wanita' yang mereka anggap sebagai lonjakkan wadah untuk menyerang ajaran Islam. Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Nobel Tahun 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan 'memperbetul' ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita. Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar The Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan Sisters in Islam begitu ghairah memuji Zainah Anwar dari SIS - "Zainah Anwar is a good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women's rights. To many Muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible" ['Sisters take on scholars in battle for Islam', Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005]. Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam – dalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka untuk 'mencairkan' ideologi Islam agar Islam dapat di 'liberal'kan sehingga umat tidak dapat menilai lagi antara kaca dan permata.

Kaum Kufar Barat turut berusaha dengan gigih mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah merekalah memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperleceh dan merendahkan martabat wanita yang mulia.

Realiti Suatu Kepastian
Kufar Barat begitu teruja menyerang Islam kerana menyangka mereka dan ideologi Kapitalisme ciptaan mereka itu yang terbaik dan sesuai untuk diaplikasikan. Beberapa isu yang melibatkan hukuman terhadap wanita Islam mengikut hukuman Islam sengaja disensasikan seperti isu Amina di Afghanistan yang sengaja digunakan oleh Barat untuk menghina hukuman rejam kepada penzina. Dalam kes Kartika pula isu hukuman sebanyak enam kali sebatan juga menjadi satu kontroversi sejagat untuk menghentam hukuman hudud. Manakala isu pemakaian seluar oleh Lubna Hussein di Sudan juga adalah polemik Barat untuk terus menyeru bahawa Islam menindas dan menganak-tirikan makhluk yang bernama wanita kerana mengekang hak asasinya untuk bertingkahlaku serta berpakaian mengikut kehendak sendiri.

Walaupun Kapitalisme pada hakikatnya tidak memandang isu seks sebagai suatu masalah yang besar, penzinaan merupakan satu cara hidup di negara-negara Barat. Mungkin keganasan seks masih dianggap sebagai jenayah disana, namun frekuensi kejadiannya memberikan gambaran bahawa ia seolah-olah sudah menjadi ‘trend’ di dalam masyarakat mereka. Begitu juga dalam kebebasan untuk minum arak dan kebebasan berpakaian untuk wanita yang dilaungkan. Marilah kita perhatikan sedikit sebanyak dari contoh yang memanifestasikan hakikat sebenar pandangan Barat keatas wanita.

Dalam tahun 2003 sahaja AS menyaksikan 93,233 kes rogol - 63 orang wanita dalam 100,000 telah menjadi mangsa rogol. Pada setiap satu atau dua minit akan ada seorang wanita AS yang diganggu secara seksual dan dalam masa setiap 6 minit 1 kejadian rogol akan berlaku (FBI). Bilangan wanita didera dan dirawat di ‘First Aid Centers’ melebihi satu juta orang. Dan lebih dari 1,500 wanita dibunuh oleh suami, kekasih dan teman sebilik (The Milenio, Mexico, Sept 26, 2004). Hampir 78% wanita di Barat secara fizikal menjadi mangsa gangguan seks sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka. Kajian yang dilakukan oleh US National Institute of Justice menunjukkan bahawa semasa menghabiskan masa 4 tahun pembelajaran di kolej, 88% wanita menjadi mangsa serangan fizikal atau mangsa seks dan 64% daripada mereka ini pernah mengalami kedua-dua kes.

Jenayah melibatkan seks yang seringkali mangsanya adalah wanita yang dilakukan oleh tentera Amerika sendiri semakin meningkat. Menurut Washington Post (3hb Jun, 2004), dari 1999 kepada 2002 bilangan saman terhadap jenayah seks di dalam tentera US difailkan secara meningkat dari 658 kepada 783, menunjukkan peningkatan sebanyak 19% dan kejadian rogol meningkat dari 356 kepada 445 kes, sebanyak 25%. Bilangan kes yang sedemikian meningkat setara iaitu 5% antara tahun 2002 sehingga 2003. The British Guardian melaporkan pada bulan Oktober 2004 bahawa Miles Foundation telah mengendalikan 242 kes yang difailkan pada September 2002 dan Ogos 2003 tentang tentera wanita AS yang dirogol dan gangguan seks di Iraq, Kuwait, Bahrain atau Afghanistan. Tambahan pula, terdapat 431 kes gangguan seksual wanita di kem-kem tentera yang lain.

Di bumi Amerika sendiri, selaku penganjur kebebasan yang tersohor diskriminasi terhadap wanitanya dalam bidang pekerjaan adalah lebih hebat. Pada tahun 2004, terdapat dua kes yang menarik perhatian. Ianya berkaitan dengan kes “gender bias" yang melibatkan 1.6 juta pekerja wanita di Wal Mart dan kes yang lain melibatkan 340 staf wanita Morgan Stanley [New York Times, Julai 13, 2004]. Wanita yang bidang tugasnya tidak berbeza dengan pekerja lelaki tidak dibayar kadar gaji yang sama - statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS menunjukkan bahawa wanita mendapat median gaji 81.1% gaji lelaki.

Penjagaan kesihatan terhadap wanita di AS adalah antara yang paling teruk di dunia; ini diceritakan sendiri oleh Dr. Jody Heyman, dari Harvard School of Public Health. Dari 168 buah negara yang dikaji penulis ini, beliau berkomentar tentang AS sebagai "...far behind the rest ot the World.." (...jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia) [AP Boston, 17hb Jun, 2004] .

Nah, inilah Barat. Kononnya Barat dan ideologi Kapitalisme sebagai penyelamat namun hakikatnya, selagi manusia itu berhukum dengan akal dan nalurinya maka keamanan dan keselamatan buat wanita akan terus menjadi impian semata-mata. Allah Subhanahu wa Taala adalah Pencipta manusia dan alam ini. Dia yang menjadikan Islam dan syariatnya juga yang menjadikan akal dan perasaan manusia. Maka wajarlah segala ketentuan dan tatacara hidup ini dikembalikan kepadaNya sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “(Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" [TMQ Al-Baqarah (2) : 216]

Wanita Dalam Pandangan Islam
Islam amat sensitif dalam membicarakan wanita kerana dalam pandangan Islam, wanita dan lelaki sama sahaja darjatnya, tanggungjawabnya. Dalam pandangan Islam juga wanita adalah makhluk Tuhan yang dijaga maruah dan kehormatannya. Justeru, hanya perbezaan taklif hukum sahaja yang berbeza mengikut ketentuan hukum khusus mengikut fitrah yang tercipta buat mereka. Dengan jelas dalam Al-Quran juga telah dinyatakan beberapa persamaan diantara lelaki dan wanita.

Persamaan Dalam Proses Penciptaan
Allah Subhanahu Wa Taala telah menyatakan: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [TMQ An-Nisaa (4) : 1]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Sesungguhnya perempuan itu saudara kandung bagi lelaki” [HR Abu Dawud & Tirmizi]

Persamaan Dalam Taklif Hukum Dan Mendapat Ganjaran
Sebagaimana Allah Subhanahu Wa Taala telah menyatakan: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” [TMQ An-Nisaa (4) : 124]

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” [TMQ An-Nahl : 97]

Persamaan Dalam Hudud (Ketentuan Hukuman) & Hukum Syariah Yang Lain
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” [TMQ Al- Maidah (5) : 38]

Persamaan Dalam Hak Milik & Menggunakan Harta Miliknya
Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
[TMQ An –Nisaa’ (4) : 20-21]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Tidaklah halal (diambil) harta seorang muslim kecuali dengan jiwa yang lapang” [HR Ahmad]

Islam: Demi Kesejahteraan Dan Keamanan Wanita
Justeru, jelas hanya Islamlah yang memiliki ideologi dan adilnya kesaksamaan diantara lelaki dan perempuan. Ini adalah janji dan ketentuan yang dibuat oleh pencipta makhluk yang ada dimuka bumi ini.

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. [TMQ Al-Maidah (5) : 3]

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian” [TMQ Al-Hujurat:13]

Kesimpulannya adalah, segala ketentuan hukum yang telah Allah tetapkan sebenarnya memiliki segala hikmah yang tidak dapat diungkapkan dengan segera. Tambahan pula dalam keadaan umat Islam yang telah hilang kekuatan dan penunjuknya selepas Khilafah Islam yang pernah memayungi seluruh umat Islam dighaibkan secara bahasa dan maknanya. Umat Islam terus lemas, dan terkapai-kapai mencari daratan kepastian. Wanita Islam terus dimanipulasi, terus dipermainkan supaya matlamat musuh Islam agar Islam dibuang dari hidup sentiasa subur dan mekar.

Bangkitlah wahai muslimah yang bernaung dibawah kalimah syahadatain,

Dalam kemuliaan Syawal ini marilah kita sama-sama bangkit mengembalikan Islam sebagai satu cara hidup yang akan menjamin kesejahteraan kita melalui pelaksanaan seluruh hukum-hakam Allah secara kaffah. Janganlah kelekaan dan keasyikkan Syawal melalaikan kita dari terus berjuang dan kembali kepada Allah dan syariat yang ditetapkanNya supaya akan tertegak kembali Khilafah kali kedua sebagai sebuah institusi pemerintah yang menerapkan segala syariah. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment