Showing posts with label Propaganda Kapitalisme Pada Muslimah. Show all posts
Showing posts with label Propaganda Kapitalisme Pada Muslimah. Show all posts

Tuesday, August 4, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian Akhir)

Lelaki Dan Wanita Tidak Sama
Sesungguhnya mereka yang melontarkan idea persamaan antara dua jantina ini perlulah menegaskan –secara rasional- bahawa kedua-dua jantina ini sama daripada segi faktanya. Justeru apakah lelaki dan wanita dari segi bentuk tubuh badannya dan juga tugas-tugas semulajadinya benar-benar sama?

Marilah bersama-sama kita melihat adakah idea persamaan antara lelaki dan wanita yang dilemparkan oleh Barat adalah idea yang betul atau salah? Dan apakah yang dikehendaki daripada idea ini sebenarnya!!

Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia ini dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"[TMQ Al-Baqarah(2) : 30]. Begitu juga Allah Subhanahu Wa Taala telah menentukan bahawa manusia itu terdiri daripada lelaki dan wanita. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)" [TMQ al-Hujurat (49) : 13], Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan wanita pertama daripada lelaki dengan firman-Nya: "Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai" [TMQ an-Nisa’ (4) :1]. Kehendak Allah Subhanahu Wa Taala menentukan bahawa lelaki dan wanita itu memiliki persamaan dalam banyak ciri dan berbeza pula dalam ciri-ciri yang lain. Allah Subhanahu Wa Taala juga menjadikan setiap mereka itu ada tugas semulajadi yang khusus dan sesuai dengan penciptaan dan pembentukannya. Allah Subhanahu Wa Taala meminta agar mereka ini saling tolong-menolong dalam mengelolakan bumi dan memakmurkannya, bekerja dan meramaikan generasi. Dia menjadikan lelaki berasa tenang bersama wanita dan begitulah pula sebaliknya. Allah Subhanahu Wa Taala memberikan kita pasangan, anak-anak dan cucu sebagaimana firman-Nya: "dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit" [TMQ an-Nahl (16) :72]. Berikut ini adalah aspek-aspek persamaan dan aspek-aspek perbezaan antara lelaki dan wanita.

Aspek-aspek persamaan:
Manusia itu makhluk bertamadun secara semulajadi, iaitu ia cenderung secara fitrahnya untuk hidup bersama manusia lain. Setiap wanita dan lelaki adalah makhluk sosial, iaitu secara naluri, lelaki cenderung terhadap wanita. Begitu juga sebaliknya. Lelaki mempunyai perasaan, wanita pun demikian. Lelaki memiliki naluri, keperluan jasmani yang pelbagai dan itulah juga yang dimiliki oleh wanita. Sekiranya naluri ini tidak dipenuhi, ia akan membawa kepada goncangan, keresahan dan penderitaan. Jika keperluan jasmani pula tidak diturutkan akan membawa kepada kemusnahan. Kedua-dua mereka memiliki naluri beragama, naluri seksual dan naluri mempertahankan diri. Tidak boleh tidak mereka perlu memenuhinya dan jika tidak mereka akan menderita dan merana. Mereka mempunyai pelbagai keperluan tubuh badan seperti bernafas, makan, minum, tidur dan sebagainya. Jika keperluan-keperluan ini tidak dipenuhi mereka akan berhadapan dengan kemusnahan. Mereka masing-masing mempunyai lima pancaindera serta otak yang digunakan untuk mengindera dan berfikir. Setiap daripada mereka juga merasa gembira dan sedih, redha dan marah, takut dan merasa aman, cinta dan benci, menangis dan ketawa, merasa selesa dan penat. Lelaki dan wanita serupa dalam banyak perkara, iaitu pada bentuk luaran. Setiap mereka mempunyai kepala, leher, dua tangan, jari-jari, dada, perut, tulang belakang dan juga bersamaan dalam alat-alat dalam tubuh mereka, ada urat saraf, alat penghadaman dan alat pernafasan.

Aspek-aspek Perbezaan:
Lelaki dan wanita berbeza dalam beberapa bentuk rupa kejadian, iaitu pada alat pembiakan. Alat pembiakan bagi lelaki berbeza daripada wanita. Allah Subhanahu Wa Taala telah menciptakan alat pembiakan bagi lelaki mampu untuk meletakkan air mani dalam faraj wanita, kemudian air mani ini akan bertemu dengan telur wanita agar dapat membentuk makhluk hidup yang baru yang melekat pada rahim wanita. Wanita mempunyai alat pembiakan yang berbeza yang disediakan untuk menjadi tempat untuk haid dan mengandung kemudian melahirkan dan menyusui, seperti rahim, tempat telur dan payudara. Semuanya itu dicipta untuk membantu janin sehingga dapat tumbuh berkembang dan berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain hingga sampai waktu melahirkan. Seterusnya keluarlah makhluk hidup ini sebagai manusia yang sempurna, tetapi ia masih kecil, lemah dan memerlukan kepada penjagaan dan bantuan daripada ibunya sehingga sempurna tempoh penyusuannya. Kemudian dia memerlukan pula kepada penjagaan hingga dia mencapai usia mumayyiz dan seterusnya usia baligh. Oleh yang demikian, kita dapati wanita itu lebih penyayang, lebih lembut perasaannya, lebih pengasih dan belas kasihan, terutama kepada anaknya. Wanita juga lebih tabah dan sabar menanggung kepayahan mengandung, melahirkan dan juga menyusukan, sifat yang tidak dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada kaum lelaki kerana lelaki tidak melakukan perkara-perkara tersebut.

Sepertimana lelaki dan wanita berbeza pada perkara yang mereka katakan serupa: maka pada perkara-perkara yang lain, secara umumnya majoriti lelaki lebih tinggi dari wanita dan kepalanya lebih besar daripada kepala wanita. Bentuk dadanya juga berlainan daripada bentuk dada wanita. Perut wanita lebih besar daripada lelaki untuk membantunya mengandung dan melahirkan anak. Muka lelaki berbeza daripada muka wanita, dibaluti rerambut ketika balighnya dan rambut lelaki selain rambut di kepala lebih lebat daripada rambut wanita. Suara lelaki ketika telah baligh menjadi kasar dan ada bunyi kelelakian tertentu sementara suara wanita sentiasa lembut dan lebih halus dan ada bunyi yang membezakannya. Otot lelaki secara umumnya lebih kuat daripada otot wanita. Oleh itu mereka bersedia untuk bekerja berat seperti bertani, bertukang, memikul bebanan berat dan berperang sementara otot wanita tidak seperti itu dan ia disediakan secara umumnya kebanyakannya tidak untuk kerja-kerja berat tersebut meskipun sebahagian daripada mereka mampu untuk melakukannya.

Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi kita akan dapati bahawa perbezaan antara lelaki dan wanita bukan setakat pada bentuk anggota pembiakan dan kewujudan rahim, haid, mengandung, melahirkan serta menyusukan, tidak juga pada lamanya masa subur pada lelaki dan pendeknya bagi wanita, dan tidak juga pada perbezaan secara zahir sahaja, semata-mata hanya di sana terdapat perbezaan lain pada susunan dan tugas-tugas sebahagian sel kelenjar endokrin lalu dari mana datangnya persamaan mutlak antara lelaki dan wanita?!

Menyanggah idea `persamaan antara lelaki dan wanita’
Kita telah katakan bahawa lelaki dan wanita adalah makhluk sosial, yang serupa pada beberapa sifat dan berbeza pula pada sifat yang lain. Dan sesungguhnya setiap mereka itu disediakan untuk mentadbir alam ini dan memakmurkannya sepertimana disediakan juga untuk tugas semulajadi khusus yang lain daripada yang satu lagi. Jika pemilik idea persamaan antara lelaki dan wanita mampu untuk membahagikan beban antara dua jenis ini dengan sama maka cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan mengeluarkan haidh, mengandung, melahirkan dan menyusukan pada satu tahun dan wanita pula melakukan hal yang demikian pada tahun yang lain. Bahkan cubalah untuk menjadikan lelaki yang akan melakukan tugas ini walaupun sekali dalam seumur hidupnya. Jawapannya telah maklum. Wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan anak dan melakukan tugas menjaga anak kecil dengan sempurna dan pada masa yang sama lelaki tidak mengeluarkan haid, tidak mengandung, tidak melahirkan anak dan tidak menjaga anak, lalu bagaimana kita menuntut wanita agar melaksanakan tugas-tugas di ladang, bertukang, berniaga, berperang, menanggung beban di samping tugas mengandung, melahirkan anak dan menyusukan dengan kadar yang sama yang dilakukan oleh lelaki sedangkan dia tidak mengandung dan tidak menyusukan. Lalu apakah makna persamaan antaranya dalam hal itu?!

Adakah wanita mampu ketika dia sedang hamil atau menyusukan untuk memimpin tentera dan pejuang-pejuang dan memerangi musuh di medan pertempuran?! Sesungguhnya mereka yang menyerukan kepada persamaan mutlak antara lelaki dan wanita ini jahil terhadap hakikat pembentukan mereka, bahkan mereka bersikap degil dan mahu menentang realiti atau fakta ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala bagi lelaki dan wanita.

Sesungguhnya kita meminta agar mereka yang menyerukan kepada persamaan antara dua gender ini dan yang mendakwa tahu hakikatnya dan dia telah merealisasikan banyak perkara mengenai hal tersebut, untuk menjawab beberapa persoalan yang berikut ini:

Dari gender yang manakah semua para nabi dan rasul?! Adakah daripada lelaki atau daripada wanita?! Sedangkan setiap lelaki dan wanita memikul tanggungjawab mengemban dakwah dan bersabar atas gangguan/cabaran di jalan tersebut berdasarkan potensi masing-masing.

Dari gender yang manakah Pope Vatikan dalam sepanjang sejarahnya?!

Dari manakah sebahagian besar gender ini menjadi tentera yang berperang di medan pertempuran?! Sedangkan sebahagian wanita menyertai peperangan. Terutama dalam merawat mereka yang tercedera dan berkhidmat untuk para pejuang.

Adakah pemimpin tentera agung yang dicatatkan dalam lipatan sejarah terdiri daripada kaum wanita atau mereka itu lelaki?!

Kita juga ingin menanyakan kepada mereka: Berapakah pemimpin negara wanita yang memerintah Amerika Syarikat atau Britain atau Perancis atau German sepanjang sejarah mereka dahulu dan sekarang?! Dan berapa ramaikah menteri wanita yang menjawat pimpinan tentera negara-negara tersebut atau negara-negara lain?! Berapa ramaikah wanita bekerja dalam kerja-kerja yang sukar dan jawatan-jawatan pemerintahan di negara-negara ini yang menjanjikan terealisasinya persamaan? Adakah mereka telah melakukan persamaan dengan sebenar-benarnya dalam jawatan-jawatan ini antara lelaki dan wanita?! Sedangkan mereka mendakwa bahawa orang lain daripada kalangan hamba Allah Subhanahu Wa Taala telah menzalimi wanita, menelan hak mereka dan tidak membenarkan mereka menyaingi lelaki!! Bagaimana boleh terjadinya wanita yang haid atau hamil atau bernifas atau menyusukan anak kecil, atau yang mengambil berat dengan kesihatan dan hidup anaknya untuk melakukan kerja yang disebutkan tadi?! Tidak ragu lagi bahawa jika kita meminta wanita melakukan kerja-kerja ini, kita sebenarnya telah menzaliminya dan meminta dia menanggung bebanan di luar kemampuannya. Pada masa yang sama telah diberikan penyelesaian antara dirinya dan tanggungjawabnya dengan ciptaan Allah Subhanahu Wa Taala dengan sebaik-baik cara. Maka apakah makna persamaan antara keduanya?!

Oleh yang demikian kami katakan: Sepertimana sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan bahawa bagi lelaki ada tugas-tugas yang sesuai dengan bentuk tubuhnya seperti pekerjaan berat dan peperangan, juga pemerintahan. Sunnatullah dan hikmat-Nya juga telah menentukan agar kaum wanita itu ada tugas-tugas yang sesuai dengan penciptaannya seperti kerja-kerja rumah dan mendidik anak-anak. Maka wanita mengeluarkan haid, mengandung, melahirkan, menyusukan dan melaksanakan kerja-kerja ini dengan penuh lapang dada serta memikul tanggungjawab ini dengan redha dan tenang. Bahkan sesungguhnya wanita merasa kekurangan yang banyak sekiranya terdapat sesuatu yang menghalangnya dari menunaikan tanggungjawab ini atau melakukan tugas-tugas yang fitrah ini. Sunnatullah dan hikmat-Nya telah menentukan agar kedua-dua gender ini disamakan dalam banyak tugas seperti menuntut ilmu, mengemban dakwah, memuhasabah pemerintah, amali kedoktoran, pendidikan, menulis dan bersastera, berniaga, bertukang, bertani dan sebagainya.

Lalu di manakah tamadun kapitalis yang rosak ini menyerukan pembohongan persamaan antara lelaki dan wanita?!

Sesungguhnya mereka yang mendirikan tamadun Barat menyedari fakta ini tetapi disebabkan pandangan manfaat mereka, iaitu tolok ukur mereka dalam kehidupan. Disebabkan mereka kosong daripada sebarang nilai selain nilai material, mereka melihat seruan idea persamaan antara lelaki dan wanita dan kemudian menerapkannya adalah satu perkara yang bermanfaat. Hal ini membolehkan mereka memonopoli sebahagian sifat yang dikhususkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada wanita sahaja seperti kecantikannya, kelembutannya dan potensi daya tarikannya kepada lelaki lalu ditambah biak sifat ini dalam kerja perekonomian seperti menarik pelanggan dan pengiklanan. Tubuh badan mereka dipergunakan di rumah-rumah urut, dan dalam bidang seni yang rendah darjatnya juga untuk melakukan dakyah, menjadi setiausaha dan melakukan penyiasatan. Mereka berada di pentas-pentas teater dan sebagainya lalu mereka memperolehi keuntungan yang menjijikkan.

Inilah yang mereka dapati. Mengenai tuntutan mereka kepada kita dengan idea persamaan antara lelaki dan wanita adalah sebahagian daripada propaganda kapitalis terhadap umat Islam untuk menjauhkan mereka daripada Islam. Untuk menghalang tanpa mengembalikannya semula seperti sistem pemerintahan ke dalam kehidupan. Mereka dengan alasan yang dipaksakan dan suatu kebohongan, idea `persamaan antara lelaki dan wanita`, hendak menjauhkan wanita Muslimah daripada kedudukannya yang sebenar untuk menghapuskan keluarga Muslimah. Lebih jauh lagi mereka ingin menghidupkan pelacuran dan keruntuhan akhlak antara kaum Muslim untuk menyambut kemenangan pemikiran baru di samping kemenangan mereka secara politik dan ketenteraan. Cuma kaum muslimin telah tersedar daripada kelalaian mereka. Sekarang mereka merasakan kebangkitan atas asas Islam dalam pelbagai penjuru dunia Islam. Bahkan di rumah kaum kafir yang mereka sempitkan jarak sehasta dengan Islam dan kaum Muslimin. Mereka tidak mampu untuk melihat secarik kain menutupi kepala wanita Muslimah di atas tanah mereka. Inilah dia akidah Islam. Fikrah yang terpancar darinya tersebar di seluruh penjuru dunia meskipun wujud propaganda kufar yang ganas terhadap Islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: "Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka....“[TMQ As-Saff (61) : 8]

Wanita Dalam Islam:
Sebelum cahaya Islam menyinar, pandangan terhadap wanita dahulunya di dunia, khususnya oleh orang Arab adalah pandangan yang menyeleweng seperti pemikiran dan akidah mereka yang menyeleweng. Mereka tidak memandang wanita adalah manusia sepertimana lelaki. Sesungguhnya hikmah Allah Subhanahu Wa Taala dan kehendak-Nya menentukan bahawa di antara mereka ada kehidupan perkahwinan yang menentukan kehormatan, bukan kehinaan, untuk mereka membentuk keluarga yang mampu untuk mendidik anak-anak dan memakmurkan dunia ini.

Islam telah datang dengan meninggikan taraf wanita dan memuliakannya dengan hukum-hukum syarak yang benar. Mereka diselamatkan daripada keadaan yang menyelimuti mereka sepanjang zaman dalam kebanyakan tamadun. Mereka diberikan hak dan kewajipan seperti lelaki daripada segi kemanusiaan. Hal itu tidak disebabkan oleh ajakan, pemberontakan, tuntutan sosial, ekonomi atau politik, bahkan Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala yang menjadikan hal itu. Allah Pencipta lelaki dan wanita. Islam menganugerahkan kepada wanita hak syarak sejak daripada awal lagi tanpa permintaan darinya, daripada persatuan wanita atau pertubuhan hak-hak asasi manusia. Islam bertujuan untuk merealisasikan manhajnya yang sempurna dengan tegas, bukan untuk bahagian lelaki dan bukan untuk bahagian wanita, tetapi untuk bahagian manusia dan masyarakat Islam dan untuk bahagian keadilan yang diperintahkan oleh Pencipta. Memuliakan wanita adalah memuliakan manusia. Tiada kelebihan antara sesama manusia melainkan takwa, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu) " [TMQ al-Hujurat (49) : 13].

Majalah al-wa’ie (edisi bahasa Arab). 2006. Bil. 229.hal. 29-32

Monday, June 29, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 4)

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta Pelbagai Organisasinya Berkhidmat Untuk Amerika Bagi Memerangi Wanita Muslimah...

Amerika Syarikat sebagai ketua Kafir Barat mendokong idea kebebasan wanita muslimah daripada segala ikatannya, persamaan haknya dengan lelaki dengan segenap kekuatan dan pengaruh, dan dengan semua cara berupa insentif dan intimidasi atas nama memelihara kebebasan dan demokrasi. Mereka menggunakan dua institusi yang mempunyai peranan masing-masing dalam urusan wanita Muslimah. Kedua-dua institusi ini adalah:
* Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) dengan berbagai-bagai organisasinya.
* Amerika Syarikat sendiri sebagai pembawa panji globalisasi dan demokrasi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB): Perhatiannya dalam isu-isu wanita muslimah zaman moden dan dewasa ini nampak jelas sejak pertengahan abad yang lalu. Perhimpunan Agung PBB telah menganjurkan beberapa seminar yang berkaitan dengan wanita dan mengeluarkan beberapa ketetapan dan deklarasi antarabangsa seperti (Ketetapan Khas Mengenai Hak-hak Politik Bagi Wanita Tahun 1952). (Dan Deklarasi Khas Tentang Penghapusan Diskriminisasi Terhadap Wanita Tahun 1967). (Deklarasi Tehran Mengenai Hak-hak Wanita Tahun 1968). Usaha berterusan telah dilakukan untuk mengadakan seminar antarabangsa bagi tujuan tersebut. Seminar pertama adalah pada tahun 1975 di Mexico yang dinamakan (Tahun Wanita Sedunia) merupakan seminar yang menyerukan persamaan hak, pembangunan dan perdamaian. Setelah itu seminar Copenhagen bagi wanita tahun 1980, seminar Nairobi pada tahun 1985, kemudian seminar keempat yang ditujukan untuk wanita, iaitu seminar Pekin yang diadakan pada tahun 1995. Ia diikuti oleh seminar Kaherah dan kemudiannya seminar Oman. Semua seminar ini telah bersepakat di dalam beberapa perkara utama berkaitan wanita iaitu:

Pertama: Kerana ia mengiktiraf agama sebagai salah satu bentuk sikap berat sebelah kepada lelaki berbanding wanita dan menyerukan penolakan kepada agama.

Kedua: Kerana ia melakarkan untuk wanita Muslimah gaya hidup wanita Barat yang sepatutnya ia lalui supaya ia bebas daripada berat sebelah agama dan menikmati kebebasan dan persamaan mutlak dengan kaum lelaki.

Salah satu cadangan adalah kepemimpinan daripada konferensi ini ditaja oleh isteri raja-raja dan presiden dari negara masing-masing. Ia bertujuan untuk menampakkan keseriusan kepada perkara yang sedang dikaji dan lebih jauh lagi melaksanakan keputusan-keputusannya kerana mereka ini dekat dengan para pembuat keputusan.

Daripada seminar-seminar ini muncul pula seminar peringkat nasional yang membincangkan topik-topik khusus mengenai wanita seperti: wanita dan media, wanita dan pendidikan, wanita dan pembangunan dan sebagainya. Semua itu adalah topik-topik yang dirancang untuk menyesatkan wanita, khususnya wanita Muslimah untuk mengambil tamadun barat yang menyerukan kepada persamaan mutlak antara kedua-dua jantina ini dan kepada kebebasan seksual dan menghalalkan pengguguran. Istilah “gender” yang dimunculkan dalam seminar Pekin tiada lain merupakan seruan yang jelas kepada hubungan sesama jenis. Banyak usaha telah dilakukan untuk menyebarkan pemikiran ini di negara umat Islam dengan pelbagai cara. Ia adalah untuk memaksa masyarakat untuk menerima hubungan sesama jenis dan tidak menganggap mereka bersalah. Inilah yang diterjemahkan ke dalam banyak undang-undang negara Barat.

Sementara organisasi di bawah payung PBB telah memainkan peranan penting dalam bidang ini. Tabung Pembangunan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFEM) telah bekerja sama dengan organisasi wanita di beberapa negara Arab dengan mengadakan bengkel untuk memperkenalkan kepada para peserta lelaki dan wanita dengan konsep “gender”, dan memasukkannya ke lembaga/yayasan kerajaan dan bukan kerajaan dengan pelbagai cara yang meningkatkan percampuran antara kedua-dua jantina ini dan mempamerkan kecantikan wanita serta menelanjangkannya dan menghinakannya dengan keterlibatannya dengan perbuatan keji. Apa yang dimaksudkan dengan “gender” adalah persamaan mutlak antara lelaki dan wanita dan mengenepikan semua perbezaan fizikal antara kedua-duanya sehingga ke aspek biologi yang ada pada wanita, seperti kehamilan dan penyusuan.

Demikian juga organisasi Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah memilih untuk mengemukakan isu bahaya perkahwinan usia muda – yang merupakan antara pesanan seminar tersebut - untuk mendesak golongan muda supaya enggan berkahwin awal, mengehadkan kelahiran, memakan pil pencegah kehamilan, membolehkan pengguguran dan seterusnya, yang membawa kepada meningkatnya usia perkahwinan di kebanyakan negara. Banyak pusat yang ditaja oleh organisasi asing secara sukarela telah ditubuhkan dengan mengagihkan pil pencegah kehamilan untuk para remaja dan mereka yang telah berkahwin secara percuma. Kempen kesedaran mengenai kelahiran berfungsi untuk menyeru kepada pembatasan dan pengurangan kelahiran. Demikian juga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia serta organisasi Amnesti antarabangsa mempunyai sumbangan masing-masing dalam hal-ehwal wanita untuk menggalakkan amalan tersebut. Merekalah yang mengelolakan pembiayaan kebanyakan seminar dan ketetapan serta pusat-pusat pemulihan para penzina dan memelihara anak-anak zina. Usaha-usaha yang digembelingkan dan bantuan kewangan yang diberikan untuk perkara ini amat banyak.

Amerika Syarikat: Telah mengeksploitasi peristiwa 11 September 2001, dan reaksi seterusnya sebagai alasan untuk melaksanakan perubahan-perubahan besar daripada aspek ketenteraan, politik serta ekonomi dalam negara Islam khususnya negara Arab dengan alasan memerangi keganasan. Tidak cukup hanya dengan bidang tersebut justeru ditambah dengan satu lagi bidang yang penting, iaitu yang berkaitan dengan wanita. Maka ditubuhkan pejabat khas dalam Kementerian Luar dan dilantik kepimpinan utamanya para koordinator bagi menangani isu-isu wanita sedunia. Aktivitinya dimulakan dengan lawatan ke negara-negara Islam untuk menyampaikan ucapan. Pertama sekali adalah ucapan yang disampaikan di Istanbul. Di sana mereka menetapkan tujuan-tujuan yang dilontarkan oleh Amerika Syarikat dan berusaha untuk merealisasikannya di negara kaum Muslimin, iaitu:

o Mengemukakan konsep utama mengenai hak wanita dan membolehkan wanita untuk menyertai aktiviti politik.
o Mendorong wanita untuk sentiasa menuntut kebebasan peribadinya yang diperakui oleh sistem kapitalis.
o Membentuk kerjasama dan perjanjian dengan kerajaan lain dan yayasan antarabangsa serta organisasi bukan kerajaan untuk mengetahui apa yang telah dilakukan oleh mereka dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita untuk mengambil manfaat daripadanya.

Di samping penjelasannya terhadap tujuan-tujuan tersebut program kerja juga telah ditetapkan, dan mengehadkan cara-cara untuk melaksanakan tujuan-tujuan ini dan menyebutkan bahawa kerajaannya telah melakukan pemantauan untuk tujuan ini dengan peruntukan sebanyak 29 juta dolar.

Antara “keprihatinan” Amerika mengenai wanita Muslimah menurut ucapan wakil penasihat keselamatan negara (dalam pentadbiran Bush): “Sesungguhnya presiden Bush menegaskan semula pendirian Amerika Syarikat di samping perkara yang dinamakannya sebagai ‘tuntutan martabat manusia’ yang tidak menerima adanya tawar-menawar, iaitu hukum undang-undang, persamaan di hadapan pengadilan, dan penghormatan terhadap wanita”, dia juga berkata: “Terdapat permulaan yang menjanjikan reformasi dan keterbukaan di kedua-dua dunia arab dan dunia Islam terutamanya di Bahrain, Jordan, Maghribi, Qatar dan Afghanistan.”

Semua usaha ini membawa kepada berlakunya beberapa perubahan dalam bidang-bidang yang dikhususkan untuk wanita, yang berkaitan dengan perkongsian politik, hal-ehwal peribadi dan sebagainya.

Dalam bidang perkongsian politik, wanita telah memperolehi hak pencalonan dan mengundi serta berkongsi pemerintahan di beberapa buah negara di samping mengikut sebahagian posisi yang penting.

Sementara itu, dalam bidang hal-ehwal peribadi, sebahagian negara dunia seperti Mesir dan Maghribi mula mengusahakan perubahan dan pindaan sebahagian hukum syarak yang berkaitan wanita. Di Mesir telah dibincangkan undang-undang hal-ehwal peribadi dalam majlis rakyat sejak tahun 2000 untuk mengadakan perubahan yang berkaitan dengan Khulu’, dan pertelingkahan berkaitan safar wanita, dan perceraian dan membentuk mahkamah sivil untuk keluarga di samping perkara-perkara lain yang ingin mereka pinda.

Sementara di Maghribi, yang paling jelas dapat dicapai secara khusus – apa yang diusahakan oleh Barat berupa tujuan-tujuan mengenai hal ehwal wanita Muslimah yang dinamakan (rancangan nasional untuk integrasi wanita dalam pembangunan), langkah ini sebahagian daripada rancangan antarabangsa dengan tujuan memaksakan keluarga Muslimah agar mencontohi Barat. Dalam langkah ini dilaksanakan perkara-perkara berikut:
• Meningkatkan tahap usia anak perempuan yang dibolehkan berkahwin iaitu dari usia 15 tahun kepada 18 tahun.
• Pembahagian hak milik/harta antara suami isteri selepas perceraian.
• Menghapuskan poligami secara terus terang.
• Kedua-dua suami dan isteri menafkahi keluarga secara berkongsi berdasarkan sumbangan masing-masing.
• Membolehkan kaum wanita hak menuntut cerai.
• Memberi hak kepada kaum wanita untuk berkahwin sendiri tanpa persetujuan wali.
• Persamaan hak dan kewajipan bagi suami isteri.

Sementara di Jordan: peraturan di sana, sejak dahulu lagi adalah melaksanakan keinginan Barat. Usaha yang berterusan sentiasa dilakukan terhadap persoalan wanita. Selain itu usaha juga dilakukan untuk mengiktiraf suara wanita dan penyertaan mereka dalam seluruh aspek kehidupan tanpa membezakannya dengan lelaki. Dalam erti kata lain ia adalah seruan kepada persamaan gender. Dalam kaitan ini untuk mencari keredaan Amerika dan kaum kufar, mereka melakukan tindakan-tindakan untuk melaksanakan politik pembatasan kelahiran. Antaranya adalah:

• Mewujudkan pengkhususan baru di Fakulti Perubatan, Universiti Hashimite, iaitu perubatan dan kesihatan reproduksi. Kesihatan reproduksi dan pengaturan keluarga adalah dua istilah yang diberikan untuk mempraktikkan pembatasan kelahiran.
• Menyediakan peluang di institusi-institusi, persatuan-persatuan serta organisasi antarabangsa untuk melaksanakan program yang berkaitan pencegahan kehamilan seperti yayasan (Hopkins) Amerika, yang mampu mempromosikan melalui pemberian berbentuk harta dari organisasi pemudi untuk tujuan-tujuannya. Yayasan ini telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk (asas teknologi sebagai cara untuk mencegah kehamilan – petunjuk bagi para pengamal perubatan di klinik-klinik), buku ini telah sempurna dikaji oleh para pengamal perubatan yang menggunakan semua maklumat wanita Jordan dan pengumpulan maklumat penduduk dengan kerjasama organisasi kesihatan sedunia dan perwakilan Amerika bagi pembangunan antarabangsa.
• Mewujudkan majlis tertinggi penduduk, tujuannya adalah untuk membataskan kelahiran dan pemandulan (dengan alasan membaiki taraf ekonomi penduduk).
• Mewujudkan mahkamah keganasan rumahtangga yang terdiri daripada qadhi, doktor dan pendakwa am.
• Pembentukan dan pelaksanaan seminar-seminar dan juga biro-biro wanita serta nadwah-nadwah khusus mengenai kesihatan dan reproduksi.
• Pembukaan klinik-klinik, pemantauan harta dan pembentukan delegasi wanita terlatih untuk melakukan lawatan berulang terhadap kaum wanita di rumah mereka dan menggalakkannya agar membataskan kelahiran dengan menggunakan pil-pil pencegah kehamilan dan dengan cara-cara yang lain (sebahagian besarnya dengan dana luar yang mempunyai objektif tertentu).
• Mengaitkan pertumbuhan ekonomi dengan pertambahan penduduk, dan mengaitkan kemiskinan dan pengangguran dengan pengembangan keluarga, untuk merealisasikan sesuatu yang mereka namakan sebagai keseimbangan antara kadar pendapatan dengan bilangan ahli keluarga. Sedangkan statistik rasmi menyangkal dakwaan ini. Keputusan rasmi pada tarikh 17 Mac 2004 yang telah dikeluarkan menyatakan bahawa kadar reproduksi pada tahun 1976 telah mencecah 7:4 dan baru-baru ini mencapai jumlah 2:1. Jika mereka menafikan kadar yang tinggi ini, adalah sewajarnya masalah ini telah diselesaikan, maka selesailah hal tersebut. Kemajuan yang pesat telah meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi namun pengangguran, kadar kemiskinan dan kelemahan anggaran tahunan pula kian bertambah.
• Menyertai seminar-seminar antarabangsa dan menjadi tuan rumah seminar-seminar khas untuk wanita. Daripada seminar tersebut dikeluarkan keputusan-keputusan yang membenarkan dan memberikan hak kepada kaum wanita dalam kebebasan berfikir, berperasaan, beragama, berakidah dan mengawal hal-hal berkaitan kesihatannya, khususnya yang berkaitan dengan kesuburannya dan juga memperbaiki kesihatan reproduksi dengan alasan bahawa wanita mempunyai hak untuk menikmati kebebasan peribadinya.

Bahawasanya propaganda kaum kafir terhadap wanita Muslimah di bawah pimpinan Amerika semuanya adalah untuk merealisasikan beberapa tujuan. Antaranya: menjauhkan wanita Muslimah daripada agamanya, mengeluarkannya dari rumahnya, menghapuskan keluarga Muslimah dan pendidikan anak-anak, kemudian menggalakkannya untuk melakukan pengguguran dan menelan pil pencegah kehamilan yang berakhir dengan kemandulan bertujuan untuk mengehadkan kelahiran di kalangan umat Islam.

Perkara-perkara inilah yang dikehendaki oleh Amerika untuk kita. Sementara para pemikir di negara mereka pula menginginkan yang lain. Satu kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Harvard (salah sebuah universiti terkemuka Amerika) menasihatkan para wanita di Amerika Syarikat agar ‘meniru wanita Muslimah dalam akhlak mereka dengan mengajak semua wanita Amerika supaya cuba meniru tingkahlaku wanita Muslimah sebagai satu-satunya cara untuk menyelamatkan masyarakat Amerika daripada penyesalan dan kekecewaan yang tidak berpenghujung disebabkan oleh keruntuhan akhlak dan tersebarnya penyakit yang diakibatkan oleh hubungan tidak syarie antara lelaki dan wanita di sana’. Institusi nasional kajian kesihatan di Maryland yang melakukan kajian khas mengenai Islam dan syiarnya telah menegaskan bahawa jika umat Islam menjaga pelaksanaan syiar Islam, dia akan menjadi seorang yang berperibadi baik daripada sudut jiwa dan kesihatannya. Dia akan melalui kehidupannya dengan jiwa yang halus dan tidak akan berhadapan pula dengan sebarang masalah kejiwaan. Hal tersebut berlawanan dengan seorang Muslim yang tidak menjaga pelaksanaan syiar-syiar Islam ataupun jika dia seorang non-Muslim.

[bersambung]

Thursday, June 4, 2009

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 3)

Wanita Dalam Zaman Moden
Wanita Muslimah menjadi sasaran propaganda kejam negara-negara kufur Kapitalis Barat. Mereka ingin mengeluarkan Muslimah dari kesuciannya dan hubungan sucinya dengan pihak lelaki untuk menjadi barang dagangan dan tempat memuaskan nafsu syahwat semata-mata. Sesungguhnya propaganda ini telah lama bermula sejak mereka mula menyerang umat dan usaha mereka semakin meningkat akhir-akhir ini, terutamanya selepas peristiwa 9/11. Bagaimanakah masyarakat dunia sebelum Islam dan zaman moden memandang wanita? Apakah perancangan Amerika Syarikat dan sekutunya, iaitu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam isu ini?... Inilah yang akan kami jelaskan InsyaAllah Ta’ala.

Pada awal era tersebut hingga sebelum runtuhnya daulah Khilafah pada tahun 1924 Masehi, kaum wanita Muslimah hidup dalam naungan hukum-hukum syarak yang memuliakan dan meninggikan kedudukannya. Mereka dipandang dengan pandangan yang mulia.

Sementara wanita bukan Islam sama ada di Barat atau Timur, kedudukan mereka berbeza mengikut perbezaan agama, sistem dan adat yang mendominasi mereka. Wanita di Eropah adalah berbeza dengan wanita di Asia Tenggara, Afrika, Australia atau Amerika Latin.

Di Eropah, kaum wanita di beri beberapa hak dan keistimewaan, tetapi ia kurang dari lelaki. Di sana terdapat jurang yang nyata antara lelaki dan wanita. Kaum lelaki menguasai segalanya di bawah naungan kerajaan peninggalan agama Nasrani yang tunduk kepada kekuasaan Gereja. Keutamaan mereka adalah mempertahankan institusi raja-raja lebih daripada memelihara hak wanita atau lelaki. Keadaan wanita adalah seperti lelaki yang perlu berusaha untuk mendapatkan keredhaan gereja dan orang yang bertanggungjawab ke atasnya. Mereka melihat kaum wanita ini dengan pandangan yang rendah dan hina.

Keadaan terus berlangsung demikian sehingga Kapitalisme mencetuskan revolusi industri. Maka mulailah para Kapitalis menyerukan pembelaan hak-hak wanita.

Manakala wanita di belahan dunia yang lain berada dalam keadaan yang lebih teruk dari keadaan wanita di Eropah. Di Afrika wanita adalah hina dan ia dipandang dengan pandangan yang rendah dan mereka boleh diperhambakan. Lalu dijual dan dibeli untuk bekerja dalam satu-satu pekerjaan sama ada di rumah, ladang atau sebagainya. Di negara yang lain pula keadaan wanita sama dengan keadaan di Afrika kecuali isu hamba abdi.

Sementara wanita Muslimah sebelum runtuhnya Khilafah berada pada kedudukan yang baik, memiliki hak dan penghormatan yang lebih banyak. Ini menyebabkan mereka berhadapan dengan dengki dan ancaman tipudaya Barat yang menghendaki keburukan untuk mereka. Berlakulah usaha untuk merosakkan wanita Muslimah kerana ia akan membawa kerosakan kepada seluruh masyarakat Islam. Barat menyedari bahawa merosakkan wanita tidak akan berjaya melainkan dengan menggoncang pegangannya dan iltizamnya kepada hukum-hukum syarak yang dikhususkan untuk wanita. Dengan demikian mudahlah menjauhkan mereka dari kemuliaan dan melemparkan mereka kepada kehinaan. Barat mengkaji dengan bersungguh-sungguh untuk mencari cara yang dapat merealisasikan hal tersebut dan menyampaikan kepada munculnya seruan kepada persamaan antara lelaki dan wanita. Barat juga telah mendorong mereka untuk menuntut hak-hak mereka. Percubaan pertama telah dilakukan ketika Napoleon Bonaparte menakluki Mesir pada tahun 1798 Masehi. Beliau berusaha untuk menggesa Muslimat menentang sistem yang diterapkan ke atas mereka iaitu Islam. Pada era Muhammad Ali al-Kabir dan para penggantinya, Daulah terbuka kepada Barat. Beberapa utusan dikirim ke Eropah. Ruang pengutusan misionaris juga terbuka untuk memasuki negara yang berada di bawah pemerintahannya. Kaum Nasrani menguasai kawasan Syam dalam kesempatan ini dengan pertolongan para misionaris tersebut. Mereka bergerak cergas dalam bidang kewartawanan dan kesenian termasuklah di Lubnan dan Mesir. Perhatian yang lebih diberikan kepada Mesir dengan menempatkan isu wanita di sana sebagai isu yang besar oleh pihak Barat. Mereka mengerah segenap upaya di sana dan menggunakan semua teknik yang keji untuk merealisasikan tujuan-tujuan mereka. Di sana, mereka mewujudkan semua perkara yang dapat merosakkan manusia bahkan mereka menyebarkan keburukan mereka melalui filem dan drama seks bersiri dan sebagainya. Ia menyebabkan tersebarnya kekejian di banyak negara di dunia Islam. Di Mesir, Qasim Amin membuka pintu seruan yang keliru yang mengajak kepada pembebasan wanita yang disahut oleh orang-orang yang berkepentingan. Mereka membuka sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan demikian juga tersebarnya sekolah-sekolah asing di Mesir. Pada awalnya orang-orang kaya dan para pemerintah menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah ini kerana menginginkan anak-anak mereka mengikut orang Barat. Selanjutnya ia diikuti oleh masyarakat umum yang lainnya.

Di samping itu, Barat menjaga usaha untuk merosakkan wanita Muslimah dan menunjuk-nunjuk dengan seruan pembebasan mereka, sesungguhnya di tempat lain di dunia ini, iaitu di negara bukan Islam sejak kedatangan ideologi Kapitalisme mula berusaha untuk mendapatkan hak-hak mereka dengan dorongan dari seruan-seruan yang jelas menuntut keadilan dan pembebasan mereka dari penguasaan gereja dan kaum lelaki. Ramai sejarawan yang melaporkan bahawa pada tahun 1792 Masehi adalah permulaan gerakan wanita Eropah, iaitu merupakan tahun tersebarnya buku (Mary Wilson) di British yang bertajuk “Mempertahankan hak-hak wanita” yang mendapat sambutan kaum wanita di banyak negara Eropah.

Pada tahun 1859 Masehi telah diterbitkan buku “Asal-usul Spesis” oleh Darwin dan disebarkan di dalamnya teori mengenai evolusi yang menggugat akidah Nasrani yang mengatakan bahawa benda-benda adalah tetap dan tidak berubah. Darwin datang dengan mengatakan: “Di sana tidak terdapat tujuan yang tetap pada benda-benda dan bahawasanya manusia wujud sebagai hasil daripada proses evolusi yang lambat yang mengambil masa jutaan tahun”. Darwin juga menyentuh mengenai institusi keluarga dengan berkata: “Keluarga dengan konsepnya yang lama adalah sesuatu yang indah pada masa lalu dan munasabah untuk peringkat tertentu dari evolusi, dan konsep ini tidak penting lagi pada hari ini dan tidak juga indah, bahkan tidaklah penting untuk adanya keluarga secara mutlak kerana keperluan-keperluan masyarakatlah yang membentuk keluarga.”

50 tahun selepas Darwin, muncul orang yang lebih ekstrim iaitu seorang Yahudi (Sigmund Freud) yang mengatakan “Seks adalah segalanya dan segalanya datang dari seks.” Orang yang mempunyai dua jantina digalakkan agar keluar dari kongkongan yang dipaksakan ke atas mereka. Dia menyeru mereka agar mempraktikkan pemuasan seks. Lalu terbitlah buku-buku mengenai seks dan syair-syair yang disusun supaya pembaca menikmati nafsu seks dan muncullah lakonan dan pementasan yang mengeksploitasi tubuh wanita dan kewanitaannya yang mewujudkan suasana baru bagi wanita di Eropah.

Keadaan baru ini telah terefleksi pada undang-undang yang diterapkan di negara-negara Barat dan yang dahulunya terdapat kekangan terutamanya yang melibatkan wanita. Mereka mula mengadakan seminar-seminar untuk mengkaji undang-undang ini dan mengubahnya sehingga undang-undang mereka yang baru kosong dari sebarang nilai spiritual atau akhlak mahupun kemanusiaan. Kebahagiaan menurut mereka adalah mendapatkan setinggi-tinggi kepuasan jasmani yang antaranya adalah menikmati seks. Wanita menjadi tidak mempunyai nilai jika mereka hodoh, menderita penyakit, tidak berupaya atau telah tua. Nilai wanita terletak pada umurnya yang muda, kecantikannya serta daya tarikan seksualnya. Mereka mula mengamalkan kebebasan individu. Melepaskan diri dari ikatan kekeluargaan ataupun ikatan yang lain, lalu amalan yang rendah dan hina itu diiktiraf oleh undang-undang. Mereka memuaskan nafsu di rumah-rumah murah yang dilindungi oleh polis dan undang-undang. Mereka meminta bangsa dunia untuk mengikut amalan mereka dan mula memasarkan kebebasan ini kepada sebahagian besar bangsa di dunia dengan nama demokrasi, khususnya kepada bangsa yang dijajah di dunia Islam. Mereka melihat Mesir dengan serius kerana kepentingannya dan bahaya kedudukan geografinya kerana ia bersambung dengan negara Syam di satu sempadan dan Sudan dan beberapa negara Utara Afrika di sebelah yang lain. Ia juga mempunyai pengaruh ke atas seluruh umat Islam. Oleh yang demikian, ketika British menjajah Mesir, mereka memberi perhatian khusus terhadap isu wanita, antaranya mereka boleh merosakkan wilayah negara Islam melalui filem-filem wayang dan pementasan, nyanyian dan buku-buku yang memasuki setiap rumah. Sempurnalah usaha mereka untuk merosakkan wanita di negara ini oleh mereka yang digelar reformis dari kalangan para pemikir dan sasterawan yang menyambut seruan yang sesat ini di atas nama pembebasan wanita.

Pegawai British di Mesir (Lord Kromer) telah menyatakan sejauh mana keprihatinan Inggeris terhadap wanita Muslimah ketika dia mengatakan dalam laporannya yang ditujukan kepada ahli politik Britain: “Sesungguhnya situasi wanita di Mesir dan di negara Islam adalah halangan terhadap usaha meninggikan tahap pemikiran dan personaliti, yang perlu untuk membantu masuknya tamadun Barat ke dalam negara umat Islam. Jika tamadun ini mahu memperolehi faedah yang sebaik mungkin maka di hadapan kita tiada lain melainkan program pendidikan terhadap wanita”, Beliau (Lord Kromer) perintis terhadap perubahan wanita Mesir. Pada tahun 1898 Masehi beliau menulis: “Sesungguhnya lambatnya kemajuan (Mesir) adalah disebabkan pandangan umum yang menyebabkan tidak wujud kepedulian yang serius terhadap pendidikan anak perempuan.”

Kemudian dia kembali semula pada tahun 1900 Masehi dan menulis: “Sesungguhnya perubahan terhadap pandangan umum rakyat Mesir dalam tahun-tahun lalu terutamanya isu pendidikan wanita merupakan sesuatu yang menarik perhatian.” Oleh yang demikian, kita dapati orang Inggeris telah membuka pintu kepada para misionaris untuk membuka sekolah-sekolah asing di Mesir, yang jumlahnya mencapai lebih dari 50 sekolah pada tahun 1892 Masehi. Selepas itu dibuka pula sekolah-sekolah swasta yang jumlahnya mencapai 40 buah sekolah. Pelajar wanita keluaran sekolah ini telah menguasai kemahiran pendidikan dan pembelajaran dengan asas-asas Barat. Sebahagian mereka memasuki universiti-universiti asing supaya apabila kembali ke Mesir akan membawa pemikiran dan peradaban Barat yang menentang agama dan nilai-nilai utamanya. Maka pada tahun 1919 Masehi, para penunjuk perasaan wanita telah keluar mengelilingi jalan-jalan Kaherah yang menuntut pegawai British agar memberikan wanita Mesir kebebasannya. Jumlah penunjuk perasaan adalah 300 orang yang diketuai oleh Safiyyah Zaghlul isteri kepada Sa’ad Zaghlul dan Huda Sya’rawi isteri kepada Sya’rawi Basya.

Melihat kepada kepentingan media maka tidak terhadlah aktiviti pengutusan dengan membina sekolah-sekolah untuk anak-anak perempuan bahkan muncul keperihatinan untuk menerbitkan akhbar dan majalah yang khusus mengenai wanita yang penyebarannya ditujukan secara meluas kepada kaum wanita terutamanya keluaran dari sekolah-sekolah asing. Kebanyakan penyelia akhbar dan majalah ini dari kalangan Nasrani Lubnan. Dan sekitar tahun 1892-1906 mereka telah berjaya menerbitkan lapan majalah wanita seperti Majallah al-Fatat, al-Firdaus, al-Hasna’, az-Zahrah, Fatat as-Syarq, Anis al-Jalis dan sebagainya.

Ada juga majalah yang diterbitkan mengenai wanita bukan muslim di Lubnan dan Turki. Tujuan majalah ini semuanya adalah sangat jelas iaitu menjauhkan wanita Muslimah dari nilai-nilai agamanya dan pendidikannya. Barat telah berjaya dalam merealisasikan tujuan ini sehingga ke tahap tertentu. Para pemerintah yang dilantik oleh Barat di negara-negara umat Islam mentaati pimpinan mereka dan menyumbang kepada kerosakan para pemuda-pemudi kaum muslimin, lalu mereka mewujudkan persatuan yang bercampur-aduk antara lelaki dan wanita termasuk di pejabat-pejabat kerajaan.

Sementara itu wanita Barat, situasi mereka pada zaman moden nampak secara zahirnya elok di hadapan orang yang tidak mengetahui hakikat hidup mereka sebenarnya. Zaman revolusi industri telah membawa mereka keluar dari rumah untuk bekerja, dan membebaskan diri dari penguasaan lelaki. Mereka menganggap bahawa ikatan asas bagi wanita dengan lelaki adalah keperluan materialnya kepada lelaki, lalu membolehkannya bekerja dan memperolehi pendapatan yang membolehkannya memutuskan ikatan dengan lelaki. Ini memberi peluang dan memudahkan mereka untuk melepaskan diri dari kehidupan berkeluarga dan dunia perkahwinan. Ini bersesuaian dengan ideologi Kapitalisme yang berdiri di atas empat asas kebebasan itu dan yang paling menonjol adalah kebebasan individu.

Wanita Barat telah diberikan kesempatan untuk menyertai lelaki dalam semua perkara dan mempunyai hubungan seksual tanpa ikatan mahupun batasan. Dalam BBC NEWS edisi internet pada 13/6/2002 telah dikeluarkan kajian bagi Majalah Top Sante yang dilakukan terhadap responden yang terdiri daripada 5 ribu wanita bekerja. Hasilnya 28% daripada mereka melakukan hubungan seksual dengan teman-teman lelaki mereka di tempat kerja dan ¾ responden terdedah kepada gangguan seksual oleh teman sekerja lelaki. Lima dari responden bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan ketua-ketua mereka di tempat kerja demi untuk merealisasikan impian mereka dalam jawatan. Natijah dari hubungan-hubungan seksual di luar rumahtangga, dan dari kesibukan wanita di tempat kerja untuk memperolehi sesuap nasi telah mendedahkan wanita kepada gejala pengguguran anak. Sebagai contoh, kes pengguguran anak di Amerika Syarikat dari tahun 1973 hingga 1998 Masehi telah mencatatkan lebih dari 38 juta kes.

Pandangan terhadap wanita telah menjadi pandangan manfaat seksual semata-mata. Wanita dan gambar-gambar telanjangnya telah muncul di kaca-kaca televisyen, iklan-iklan perniagaan, tempat-tempat membeli-belah dan tempat-tempat hiburan yang menawarkan hiburan yang diharamkan, arak, kelab-kelab perjudian dan rumah-rumah pelacuran. Ini membawa kepada munculnya banyak masalah sosial yang bahaya di Barat. Antaranya tersebarnya ibu-ibu tunggal tanpa nikah dan anak-anak luar nikah yang nisbah mereka di salah sebuah negara Barat berjumlah 50% daripada jumlah penduduk. Demikian juga menularnya penyakit kelamin yang bahaya yang terhasil dari perlakuan seks di luar institusi perkahwinan seperti: penyakit AIDS, Herpes, Gonorrhea dan sebagainya. Setiap gadis dan teruna mempunyai pasangan, demikian juga anak perempuan yang suci yang tinggal di rumah menjaga kesucian dan kegadisannya merupakan satu perkara yang jarang lagi berlaku. Tersebar dalam kalangan mereka pencabulan, tekanan dan keganasan keluarga serta sumbang mahram. Di sesetengah negara digubal undang-undang yang membenarkan seks luar tabii seperti liwat dan homoseksual dan perkahwinan sama jenis antara dua lelaki atau wanita diiktiraf. Ditambah pula dari semua itu isteri menjadi seperti suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga – ini jika ia memiliki keluarga- di luar rumah seperti menjamin nafkah dan menghantar anak-anak dan suami ke sekolah dan tempat-tempat kerja di samping tugasnya di dalam rumah. Maka adakah ini hak-hak dan syariat yang mereka serukan? Dan mereka mahu pasarkan di kalangan umat Islam?!

Bersama tersebarnya keruntuhan akhlak dan meluasnya hubungan seksual yang keliru berbanding hubungan yang benar antara lelaki dan wanita di Barat, telah muncul pula kesedaran kebangkitan di atas asas Islam dalam negara umat Islam. Seruan agar kembali kepada agama Islam serta beriltizam dengan hukum-hakamnya mula menggema dan menjadi fenomena umum di dunia Islam yang menyebabkan kemarahan Kuffar dan bertambahnya umat Islam. Lalu mereka kembali kepada gerakan mereka yang awal dahulu iaitu memperdaya Islam dengan dakwaan pembebasan wanita Muslimah dari ikatan mereka dan persamaan hak dengan lelaki. Amerika Syarikat mengetuai mereka menanam pemikiran ini dengan segenap kekuatan, kuasa dan cara-cara yang mereka miliki berupa cara yang menarik mahupun menakutkan. Mereka terbahagi kepada dua pihak, berpegang kepada dua arah yang terpecah tugas dalam memberi perhatian kepada hal-ehwal wanita Muslimah dan kedua-dua arah tersebut adalah: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai persatuannya dan Amerika Syarikat sendiri, sebagai pembawa panji sekular dan demokrasi.

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian 2)

Wanita Dalam Tamadun Cina
Dalam tamadun Cina, wanita digelar “Air penyakit yang mencuci dan menyapu masyarakat dari kebahagiaan dan harta”. Kaum lelaki menganggap wanita jahat dan digunakan hanya untuk melayan kehendaknya. Ia memperlakukan mereka menurut cara yang disukainya. Wanita, khususnya dari kasta tinggi hidup dalam keadaan hampir terpencil sama sekali. Mereka tiada hak untuk keluar daripada rumah atau untuk menerima kunjungan sesiapa bahkan untuk bergaul dengan orang lain. Terdapat rumah-rumah yang dikhususkan untuk wanita dan juga rumah-rumah untuk lelaki. Wanita diharamkan dari memperoleh harta pusakanya samada daripada suaminya atau daripada bapanya. Wanita hanya memiliki apa yang diberikan kepada mereka ketika berumahtangga.

Wanita Dalam Tamadun India
Dalam tamadun India pula, wanita dianggap malapetaka dan wabak kematian. Mereka dianggap lebih dahsyat daripada neraka, lebih berbisa daripada racun serta lebih berbahaya daripada ular. Para wanitanya suka berkahwin awal dan boleh untuk tidak mentaati walinya dan tidak patuh kepada perintah mereka jika telah menjangkau lebih tiga tahun dari usia balighnya dan belum lagi dikahwinkan. Oleh itu, walinya akan berusaha untuk mengahwinkannya pada masa dia berusia dua belas tahun atau kurang dari itu. Adakalanya mereka dikahwinkan seawal usia lapan tahun. Dalam hidupnya, suaminya memilikinya sama seperti memiliki harta, tiada pembelaan dan perlindungan untuknya, tidak juga berhak untuk persaksian. Lelaki berhak untuk menjadikannya taruhan dalam perjudian.

Lelaki boleh berkahwin lagi jika si isteri telah mati. Namun begitu, wanita tidak boleh berbuat demikian dan terus menjadi janda di sisa-sisa hidupnya. Mereka akan dipuji jika [mengamalkan adat ‘sati’] iaitu membakar dirinya dengan api untuk mengikuti suaminya yang telah mati sebagai menunjukkan kesetiaannya dan melarikan diri daripada kepayahan hidup. Adat ini masih berleluasa hingga beberapa kurun sehingga umat Islam menghapuskannya dan seterusnya [turut dihapuskan oleh] kaum penjajah Inggeris.

Wanita Dalam Tamadun Jepun
Dalam tamadun Jepun, mereka menganggap wanita sebagai kesenangan bagi lelaki. Wanita dipergunakan sekehendak hati mereka. Mereka boleh menjual isteri atau anak perempuan mereka. Antara amalan mereka juga, seorang lelaki yang memiliki wanita akan menyewakannya, iaitu wanita yang tidak bersuami atau seorang anak gadis dalam tempoh tertentu dengan individu tertentu. Anak perempuan sebelum dia bersuami dianggap sebagai milik bapanya, sementara jika sudah bersuami menjadi milik suaminya dan selepas suaminya mati mereka berada di bawah wasiat kerabat suami. Sebahagian undang-undang ini terus dipraktikkan sehingga akhir kurun ke sembilan belas Masehi.



Wanita Dalam Tamadun Antara Dua Sungai
Dalam tamadun antara dua sungai, para pemerintah dari kalangan Assyria dan Babilon tidak membenarkan ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka. Demikian pula, anak perempuan tidak boleh berkahwin sendiri. Hak ini diberikan kepada ahli nujum. Anak-anak gadis yang telah baligh dikumpulkan setiap tahun bersama ahli nujum. Mereka akan menjual gadis-gadis tersebut di pasar dengan secara lelong. Wali kepada gadis itu perlu membayar harga tertentu kepada si suami jika lelaki itu tidak menyukainya lagi. Anak gadis itu pula akan pergi kepada dewa kecantikan sekali dalam seumur hidupnya untuk menyerahkan dirinya kepada orang asing yang memilihnya untuk menggaulinya.

Wanita Dalam Tamadun Parsi
Dalam tamadun Parsi, orang-orang Parsi menganggap wanita sebagai pembantu kepada ahriman (syaitan). Dia melambangkan keburukan yang terjelma. Dia adalah milik lelaki. Lelaki boleh membunuhnya dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya jika dia mahu. Dia juga merupakan barangan yang boleh digunakan sesuka hati seperti menggunakan barang-barang miliknya yang lain. Dia tidak boleh belajar atau keluar daripada rumah. Dia hidup di dalam rumah dan ditutup seperti barang tertentu yang lain oleh si pemilik rumah.

Wanita Dalam Tamadun Turki Lama
Dalam tamadun Turki Lama (sebelum Islam), orang-orang Turki menganggap wanita itu sangat lemah. Mereka hanya digunakan untuk melampiaskan nafsu syahwat oleh para hartawan. Kaum wanita berkumpul secara individu atau berpuluh-puluh orang di rumah ketua atau pemimpin dan tinggal di sana supaya dapat dijadikan tempat untuk bersenang-senang. Pada siang harinya mereka pergi mengerjakan ladang-ladang dan bekerja di kebun-kebun. Sementara kedudukan ibu di sisi mereka adalah seseorang yang dihormati dan dilayan dengan baik (diberi khidmat).

Wanita Dalam Tamadun Firaun
Dalam tamadun Firaun di Mesir, lelaki berkahwin dengan adik-beradik atau anak gadisnya. Cemburu lelaki terhadap wanita sangat sedikit. Perkahwinan di kalangan mereka dibina atas asas keredhaan antara suami dan isteri semata. Wanita ada hak mensyaratkan talak untuk dirinya samada secara sendiri atau secara bersama-sama iaitu antara dia dan suaminya. Barangkali dia mensyaratkan atas suaminya agar harta milik suaminya hanya diberikan kepada anak-anaknya sahaja dan tidak kepada anak-anak daripada isteri-isteri yang lain. Wanita tidak boleh mengelolakan harta melainkan dengan izin suami. Semuanya adalah untuk suami. Kaum wanita tidak boleh memiliki kerana lelaki adalah sumber kekayaan dan pemilik utamanya. Kedudukannya lebih rendah daripada lelaki meskipun dia berhak, bahkan dia juga tidak berhak untuk duduk di atas singgahsana melainkan jika lelaki telah pupus daripada keluarga pemerintah. Hal seperti ini jelas berlaku ketika pemerintahan Yunani di Mesir. Hanya wanita Mesir di beberapa zaman menikmati hak-hak yang sama seperti lelaki. Dia menyertai lelaki di tempat-tempat peribadatan dan institusi pemerintahan. Ratu Cleopatra telah masyhur dengan perkara itu dalam sejarah.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Yahudi
Dalam kalangan kaum Yahudi yang telah menyelewengkan agama mereka, ditemukan beberapa hukum yang pelik dalam kitab Taurat yang telah diubah. Antara hukum tersebut adalah menganggap wanita yang sedang haid sebagai najis, tidak boleh disentuh dan tidak boleh tidur di katil bersamanya, tidak boleh sembahyang dan tidak boleh memasuki tempat ibadat serta tidak boleh makan makanan yang dimasaknya. Oleh yang demikian, lelaki Yahudi akan menjauhinya dan memusuhinya seumpama dia adalah kekotoran hasil daripada perbuatan syaitan. Mereka dizalimi, dipaksa menurut perintah lelaki. Mereka juga bertanggungjawab atas kesalahan lelaki sebagaimana anggapan mereka bahawa Hawa bertanggungjawab di atas kesalahan Adam dan menyebabkannya keluar dari syurga kerana telah memakan daripada pokok yang diharamkan. Setelah itu, tanggungjawab memikul beban kesalahan tersebut berpindah kepada para wanita. Dalam salah satu protokol mereka disebutkan di bawah lisan wanita : ”Inilah aku dengan dosa aku digambarkan dan dengan kesalahan aku bawaan dari ibuku”. Yahudi tidak mewariskan harta kepada wanita. Hak-haknya dalam perkahwinan juga tidak dijaga. Lelaki berkahwin dengan wanita tanpa mengira jumlahnya dan menceraikan mereka hanya kerana sebab-sebab yang remeh. Mereka dianggap antara barisan perhiasan rumah yang dimanfaatkan oleh lelaki bila mana dia suka dan akan melemparkannya apabila dia tidak suka. Jika seorang wanita diceraikan, dia akan berkahwin lagi setelah itu. Kemudian diceraikan sekali lagi maka lelaki itu tidak boleh merujuknya semula. Jika dia melakukan hal demikian maka anak-anaknya adalah anak zina. Jika si lelaki mati, tempat tersebut wajib digantikan oleh abangnya.

Wanita Dalam Kalangan Kaum Nasrani
Kaum Nasrani telah menyelewengkan agama mereka. Banyak syariat mereka diambil daripada kitab Taurat yang telah diselewengkan. Pada hakikatnya Taurat adalah perkhabaran daripada pendeta Yahudi dan paderi Nasrani. Oleh itu, dalam Injil tidak ditemukan persoalan mengenai wanita melainkan sedikit sekali. Meskipun sedikit, ia sesungguhnya tunduk kepada pentafsiran para paderi dan agamawan mereka. Disebutkan dalam peringatan oleh Isa al-Masih alaihissalam, menurut kata mereka, “Kamu telah mendengar bahawa dikatakan kepada orang terdahulu, jangan berzina dan adapun aku maka aku katakan kepada kamu bahawa semua yang melihat kepada wanita untuk menikmatinya maka dia telah berzina dengannya dalam hati. Dan dikatakan bahawa sesiapa yang menceraikan isterinya hendaklah memberikan buku cerai. Dan adapun aku, aku nyatakan kepada kamu sesiapa yang menceraikan isterinya melainkan dengan sebab zina ia menjadikannya berzina, barangsiapa yang mengahwini orang yang diceraikan maka sesungguhnya dia berzina”. Sebahagian lelaki Nasrani telah bersikap melampau selepas masa Sayidina Isa alaihissalam. Mereka terlalu berburuk sangka terhadap wanita contohnya ketika mereka meragukan kemanusiaannya. Hinggakan dalam perkumpulan di gereja mereka tertanya-tanya samada jika wanita tidak mempunyai ruh seperti ruh lelaki dan persoalan mengenai jika perlu meletakkan kedudukannya adakah di antara binatang buas atau antara makhluk berfikir. Sebahagian paderi besar dalam pertemuan Bacon telah menegaskan bahawa "Kaum wanita tidak terikat dan terkait dengan jenis manusia”, sepertimana dinyatakan dalam pertemuan yang diadakan di Rom pada tahun 582 Masehi. Para gerejawannya memperakukan bahawasanya “Wanita adalah makhluk yang tidak berjiwa, oleh itu, dengan sebab ini ia tidak mewarisi Firdaus, dan tidak sekali-kali akan masuk ke kerajaan langit dan ia adalah kekotoran yang terhasil daripada perbuatan syaitan. Ia tidak boleh bercakap, ketawa dan makan daging. Matlamat waktunya hendaklah dihabiskan untuk berkhidmat kepada lelaki tuannya dan untuk beribadat kepada tuhannya.”

Dalam kurun pertengahan, di bawah naungan kekuasaan gereja, mereka memandang wanita sebagai barang milik lelaki, boleh digunakan sesuka hati. Dia adalah milik bapanya, kemudian suaminya dan kemudian anaknya yang semuanya mengurusinya sama seperti mengurus haiwan, barang atau dagangan mereka. Adat yang mendominasi di Eropah sangat kejam. Mereka memandang seksual sebagai kotor dan keji. Lelaki yang baik dan bersih tidak menginginkannya. Mereka menghina sesiapa yang memberi perhatian mendalam atau membincangkan tentangnya kerana hal itu tidak sesuai bagi orang yang mahu membersih dan meninggikan diri daripada kerendahan. Wanita tidak lain adalah tempat untuk anak-anak yang dilahirkan dan dididik untuk meneruskan generasi. Dia adalah syaitan dengan rupa manusia, diragui kemanusiaannya kerana salah seorang anggota dewan gereja di Rom memperakukan bahawa “Wanita tanpa ruh dan tidak kekal tetapi diwajibkan beribadat dan dimestikan untuk berkhidmat dan mulutnya ditutup seperti unta”. Mereka juga sangat berburuk sangka terhadap akhlak wanita. Pada zaman tersebut telah maklum dengan pemakaian cawat besi yang dibentuk pada tali pinggang yang dipakai oleh wanita di sekeliling pinggangnya sementara para suami menjaga kunci-kuncinya.

Wanita Dalam Kalangan Arab Jahiliyyah
Dalam kalangan kaum Arab pada zaman Jahiliyyah, wanita lebih rendah kedudukannya dari lelaki. Mereka dipandang rendah. Lelaki Arab meskipun mereka menunggang kuda dan menjaga kabilah dan harta benda namun penghinaannya kepada wanita sampai kepada tahap menanam hidup-hidup anak perempuannya, iaitu menanamnya dalam tanah hidup-hidup samada kerana takut malu, miskin atau celaan. Al-Qur’an al-Karim telah memberi amaran mengenai hal tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh.” [TMQ At-Takwir: 8-9]. Orang Arab berasa sedih dan berputus asa serta marah jika diberitahu mengenai kelahiran anak perempuan seperti yang diterangkan dalam al-Qur’an dengan firman Allah Subhanahu wa Taala: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.“ [TMQ An-Nahl: 58-59].

Wanita tiada hak untuk mewarisi samada dia adalah ibu, adik-beradik perempuan, isteri, anak perempuan dan sebagainya. Dia juga tiada hak untuk memperoleh pendapatan atau mengelolakan harta miliknya. Dari Umar bin al-Khattab radiallahu anhu. katanya: “Kami pada zaman Jahiliyyah tidak menilai apa pun terhadap wanita, ketika Islam datang dan Allah menyebut tentang mereka, kami melihat bagi mereka ada hak ke atas kami.” [Riwayat Bukhari].
Dan dari Ibn Abbas telah berkata: “Dulu (Arab Jahiliyyah) jika telah mati seorang lelaki, wali-walinya lebih berhak kepada balunya, jika mereka menyukai, akan dikahwini, atau jika tidak, dikahwinkannya (untuk mendapatkan maharnya) dan jika mereka suka, mereka juga tidak akan mengahwinkannya. Mereka lebih berhak terhadapnya daripada keluarganya." Maka turunlah surah an-Nisa’:19 : “Wahai orang-orang yang beriman tidak halal bagi kamu untuk mewarisi wanita secara paksa” [Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Nasa’i].

Dalam kehidupan berkeluarga, si isteri kebiasaannya ditindas, lelaki mengamalkan poligami yang tidak dibataskan dengan jumlah tertentu, talak merupakan satu cara untuk menekan wanita dan melenyapkan harta mereka. Nafsu syahwat dan ingin berseronok merupakan pendorong untuk berkahwin tanpa ada niat untuk membina keluarga. Talak mengikut acuan lelaki. Mereka tidak memelihara kemaslahatan si isteri. Ila’ dan zihar juga merupakan cara untuk menekan dan menyakiti wanita yang berkahwin.

Pernikahan (dalam kalangan Arab) disempurnakan dengan beberapa cara yang masyhur. Antaranya:

Pernikahan manusia: seorang lelaki melamar anak perempuan seorang lelaki atau tanggungannya dan diberi mahar (iaitu ditunaikan maharnya) kemudian dikahwininya.

Pernikahan secara permanian beradas: dalam perkahwinan ini, seorang lelaki akan berkata kepada wanitanya jika dia telah bersih dari haidnya: Utuslah kepada si fulan lalu ambillah sperma darinya. Dia akan dipencilkan hingga jelas kandungannya. Jika telah jelas, wanita tersebut dikahwini sekiranya dia suka dan hal itu dilakukan semata-mata menginginkan kelahiran anak tersebut.

Pernikahan yang lain: sekumpulan lelaki yang berjumlah kurang dari sepuluh orang berkumpul untuk menyetubuhi seorang wanita. Jika ia mengandung dan melahirkan dan telah berlalu beberapa malam diutuskan wanita itu kepada mereka. Tiada seorang lelaki pun boleh menolak hingga mereka berkumpul bersamanya dan kepada mereka dikatakan, kamu telah mengetahui apa yang kamu lakukan dan aku telah melahirkan. Inilah anakmu wahai si fulan. Dia memanggil nama orang yang dia sukai lalu anak tersebut diserahkan kepadanya sedangkan lelaki tersebut tidak boleh menolaknya.

Pernikahan keempat: ramai lelaki berkumpul dan menyetubuhi seorang wanita. Wanita itu tidak boleh menghalang siapa yang datang kepadanya, mereka ini para pelacur. Pada pintu-pintu rumah mereka dipacakkan seumpama bendera. Sesiapa yang menginginkan mereka akan menyetubuhinya dan jika salah seorang mengandung dan melahirkan anak, mereka berkumpul dan memanggil tukang tenung (tukang tilik), dan mereka akan menyerahkan anaknya kepada orang yang dilihat sebagai bapanya. Lalu anak itu ditemui dan dipanggil tanpa dapat menolaknya.

Demikian juga di sana terdapat bermacam-macam lagi pernikahan lain yang sangat sedikit dipraktikkan seperti: pernikahan tukaran dan pernikahan yang membabitkan amalan saling bertukar pasangan antara suami isteri tanpa talak dan melakukan akad yang baru dan sebagainya.

Pada zaman Jahiliyyah, jika suami kepada seseorang wanita meninggal dunia, dia akan mengurung dirinya selama setahun penuh tanpa memakai pakaian baru atau mandi dan berwangi-wangian. Dia juga tidak menawarkan diri untuk berkahwin atau ditawarkan untuk dikahwini oleh orang lain. Waris si suami tidak berasa perlu bertanggungjawab untuk memberikan tempat tinggal, makanan selama tempoh berkabung tersebut.

Orang Arab pada zaman Jahiliyyah meninggikan jumlah mahar dan syarat sekufu. Seorang merdeka tidak boleh mengahwini hamba sahaya. Wanita yang bernasab tinggi pula tidak berkahwin dengan orang yang lebih rendah nasabnya yang menyebabkan terdapatnya ramai andartu dalam kalangan orang Arab.

Inilah keadaan wanita pada zaman Jahiliyyah pada umumnya. Cuma terdapat riwayat yang banyak jumlahnya serta benar yang menjelaskan tingginya kedudukan sesetengah wanita. Tiadalah nama-nama seperti Khadijah binti Khuwalid, anak-anak perempuan Hatim at-Tha’i, Jalilah Binti Murrah, Hindun Binti Atabah dan al-Khansa’ melainkan contoh-contoh wanita yang mulia. Namun contoh tersebut sangat sedikit berbanding jumlah seluruh wanita Arab.

Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah (Bahagian1)

Muqaddimah
Wanita Muslimah telah menjadi subjek propaganda yang dilakukan dengan hebatnya oleh negara-negara Kapitalis Barat. Mereka bermaksud hendak mengeluarkan wanita Muslimah ini dari cara hidup mereka yang murni dan hubungan suci di antara mereka agar menjadi barang dagangan dan objek untuk melampiaskan nafsu syahwat semata-mata. Propaganda ini telah bermula sejak awal ia dilancarkan ke atas umat, tetapi langkah dan gayanya kian bertambah akhir-akhir ini terutamanya selepas peristiwa 11/9. Bagaimanakah pandangan dunia terhadap wanita pada masa sebelum Islam dan pada zaman moden? Apakah rancangan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam masalah ini….Inilah yang akan kami perjelaskan insyaAllah Ta’ala.

Sejak Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam dengan risalah Islam kepada seluruh manusia, bermulalah pertentangan antara kaum Muslim dan kafir. Ia berterusan dalam pelbagai bidang dan dalam semua tingkat kehidupan. Orang kafir sentiasa melemparkan tuduhan berbahaya dan pembohongan keji kepada Islam. Namun agama ini dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga melalui tangan-tangan kaum Muslimin yang ikhlas dan sedar tetap jua menang dan mengatasi sebahagian besar agama-agama yang lain sejak beberapa kurun lamanya.

Dalam kurun ke-19 masehi, ketika keupayaan berfikir umat mulai lemah dan tahap kemunduran mereka mencecah tahap yang tidak selayaknya, serangan kafir terhadap Islam mulai gencar. Sumbernya adalah Kapitalis Eropah. Api konflik secara ketenteraan, politik dan pemikiran antara umat Islam dan kuffar mula menyala sehingga lah Daulah Khilafah diruntuhkan pada tahun 1924 masehi. Para kapitalis telah memperoleh kemenangan dari segi politik dan ketenteraan ke atas kaum Muslim. Penentangan terhadap pemikiran umat tetap mereka teruskan. Idea-idea Islam dan hukum-hakamnya diserang; jihad, hukum uqubat dan hudud, hukum sistem sosial dalam Islam “pada hari ini mereka menamakannya sebagai urusan individu” termasuk isu poligami, talak, warisan, pakaian serta hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan wanita. Mereka menyeru kepada percampuran antara lelaki dan wanita. Dek kerana kelemahan dari sudut politik dan rendahnya tahap berfikir mereka, mereka telah membahagikan kepada tiga bahagian dalam rangka menjawab tuduhan-tuduhan tersebut. Pertama, mereka yang menolak serangan ini dan bersenjatakan idea Islam. Mereka ini bilangannya sedikit. Kedua, mereka yang redha Islam menjadi pihak tertuduh lalu mempertahankan Islam dengan cara yang salah. Mereka amat memberikan perhatian terhadap usaha penyesuaian Islam dengan hadharah kapitalis. Ketiga, mereka yang merasa cukup dan berpuashati dengan seruan hadharah Barat yang rosak itu lalu menyeru agar mengambilnya dan membuang hukum Islam dengan alasan bahawa ia tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang dan peranannya telah pun berakhir.

Selepas Tentera Salib Barat musuh pertama bagi Islam dapat melenyapkan Daulah Khilafah pada awal kurun yang lalu, negeri-negeri kaum Muslimin telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa negara kecil yang miskin. Di setiap negeri tersebut dilantik pemerintah yang bersekutu dengan umat secara nama sahaja. Sedangkan kepada umat diterapkan hukum-hukum kufur dalam segenap aspek kehidupan sehingga kaum kuffar dan boneka-bonekanya berani menikam setiap bahagian agama ini dan bahkan dalam kebanyakan perkara agama yang telah diterima pakai oleh umat ini.

Pertembungan budaya kapitalis yang menyerbu secara tiba-tiba ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan berlaku pula kekusutan dalam memahami dalil-dalil syarak dan berlaku penyimpangan. Sepatutnya mereka menghadkan pengambilan madaniyyah Barat sebatas bentuk-bentuk materinya sahaja, yang sebenarnya boleh sahaja untuk diambil dengan menganggapnya sebagai wasilah dan uslub yang diharuskan. Sebaliknya mereka mula menyeru agar mengambil hadharah Barat serta konsep-konsepnya seperti sistem demokrasi yang sangat bertentangan dengan hadharah Islam serta konsep-konsep Islam itu sendiri.

Semuanya itu disebabkan mereka telah tertawan dengan madaniyyah Barat. Ia juga disebabkan oleh kepimpinan berfikir dan politik hasil didikan Barat dan disusup masuk dalam barisan kaum Muslimin. Ia dipakaikan dengan pakaian ilmu syarak dengan alasan perbaikan (islah) terhadap umat yang teruk dan mundur ini. Antara yang mereka serukan adalah memberikan hak-hak dan persamaan dengan kaum lelaki kepada kaum wanita seolah-olah dalam Islam wanita tidak mempunyai hak dan berada pada tahap dan keadaan yang lebih rendah dari lelaki.

Mereka mahu wanita Muslimah menjadi seperti wanita Barat yang keluar dari rumahnya dan menjadi sebahagian daripada barang yang bermanfaat dalam hadharah mereka. Mereka ini hanya dilihat sebagai barang dagangan atau tempat untuk melampiaskan hawa nafsu. Jika keadaan kaum wanita mereka adalah seperti ini, yang menjadi tidak berkeluarga dan tidak mempunyai sebarang hak yang sesuai, maka bagaimana pula keadaan wanita Muslimah dalam hal demikian. Khususnya bahawa Islam telah menempatkannya pada posisi yang sesuai untuknya?! Adakah benar bahawa wanita Muslimah dizalimi seperti yang mereka dakwa?

Adakah juga benar mereka tidak mempunyai hak hingga datang musuh umat dan agama ini meminta supaya mereka ini diberikan hak yang telah dirampas, untuk menyamakannya dengan wanita di Barat seperti yang mereka tuduh itu?! Dan adakah benar bahawa wanita di Barat menikmati hak yang terbaik?! Ataupun ada udang di sebalik batu?! Mereka ini sebenarnya mahu keluarga Muslim dihancurkan yang mereka tahu ia tidak akan terjadi melainkan dengan merosakkan wanita Muslimah, tiang asasnya terlebih dahulu.

Di bawah seruan-seruan yang keji dan penuh tipu daya ini, kafir Barat berusaha memusuhi umat untuk meruntuh dan membinasakan aspek sosial kaum Muslimin dengan segenap kekuatan. Perkara tersebut mereka usahakan selepas menghancurkan Daulah Khilafah dan memecah-belahkan negeri-negeri mereka dan menjadikan mereka berada di bawah bangsa yang lain.

Inilah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Di tambah pula propaganda ketenteraan yang diketuai oleh Amerika sehingga kepada propaganda pemikiran kapitalis, antaranya kempen menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki, lebih jauh lagi persamaannya dengan wanita di Barat. Adakah benar ada isu wanita Muslimah yang tidak dapat diselesaikan oleh Islam?! Mengapakah semua isu yang diperbesarkan ini berkisar tentang wanita Muslimah?! Mengapa isu ini dijadikan bentuk rasmi dalam pertubuhan negara-negara Islam yang diambil pula oleh pihak sistem pemerintah. Media-media massa rasmi memperkatakannya pagi dan petang dan kemudiannya seminar-seminar pun diadakan untuk membincangkan isu tersebut di samping dana-dana pun dibelanjakan untuknya. Sesungguhnya keraguan terhadap aqidah Islam dan hukum-hakam syarak yang terpancar daripadanya merupakan satu cara perang yang diumumkan terhadap Islam. Barat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menanggalkan umat ini dari agamanya secara pemikiran dan aqidah selepas pengikut-pengikutnya daripada kalangan para pemerintah Islam sendiri dan yang seumpamanya tidak mampu melakukan hal tersebut.

Topik ini tidak meliputi semua jenis serangan pemikiran Barat. Ia dibataskan hanya kepada apa yang dikehendaki terhadap wanita Muslimah khususnya seruan dusta mereka mengenai persamaan hak. Ia merupakan seruan bias yang menginginkan agar wanita Muslimah keluar dari rumahnya dengan alasan persamaan hak itu tadi. Supaya wanita tersebut menjadi seperti wanita Barat yang menjadi barang dagangan murahan yang dimanfaatkan.

Mereka bermaksud mempengaruhi kehidupan bermasyarakat umat Islam demi merobohkan struktur kekeluargaan yang masih tinggal pada mereka, dan mengisytiharkan kemenangan sempurna mereka.Barat telah menyedari dengan yakin bahawa ia tidak akan dapat dikalahkan dalam kehidupan dan pertentangan ini melainkan oleh umat Islam dan kaum Muslimin kerana tidak terdapat dalam dunia ini suatu umat yang memiliki pilar-pilar kebangkitan berupa pemikiran yang lengkap mengenai seluruh aspek kehidupan seperti yang dimiliki oleh umat Islam.

Sesungguhnya umat ini, dengan Islam, bukan sahaja layak untuk berhadapan dengan pemikiran-pemikiran kapitalis Barat, bahkan ia juga layak untuk mengalahkan mereka dan mencabut mereka daripada akar-akarnya daripada setiap penjuru dunia.

Sementara isu mengenai hak-hak kaum wanita dan persamaannya dengan kaum lelaki serta seminar-seminar yang telah dan sedang diadakan untuk tujuan tersebut tidak lain adalah sebahagian dari peperangan yang diumumkan terhadap Islam. Mereka tidak menujukannya kepada wanita Muslimah semata bahkan terhadap Islam dan kaum Muslimin juga. Hanya perasaan kebangkitan yang mula merayap dalam diri umat ini dan perasaan untuk segera kembali kepada pemikiran Islam yang benar, diambil dan didakwahkan akan menolak tipu daya mereka kembali kepada mereka semula dan segala rancangan mereka akan rosak. Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ اللّهِ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan.” (TQS: Al-Anfaal:36).

Wanita Dalam Dunia Sebelum Islam
Manusia secara semulajadinya adalah makhluk yang hidup secara bermasyarakat, iaitu bersosial. Ia tidak suka hidup sendiri dan melakukan kerja-kerja mereka seorang diri. Ia suka untuk hidup dalam sebuah masyarakat atau dalam satu kelompok. Sunatullah Ta’ala telah menentukan bahawa mereka ini terdiri daripada lelaki dan wanita. Setiap daripada mereka cenderung secara fitrahnya kepada jenis yang lain untuk memelihara kelestarian jenis manusia. Melalui percampuran antara lelaki dan wanita timbullah beberapa perkara dan permasalahan umpamanya: institusi keluarga, penyusuan, penjagaan anak, wasiat, wali, talak, hak-hak seorang bapa dan anak dan sebagainya.

Sejak Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan manusia dan diturunkannya ke muka bumi, diwakilkan untuk mengimarahkan bumi ini, hiduplah masyarakat manusia di tempat-tempat yang berbeza di atas dunia ini. Mereka mendirikan tamadun masing-masing. Tamadun ini dikenali dengan nama-nama tempat dan negara yang ada kerana ia bukanlah tamadun berdasarkan ideologi. Di negeri sebelah Timur wujud tamadun Cina, India, Farsi, Jepun, Turki dan Arab (sebelum Islam). Di sebelah Barat pula muncul beberapa tamadun yang lain dan antara yang penting adalah tamadun Yunani dan Rom. Demikian juga lahir tamadun antara dua sungai; di Mesir wujud dua jenis tamadun yang dikenali sebagai tamadun antara dua sungai dan tamadun lembah Nil.

Berdasarkan perbezaan tamadun ini maka berbeza pula lah pandangan mereka terhadap wanita. Begitu juga kedudukan wanita di sisi mereka saling berbeza. Hal ini juga terjadi kepada cara pergaulan mereka dengan wanita dari satu tamadun ke tamadun yang lain dan dari satu masyarakat kepada masyarakat yang lain. Cuma, secara umumnya wanita tidak memperolehi pemeliharaan yang sesuai selain tidak memperolehi hak-hak melainkan sedikit sekali. Kebanyakan mereka memandang rendah pada wanita.

Wanita Dalam Tamadun Yunani
Dalam tamadun Yunani, pemikiran yang mendominasi tentang wanita dalam masyarakat Yunani adalah mereka itu rendah dan akal mereka cetek, dikuasai oleh emosi dan syahwat. Aristotle telah menggelar wanita sebagai “unsur tidak berakal dalam jiwa kemanusiaan.” Ia melihat bahawa wanita wajib tunduk kepada lelaki yang memiliki unsur akal. Wanita merupakan bahagian negatif dalam kehidupan lalu dia mesti mendengar dan taat kepada lelaki. Mereka berada pada martabat pertengahan antara lelaki Yunani merdeka dan hamba yang dibebaskan. Mereka tidak dibenarkan untuk memilih calon suami ketika telah sampai usia untuk berkahwin. Keluarganya lah yang akan memaksanya untuk berkahwin dengan sesiapa yang mereka kehendaki. Mereka hidup tersingkir dari medan politik dan pemerintahan. Siapa lah mereka di sisi lelaki Athens melainkan ketua khadam dan tempat untuk melahirkan anak serta wasilah untuk merealisasikan kenikmatan dan juga kebahagiaan bagi lelaki.

Wanita Dalam Tamadun Rom
Dalam tamadun Rom, wanita dianggap sebagai orang yang kurang akalnya. Mereka tiada keahlian untuk memiliki harta atau melakukan akad atau tugas pewasiatan atau melaksanakan kesaksian atau pun memegang jawatan. Undang-undang Rom menukilkan perkara tersebut. Kewanitaan bagi mereka bermaksud tiadanya kelayakan. Menurut undang-undang, amanat wasiat untuk kaum wanita dalam pandangan tamadun ini adalah untuk kaum kerabatnya dari kalangan adik-beradik kemudian kepada anggota keluarganya. Kaum lelaki sahaja yang memiliki hak kekuasaan serta hak mengelola wanita yang dimilikinya. Dia boleh menjual wanita yang berada dalam rumah mereka, menyiksa atau bahkan membunuh mereka.