Showing posts with label MyKhilafah. Show all posts
Showing posts with label MyKhilafah. Show all posts

Thursday, October 15, 2009

HUKUM KONGSI RAYA

SN Keluaran 16 Oktober 2009
alt
HUKUM KONGSIRAYA

[SN190]
Aura ‘Idulfitri masih lagi dapat dirasakan dalam bulan Syawal 1430H ini. Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia di mana ‘rumah terbuka’ menjadi salah satu acara yang mewarnai kemeriahan Syawal, dari awal bulan sampailah ke penghujungnya. Apa yang menjadikan Syawal ‘luar biasa’ di Malaysia ini adalah fenomena yang muncul semenjak terjadinya tarikh perayaan serentak tiga kaum yang terbesar di negara ini. Akibat tindakan sang pemimpin, maka muncullah konsep kongsiraya yang tak pernah dikenal oleh umat Islam sebelum ini. Istilah gongxiraya dan deeparaya menjadi buah tutur masyarakat. Konsep ‘rumah terbuka Malaysia’ diperkenalkan secara besar-besaran di mana setiap kaum diseru meraikan perayaan bersama-sama.

Hasilnya, segelintir umat Islam mula menyambut dan meraikan perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi bersama-sama. Kemalasan dan kejahilan umat Islam di dalam mengkaji dan memahami hukum syarak telah menyaksikan saban tahun mereka bercampur dengan golongan kuffar dalam meraikan kongsiraya. Toleransi dan perpaduan menjadi alasan utama golongan ini bagi menjustifikasikan perbuatan mereka. Sang pemerintah pula tidak habis-habis mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa sahaja dari umat Islam yang ‘menentang’ amalan kongsiraya ini, maka mereka akan termasuk ke dalam golongan ‘ekstremis agama’. Ternyata, fatwa hebat ini telah berjaya menakutkan sesetengah golongan rakyat manakala sesetengah golongan lagi menelannya bulat-bulat.
Keadaan semakin parah dan bertambah celaru apabila ada sejumlah ’ulama’ atau ’tokoh Islam’ yang turut terlibat di dalamnya, malah mereka ‘mensahkan’ sambutan kongsiraya tersebut dengan pelbagai dalil dan dalih yang telah disimpang-siurkan sedemikian rupa. Kebelakangan ini, parti politik Islam pun tidak terkecuali mengadakan majlis terbuka bagi meraikan perayaan tiga kaum/agama ini serentak, walhal dulu mereka menentang amalan ini habis-habisan kerana bertentangan dengan hukum syarak. Natijah dari semua ini, walaupun tarikh raya tiga kaum di Malaysia kini sudah tidak lagi sama, namun konsep ‘kongsiraya’ masih tetap di amalkan kerana kejahilan yang masih membelit umat Islam. Yang lebih memualkan, ia di adakan bukan atas dasar kejahilan, namun untuk meraih maslahat politik (political milage) tertentu darinya. Halal dan haram sudah dicampak ke tepi oleh mereka dan maslahat politik telah menjadi satu-satunya tolok ukur. Nampaknya gagasan liberalisme dan pluralisme di bawah konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri telah berjaya merasuk pemimpin parti Islam. Sautun Nahdhah kali ini akan mengungkap kepincangan dalam persepsi dan penerimaan kaum Muslimin terhadap perayaan dan upacara keagamaan kaum kuffar serta memberikan pandangan Islam dalam permasalahan ini. Semoga hidayah Allah tercurah ke atas mereka yang ingin kembali ke jalan yang benar.

Hukum Meraikan Perayaan Kufur

Pada dasarnya, Islam telah melarang kaum Muslimin melibatkan diri di dalam perayaan orang-orang kafir, apa pun bentuknya. Melibatkan diri di sini mencakupi aktiviti mengucapkan selamat, hadir ke rumah mereka, hadir di majlis-majlis terbuka anjuran mereka, menganjurkan perayaan untuk mereka (ini lebih buruk), hadir di jalan-jalan untuk menyaksikan atau melihat perayaan orang kafir, mengirim kad selamat, memberikan hadiah kepada mereka dan sebagainya. Maksud ‘perayaan’ orang kafir di sini mencakup seluruh perayaan hari raya, perayaan hari suci mereka dan semua hal yang berkaitan dengan hari yang disambut oleh orang-orang kafir yang ada hubung kait dengan akidah dan kepercayaan mereka, baik kafir musyrik mahupun kafir ahlul kitab. Ketentuan ini didasarkan pada firman Allah SWT,

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri (la yash-haduna) tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang (al-zur), dan apabila mereka melewati (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya” [TMQ al-Furqan (25):72].

Menurut sebahagian besar Mufassirin, kata al-zur (kepalsuan) dalam ayat ini adalah bermakna syirik [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Beberapa Mufassirin seperti Abu ‘Aliyah, Thawus, Muhammad bin Sirrin, al-Dhahhak dan al-Rabi’ bin Anas menjelaskan makna al-zur di sini adalah hari raya kaum Musyrikin. Lebih luas, Amru bin Qays mentafsirkannya sebagai majlis-majlis yang buruk dan kotor [Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346]. Sedangkan kata la yash-haduna, menurut jumhur ulama bermakna la yahdhuruna al-zur, maksudnya ‘tidak menghadirinya’ [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Memang ada yang memahami ayat ini berhubung dengan pemberian kesaksian palsu (syahadah al-zur) yang di dalam Hadis Sahih dikategorikan sebagai dosa besar. Akan tetapi, dari konteks kalimatnya, makna yang lebih tepat adalah la yahdhurunahu (tidak menghadirinya). Ini kerana, dalam sambungan ayat seterusnya disebutkan,

“...dan apabila mereka melewati (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya”.

Dengan demikian, keseluruhan ayat ini memberikan pengertian bahawa ‘mereka tidak menghadiri al-zur.’ Dan jika mereka melewatinya, maka mereka segera melepasinya, dan tidak mahu terpalit kekotorannya sedikit pun [Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346]. Dari ayat ini, ramai fuqaha’ yang menyatakan haramnya menghadiri perayaan/hari raya kaum kafir. Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Kaum Muslimin telah diharamkan untuk merayakan hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani.” Imam al-Amidi dan Qadhi Abu Bakar al-Khalal menyatakan, “Kaum Muslimin dilarang keluar untuk menyaksikan hari raya orang-orang kafir dan musyrik.”. Al-Qadhi Abu Ya’la al-Fara’ berkata, “Kaum Muslimin telah dilarang untuk merayakan hari raya orang-orang kafir atau musyrik”. [Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Sirath al-Mustaqim, hal. 201].

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, “Sebagaimana mereka (kaum Musyrikin) tidak diperbolehkan menampakkan syiar-syiar mereka, maka tidak diperbolehkan pula bagi kaum Muslimin menyetujui dan membantu mereka menzahirkan syiar itu serta hadir bersama mereka. Demikian menurut kesepakatan ahli ilmu.” Abu al-Qasim al-Thabari mengatakan, “Tidak diperbolehkan bagi kaum Muslimin menghadiri hari raya mereka karena mereka berada dalam kemungkaran dan kedustaan (zawr). Apabila ahli ma’ruf bercampur dengan ahli mungkar, tanpa mengingkari mereka, maka ahli ma’ruf itu adalah sebagaimana halnya orang yang meredhai dan terpengaruh dengan kemungkaran itu. Maka kita takut akan turunnya murka Allah atas jamaah mereka, yang meliputi secara umum. Kita berlindung kepada Allah dari murkaNya”. [Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235].

Abdul Malik bin Habib, salah seorang ulama Malikiyyah menyatakan, “Mereka tidak (boleh) dibantu sedikit pun pada hari perayaan mereka. Sebab, tindakan tersebut merupakan penghormatan terhadap kemusyrikan mereka dan membantu kekufuran mereka. Dan seharusnya para penguasa melarang kaum Muslimin melakukan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat Imam Malik dan lainnya. Dan aku tidak mengetahui perselisihan tentang hal itu” [Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, juz 6 hal 110].

Pada masa-masa pemerintahan Islam, sejak zaman Rasulullah SAW, kaum Muslimin diharamkan merayakan perayaan Ahlul Kitab dan kaum musyrik. Dari Anas ra bahawa ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, penduduk di sana menyambut perayaan (Mahrajan dan Nairuz) sepertimana kebiasaan kaum Rom dan Parsi. Nabi SAW bertanya:

"Apakah dua hari ini?’ Mereka menjawab: ‘Adalah kami di zaman Jahiliyah bermain (berseronok) dalam dua hari ini.’ Sabda Nabi, ‘Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik dari dua hari tersebut iaitu hari raya al-Adha dan Hari raya al-Fitr."
[ HR Ahmad, Abu Daud, An-Nasa'i dan Al-Baghawi].

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khaththab, beliau juga telah melarang kaum Muslimin merayakan hari raya orang-orang kafir. Imam Baihaqi telah menuturkan sebuah riwayat dengan sanad sahih dari Atha’ bin Dinar, bahawa Umar ra pernah berkata,

“Janganlah kalian memasuki kaum Musyrik di gereja-gereja pada hari raya mereka. Sesungguhnya murka Allah SWT akan turun kepada mereka pada hari itu.”

Umar bin al-Khaththtab ra juga mengatakan,

“Jauhilah musuh-musuh Allah pada di hari raya mereka.”

Demikianlah, Islam telah melarang umatnya melibatkan diri di dalam perayaan orang-orang kafir, apa sekalipun bentuknya. Ditegaskan sekali di sini bahawa melibatkan diri bermaksud melakukan apa jua aktiviti seperti mengucapkan selamat, hadir ke rumah mereka, hadir di majlis-majlis terbuka anjuran mereka, menganjurkan perayaan untuk mereka (ini lebih buruk), memberikan hadiah kepada mereka dan sebagainya. Dan ‘perayaan’ orang kafir di sini bermaksud seluruh hari raya, perayaan hari suci mereka dan semua hal yang berkaitan dengan hari yang disambut oleh orang-orang kafir yang ada hubung kait dengan akidah dan kepercayaan mereka, baik kafir musyrik mahupun kafir ahlul kitab.

Sikap yang sewajibnya dilakukan oleh kaum Muslimin adalah menjelaskan kesesatan mereka dan mengajak mereka kembali ke jalan yang benar (yakni) Islam, bukannya mengucapkan selamat terhadap mereka. Tindakan mengucap selamat atau terlibat di dalam meraikan perayaan kuffar ini bermaksud sikap redha dan cenderung terhadap kemungkaran besar yang mereka lakukan. Padahal Allah SWT mengingatkan,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.”
[TMQ Hud (11):113].

Ruang Lingkup ajaran Islam

Sesungguhnya ajaran Islam meliputi dua perkara penting dalam kehidupan, iaitu ajaran yang bersifat (i) ruhiyah (spiritual) dan ajaran yang bersifat (ii) siyasiyah (pengaturan urusan kehidupan). Ajaran yang bersifat ruhiyah dikaitkan dengan doktrin aqidah Islam itu sendiri serta aspek ibadah khusus, di samping ‘syiar’ Islam yang memiliki nilai ibadahnya sendiri seperti masjid, laungan azan, al-liwa’ (panji hitam bertulis kalimah tauhid) dan lain-lain lagi. Antara syiar Islam termasuklah perayaan kaum Muslimin seperti Idul Fitri dan Idul Adha. Sejak dulu, syiar Islam ini tidak pernah digabungkan dengan syiar kufur kerana umat Islam faham bahawa hak dan batil haram untuk dicampurkan. Namun kebelakangan ini apabila konsep ‘liberalisasi’ diterapkan ke atas umat Islam, ia berjaya mengubah persepsi secara total hinggakan tiada lagi sempadan yang membezakan soal halal dan haram atau iman dan kufur. Ledakan liberalisasi begitu kuat menerpa umat sehinggakan ‘syiar’ Islam yang berupa Idul Fitri dan Idul Adha telah digabungkan dengan syiar (perayaan) kufur oleh segelintir kaum Muslimin. Walhal Allah SWT dengan jelas berFirman,

“Katakanlah kepada orang kafir...bagimu agamamu, dan bagiku agamaku”
[TMQ Al-Kafirun (109): 6].

Nas ini, dan beberapa nas yang lain yang telah dijelaskan menunjukkan perbezaan akidah di antara orang-orang Islam dan kafir dan langsung tidak ada ‘gabungan’ dalam masalah agama. Agama kita benar dan agama mereka sesat lagi salah dan bakal menghumban mereka ke neraka Jahanam. Inilah hakikatnya. Islam tidak akan sekali-kali berkompromi dengan kuffar dalam soal aqidah dan syariah biarpun dibenci oleh orang-orang kafir, munafik mahupun musyrik!

Ruang lingkup ajaran Islam yang kedua adalah bersifat siyasiyah/politik (mengatur urusan kehidupan) bagi setiap manusia. Allah telah menurunkan peraturan yang lengkap meliputi tatacara hubungan individu dengan dirinya sendiri seperti masalah berpakaian, makanan dan juga akhlak. Manakala terhadap orang-orang non-Muslim, dalam hal makanan, minuman dan pakaian, Islam membenarkan mereka berbuat sesuai dengan agama mereka, namun dalam batas yang diperbolehkan hukum syarak ke atas mereka. Selain merincikan hukum untuk mengatur diri sendiri, Islam juga datang dalam bentuk yang sempurna untuk mengatur hubungan manusia dengan manusia yang lain (sama ada Muslim dengan Muslim atau Muslim dengan kafir) dalam dua aspek utama, muamalat dan uqubat. Dari keduanya, terbit sistem politik, pemerintahan, ekonomi, pergaulan (antara lelaki dan perempuan), pendidikan dan sebagainya. Aspek hubungan sesama manusia ini merupakan ruangan yang paling luas sekali yang dibincangkan sehingga para cendekiawan Islam meletakkan kedudukannya 90% dari ajaran Islam.

Dalam aspek mualamat, umat Islam dibolehkan berinteraksi atau bermuamalat dengan non-Muslim tanpa ada sekatan agama. Sebagai contoh, Rasulullah SAW sendiri pernah mengupah Abdullah bin Uraiqith yang masih musyrik dari Bani Dail untuk menjadi pemandu arah semasa Baginda berhijrah ke Mekah. Rasulullah SAW juga diriwayatkan pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang pekedai Yahudi. Saidina Ali pernah berkata:

"Aku bekerja untuk seorang perempuan Yahudi dengan upah setiap timba air ditukar dengan sebutir kurma. Kemudian aku ceritakan hal itu kepada Rasulullah dan aku bawakan beberapa butir kurma lalu beliau pun memakan sebahagian kurma tersebut bersamaku." [HR. Al-Bukhari].

Malangnya, sebahagian umat Islam, malah termasuk golongan cendekiawan dan ulama sendiri ‘tidak membenarkan’ kaum Muslimin bermuamalat dengan non-Muslim. Boleh dikatakan saban hari kita mendengar rakan-rakan Muslim kita menegur, memarahi atau tidak berpuas hati apabila saudaranya membeli barangan daripada orang kafir. Malah ada yang mengemukakan nas untuk ‘mengharamkan’ perkara ini berdasarkan alasan bahawa kita wajib tolong-menolong sesama Muslim dan tidak boleh membantu orang kafir khususnya dari segi ekonomi. Alangkah anehnya dengan Muslim sebegini. Mereka menghalang orang lain, dan mereka sendiri juga tidak sanggup atau benci untuk membeli barang dari kedai orang kafir, dan mereka sering bersungut apabila rakan Muslim lainnya bermuamalat dengan orang kafir, namun dalam masa yang sama mereka sanggup pula, malah dengan muka yang begitu manis meraikan perayaan orang-orang kafir. Bahkan ada yang sanggup ‘menganjurkan’ perayaan untuk orang kafir. Perkara yang jelas halal (jual beli dengan orang kafir) mereka ‘haramkan’ manakala perkara yang jelas haram (meraikan perayaan orang kafir) mereka ‘halalkan’. Betapa jauhnya mereka terpesong dari kebenaran!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika kita menelusuri sejarah kegemilangan Islam yang panjang, orang-orang Islam dan kafir sesungguhnya telah hidup bersama dengan sejahtera dalam Daulah Khilafah. Ketika itu, orang-orang kafir menikmati hak mereka sepenuhnya dan mereka tunduk serta berterima kasih kepada Islam. Namun, umat Islam saat itu tidak pernah sekali-kali berkompromi dengan mengadakan sambutan perayaan bersama mereka (orang kafir) untuk mewujudkan kesejahteraan tersebut. Umat Islam benar-benar berpegang kepada hukum syarak dan mereka tidak pernah menggadaikan agama mereka untuk kemaslahatan duniawi sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir umat Islam sekarang. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa ‘sambutan hari raya’ adalah terkait rapat dengan persoalan akidah dan syiar agama kita dan agama mereka. Sesungguhnya dalam hal ini Allah Azza wa Jalla telah mengajarkan kita untuk mengucapkan kepada mereka, “bagimu agamamu dan bagiku agamaku..”. Apakah ada perkataan lain yang lebih baik dari ini untuk diucapkan kepada orang-orang yang mengkufuri Allah?

Friday, August 14, 2009

SN187 - KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?

alt


KOALISI MENDUKUNG ISLAM ATAU KUFUR?


[SN187] Untuk ke sekian kalinya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini berdepan satu lagi konflik percaturan politik Pakatan Rakyat (PR) apabila timbul isu penjualan arak secara terbuka di kawasan majoriti penduduk Islam di Selangor. Usaha PAS yang tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka ditentang keras oleh rakan karibnya dari DAP. Tekanan demi tekanan diterima dari pelbagai sudut menyebabkan PAS tersepit di antara ‘pegangan’ dengan hukum Islam dan kepentingan politik yang wujud dalam PR. Sebelum itu, PAS juga goncang seketika gara-gara cadangan Presidennya sendiri untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Konflik dalaman PAS diperparah dengan kelicikan UMNO yang sememangnya pakar dalam politik hipokrasi memecahbelahkan lawan. Pemimpin tertinggi PAS bertelagah sesama sendiri sama ada untuk mengekalkan kesetiaan ‘perkahwinan’ mereka dengan PR atau bertukar pasangan kepada UMNO/BN. Secara logiknya, tidak ada bezanya bergabung, baik dengan BN atau PR kerana di dalam kedua-duanya terdapat parti sekular dan parti kafir. PAS Kedah juga pada 1 Julai lalu ‘ditampar’ hebat oleh DAP yang mengumumkan untuk keluar daripada PR akibat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya. Demikianlah serba sedikit beberapa siri tekanan yang dialami oleh sebuah parti Islam dalam perkahwinan campur mereka dengan parti sekular dan parti kufur. Ini yang terdedah, manakala yang tidak terdedah seperti perebutan jawatan, perebutan projek dan banyak lagi perbalahan lainnya ‘terpaksa’ ditelan oleh PAS, dan ada yang hanya menunggu masa untuk meletup.

Koalisi PAS dengan parti-parti lain yang wujud di Malaysia bukanlah satu perkara baru. PAS pernah berkoalisi dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam pilihan raya 1990. Jauh sebelum itu pun, PAS pernah bergabung dengan UMNO pada tahun 1970-an di era Tun Razak. Sebelum Anwar Ibrahim mengisytiharkan koalisi PAS-PKR-DAP-PRM sebagai ‘Pakatan Rakyat’ pada 1 April 2008, selama lebih kurang 10 tahun, koalisi parti-parti tersebut dinamakan Barisan Alternatif (BA). Begitu juga halnya dengan parti pemerintah, UMNO, di mana parti sekular ini telah lama berkoalisi dengan rakan-rakannya yang lain dari parti kufur. Namun, oleh sebab UMNO didirikan di atas asas assabiyyah, maka koalisinya dalam BN merupakan suatu perkara yang tidak perlu kita bahaskan, kerana asas penubuhan dan perjuangannya yang jelas-jelas haram. Berbeza halnya dengan koalisi PAS ke dalam PR, kerana PAS adalah sebuah parti Islam, yang bergabung dengan PKR (parti sekular) dan DAP (parti kufur). Aspirasi koalisi dalam PR ini ternyata tidak ada beza dengan koalisi di dalam BN kerana kedua-duanya berkoalisi untuk menuju perkara yang sama, iaitu ingin meraih sebuah pemerintahan. Dan pemerintahan yang bakal diwujudkan adalah pemerintahan kufur-sekular dengan perkongsian kuasa di antara parti-parti yang berkoalisi. Inilah yang menjadi persoalan (yakni) sebuah parti Islam berkoalisi dengan parti sekular dan kufur, bersama-sama berjuang untuk mewujudkan sebuah pemerintahan kufur-sekular di bawah sistem demokrasi. Apakah hal ini dibenarkan oleh syarak?

Fakta Koalisi

Menurut pengertian istilah (terminologi), koalisi memiliki banyak definisi. Di dalam Kamus Dewan, koalisi didefinisikan sebagai pergabungan atau perikatan beberapa buah parti politik. Dalam bahasa Arab, koalisi politik dikenal dengan istilah at-tahaluf as-siyasi. Tahaluf berasal dari kata hilfun yang bererti perjanjian (mu’ahadah) atau kesepakatan (mu’aqadah). Siyasi bererti politik. Koalisi dapat diertikan sebagai ikatan atau gabungan antara dua atau beberapa negara untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu. Koalisi juga dapat diertikan sebagai gabungan beberapa parti dalam sesebuah negara untuk meraih majoriti yang dapat mendukung pemerintahan.

Dengan meneliti fakta (manath) koalisi parti Islam dan parti sekular/kufur yang ada di Malaysia, kita akan dapati bahawa mereka sesungguhnya berganding bahu untuk menumbangkan ‘musuh’ yang sama dengan berkoalisi untuk meraih pemerintahan bagi menggantikan musuh (kerajaan) yang sedang memerintah. Hal ini jelas seperti yang terkandung dalam konsesi aspirasi PR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mac 2008 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru pada 16 September 2008 setelah menjangkakan 30 orang ahli parlimen BN akan melompat parti. Aspirasi ini sekaligus menunjukkan fakta bahawa koalisi PR adalah untuk meraih dan mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi-sekular yang sedia ada. Ini kerana tidak mungkin parti Islam yang berada dalam koalisi boleh ‘memerintah secara solo’ atau ‘menerapkan Islam’ kerana hakikatnya mereka berada dalam satu tahaluf dengan puak kuffar/sekular. Apatah lagi halatuju dan perbezaan ideologi parti sekular/kufur yang sangat bertentangan dengan parti Islam tersebut. Realiti ini diperkuat lagi dengan banyak kenyataan yang keluar dari mulut si kuffar dan sekular sendiri bahawa mereka tidak pernah berpakat untuk mewujudkan negara Islam ataupun melaksanakan undang-undang Islam. Malah mereka akan menentang hasrat ini habis-habisan jika ia cuba dilaksanakan oleh parti Islam.

Demi Allah sesungguhnya mereka telah ‘membuktikan’ bahawa tahaluf siyasi mereka bukan ditegakkan atas dasar Islam, malah mereka telah mengorbankan Islam dengannya! Lima buah negeri telah mereka menangi, lalu mereka menjadi parti yang memerintah. Di Pulau Pinang parti Islam langsung tidak dapat bersuara kerana diperintah oleh parti kufur. Namun mereka tetap menyokong parti kufur ini kerana tahaluf. Aneh! Sebuah parti Islam menyokong pemerintahan yang bukan Islam oleh parti kufur! Manakala di Perak mereka berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular yang jauh lebih berani dan kuat berpegang teguh kepada kekufuran berbanding mereka (parti Islam) berpegang kepada keislaman. Lalu parti Islam tersebut terus membuang dan mencampakkan usaha mereka selama ini untuk menerapkan Islam, demi menjaga kepentingan koalisi dengan puak kuffar/sekular yang turut sama berada dalam pemerintahan. Akhirnya kekuasaan mereka berakhir dengan cara yang hina.

Di Selangor, pun kita menyaksikan hal yang sama di mana parti Islam berkongsi kuasa dengan parti kufur/sekular. Sekali lagi kita menyaksikan tiada satu pun hududullah dapat ditegakkan, malah pemerintahan mereka hanya dipenuhi konflik dan perbalahan yang mereka sembunyikan dan zahirkan. Begitulah juga ‘nasib’ Islam di Kedah di mana agama Allah ini langsung tidak ditegakkan oleh parti Islam yang memerintah walaupun mereka menguasai majoriti pemerintahan. Persoalan hudud dan lain-lain langsung tidak timbul, malah pemerintahan mereka hampir tidak ada bezanya dengan pemerintahan kerajaan sekular sebelumnya. Segala usaha mereka (parti Islam) untuk menegakkan Islam dihalang oleh parti yang bertahaluf dengan mereka dan akhirnya parti Islam terus tunduk dan tunduk kepada kehendak kuffar/sekular. Justeru, di manakah kedudukan ‘tahaluf siyasi’ yang kononnya merupakan ‘kerjasama baik’ dengan golongan kuffar/sekular untuk menghindar kezaliman, walhal mereka sendiri memerintah dengan ‘kezaliman’ kerana tidak berhukum dengan hukum Allah, malah senantiasa tunduk kepada puak kuffar/sekular?

Hukum Koalisi Parti Islam Dan Parti Sekular/kufur

Apa yang terjadi di dalam koalisi parti Islam dengan parti sekular/kufur adalah kerjasama, saling membantu, saling mempertahankan dan saling membela dalam perkoalisian. Hakikat dari semua ini memunculkan dua perkara. Pertama: legalisasi, pengakuan dan keredhaan parti Islam akan keberadaan/kewujudan dan keabsahan parti sekular/kufur. Kedua: pengukuhan parti sekular/kufur dengan menjadi teman rapat (bithanah) kepada parti Islam. Inilah hakikat parti Islam yang berkoalisi dengan parti sekular/kufur. Pada satu sisi UMNO dihentam dahsyat kerana kesekularan yang dibawanya, namun PKR sebaliknya digendong, juga kerana kesekularan yang sama atau lebih teruk yang dibawanya. Pada sisi lain pula, parti sesama Islam dihentam dahsyat kerana keIslaman yang dibawa, namun sebaliknya parti kufur DAP digendong dengan kekufuran yang dibawanya. Padahal Allah SWT telah mengharamkan menjadikan orang kafir sebagai bithanah, dan Allah mewajibkan setiap kelompok/parti berdiri hanya atas asas Islam. FirmanNya,

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh yang ma’ruf serta mencegah yang mungkar...” [TMQ Ali Imran (3):104].

Ayat ini dengan jelas memerintahkan bahawa kelompok/parti yang dibenarkan oleh Allah untuk berdiri, hendaklah ‘menjalankan’ dua hal (i) menyeru kepada Islam (ii) melakukan amar makruf nahi mungkar. Apakah aktiviti yang ‘dijalankan’ oleh parti kufur jika bukan kekufuran? Kemungkaran apakah lagi yang lebih besar dari kekufuran? Dan salah satu bentuk kemungkaran yang besar adalah sekularisme. Apa yang jelas, koalisi atas alasan melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap parti sekular/kufur, justeru menjadikan parti Islam semakin erat berganding tangan dan menjaga eksistensi bahkan melegalisasi keabsahan parti sekular/kufur. Malah lebih buruk, bukannya parti kufur/sekular berjaya di Islamkan (sebagaimana niat tahalluf), sebaliknya parti Islam yang berjaya disekularkan! Hal ini amat bertentangan dengan perintah Allah ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Hakikatnya, apabila sesebuah parti Islam berkoalisi dengan parti kufur/sekular, maka ia sesungguhnya telah mencampur adukkan haq dengan batil. Acap kali Islam dijadikan korban, kerana yang mereka titikberatkan bukan lagi ‘Islam’, tetapi ‘kepentingan dan sensitiviti’ rakan koalisi. Inti pati yang menjadi pegangan dalam koalisi adalah ‘kompromi’, bukannya ‘hukum syarak’. Kerana itulah, seringkali ideologi parti dan Islam itu sendiri dikorbankan dan diganti dengan pragmatisme dan kepentingan semasa. Malangnya, kompromi dalam koalisi justeru terjadi antara hukum Islam dan hukum sekular, dan hukum kufur/sekular selalu dimenangkan. Parti Islam mencampur adukkan yang halal dengan yang haram dan yang haq dengan yang batil. Sering kali parti Islam langsung tidak berani menyebut atau mencadangkan untuk menegakkan negara Islam atau hukum Islam, kerana ia bertentangan dengan kompromi dan aspirasi koalisi. Sungguh, apa yang parti Islam ini lakukan amat jelas bertentangan dengan firman Allah,

“Dan janganlah kalian mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kalian menyembunyikan kebenaran itu, sementara kalian mengetahuinya” [TMQ al-Baqarah (2):42].

Koalisi sememangnya tidak boleh lari dari amalan tolong-menolong. Apatah lagi semasa pilihan raya. Parti Islam tentunya akan menolong parti sekular/kufur untuk menang di dalam pilihan raya, malah mereka pastinya akan mengundi calon sekular/kafir yang diletakkan oleh rakan koalisi. Hujah mereka selama ini bahawa jika kita tidak keluar mengundi maka kita akan memberi kemenangan kepada orang kafir, ternyata umpama meludah ke langit terkena muka sendiri. Mereka (parti Islam) itu sendirilah yang hakikatnya memberi kemenangan kepada orang kafir/sekular di dalam setiap pilihan raya dengan mengundi calon tersebut. Tolong-menolong yang mereka lakukan ini adalah jelas haram, apatah lagi ia mengarah kepada penerapan hukum-hukum kufur, baik dalam kekuasaan eksekutif mahupun legislatif. Tolong menolong semacam ini telah dilarang oleh Allah SWT kerana firman Allah,

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.” [TMQ al-Ma’idah (5):2].

Kerjasama dengan puak sekular/kafir pastinya menimbulkan kecenderungan (sikap pasrah/setuju) aktivis parti Islam kepada aktivis parti sekular/kufur. Padahal sikap cenderung ini dilarang oleh Allah SWT,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Para aktivis parti sekular/kufur hakikatnya adalah orang-orang zalim atau para pelaku maksiat (ahlul ma’asi), kerana tidak menjadikan ajaran Islam sebagai asas dan pedoman dalam berpolitik. Dari sisi lain, koalisi juga melahirkan ramai golongan munafik di dalam parti Islam. Ini kerana, walaupun mereka tidak bersetuju dengan polisi atau pendapat/perbuatan yang dibawa oleh parti sekular/kufur, namun anggota parti Islam terpaksa menzahirkan kesetujuannya kerana ingin menjaga hati rakan koalisi atau demi menjaga kepentingan yang wujud dalam koalisi. Kemunafikan ini jelas haram dalam Islam.

Dengan berkoalisi juga, maka anggota parti Islam akan turut berada sebaris di dalam sistem pemerintahan sekular, seperti apa yang berlaku dalam pemerintahan beberapa buah kerajaan saat ini. Padahal telah ada hadis sahih yang melarang umat Islam menjawat apa jua jawatan dalam pemerintahan yang menyalahi syarak, seperti dalam sistem demokrasi-sekular sekarang. Sabda Nabi SAW,

“Sungguh akan datang pada manusia suatu zaman, di mana yang ada atas kalian adalah pemimpin-pemimpin yang bodoh (umara sufaha) yang mengutamakan orang-orang yang jahat dan mengalahkan orang-orang yang baik di antara mereka, dan mereka suka menunda-nunda solat keluar dari waktu-waktunya. Maka barangsiapa di antara kalian yang mendapati pemimpin-pemimpin seperti itu, janganlah sekali-kali dia menjadi kakitangan (’ariif), atau menjadi polis, atau menjadi pemungut, atau penyimpan harta.” [Musnad Abu Ya’la, 3/121; Ibnu Hibban no 4669].

Dalam hadis lain disebut,

“Akan ada pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, para menteri yang fasik, para hakim yang khianat, dan para fuqaha yang pendusta. Maka barangsiapa di antara kamu yang mendapati zaman itu, janganlah sekali-kali dia menjadi pemungut harta mereka, atau menjadi kakitangan mereka, atau menjadi polis mereka.” [HR Thabrani].

Sesungguhnya koalisi antara parti Islam dan parti sekular/kufur hanya akan memperpanjangkan lagi umur kebatilan. Walau apa sekalipun hujah yang diberikan oleh parti Islam, mereka sebenarnya telah jauh tersasar dari jalan yang lurus. Sama ada sedar atau tidak, mereka sebenarnya telah menyalahgunakan nas atau mengambil nas dengan cara yang keliru. Kebanyakan hujah mereka adalah bersandarkan akal dengan mengaitkannya dengan kaedah maslahat. Sungguh, mereka telah menyimpang jauh dari kebenaran!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Berdasarkan nas-nas yang jelas, termasuklah nas yang tidak dapat dibincangkan di sini, koalisi di antara parti Islam dan parti sekular/kufur adalah haram secara mutlak. Ingatlah wahai saudaraku bahawa matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara. Walau matlamat kita baik sekalipun, namun cara yang ditempuh hendaklah syar’i. Dilihat dari sudut pandangan Islam mahupun realiti yang wujud, tiada guna barang sedikitpun sesebuah parti Islam bersengkongkol dengan parti sekular, apatah lagi parti kufur demi political mileage yang dirasakan baik untuk Islam, kerana hakikatnya parti Islam tersebut telah bergelumang dengan noda dan dosa. Malah hingga ke tahap rakan koalisi menghina Islam pun, parti Islam masih mempertahankan rakan mereka. Masya Allah! Betapa hinanya keadaan ini. Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh parti Islam, imejnya akan terus tercalar dan terhina, bukan sahaja di mata umat, malah di mata anggota-anggotanya sendiri. Kemuliaan telah tercabut dari parti Islam itu lalu jadilah ia setaraf dengan parti-parti sekular/kufur yang bersamanya.

Sedarlah wahai pejuang-pejuang Islam yang ikhlas! Kalian merupakan umat yang terbaik yang terpilih untuk memikul amanah Allah dan RasulNya. Fikirkanlah, untuk apa kalian berjuang jika tidak untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan semula Negara Islam dan meraih sepenuh keredhaan dari Allah Azza Wa Jalla? Kalian sewajibnya bergerak memperjuangkan Islam di dalam ruang dan peluang yang dibenarkan syarak sahaja. Janganlah hendaknya kalian terpengaruh dengan bisikan syaitan yang akan membinasakan kalian. Berpalinglah segera dari syaitan yang sesat lagi menyesatkan! Jadilah pejuang agama Allah yang amanah lagi ikhlas, berusahalah bersungguh-sungguh di jalan yang diredhai Allah dan serahkanlah (urusan) kemenangan kepadaNya semata-mata. Sesungguhnya kita tidak memerlukan bantuan sedikit pun dari orang-orang sekular dan orang-orang kafir untuk menang. Kemenangan adalah janji Allah terhadap orang-orang yang beriman dan bertakwa. Demi sesungguhnya janji Allah terhadap orang-orang sekular (mengambil sebahagian Islam dan meninggalkan sebahagian) dan terhadap orang-orang kafir hanyalah neraka, bukannya kemenangan!!! Na’uzubillah min zalik.

Tuesday, August 11, 2009

DEMOKRASI: SISTEM KUFUR YANG MELAHIRKAN I.S.A.

SN Keluaran 30 Julai 2009
alt
DEMOKRASI: SISTEM KUFUR YANG MELAHIRKAN I.S.A.

[SN186] Tanggal 1 Ogos 2009 bakal mencipta satu lagi sejarah di Malaysia apabila Gerakan Mansuh ISA (GMI) bersama pakatan pembangkang menganjurkan demonstrasi besar-besaran untuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Demonstrasi kali ini dijangka lebih besar dari yang diadakan oleh Bersih pada 10 November 2007 yang lalu. Dalam masa yang sama, kumpulan pengampu kerajaan turut ingin keluar berdemonstrasi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Akta zalim tersebut. Janji Najib pada ucapan sulung sebagai Perdana Menteri yang ingin mengkaji semula ISA nampaknya tinggal janji. Setelah selesai segala kenduri-kendara menyambut 100 hari pemerintahan, ISA masih tetap utuh tanpa diusik sedikit pun. Slogan rakyat didahulukan ternyata benar di mana rakyat senantiasa didahulukan untuk merasai segala penderitaan dan kesusahan hasil tindakan kerajaan. Harta rakyat didahulukan untuk dikaut bagi mengkayakan kerajaan seperti cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai pintu, tol dan seumpamanya. Minyak dan gas asli yang merupakan hak milik rakyat juga didahulukan oleh kerajaan untuk dirampas.
Tanggal 1 Ogos nanti, kita sama-sama saksikan sama ada rakyat turut didahulukan untuk ditangkap kerana berani berdemonstrasi untuk memansuhkan ISA. Sebelum rakyat bersuara, sebenarnya bekas Perdana Menteri, Pak Lah telah pun menyuarakan pandangannya untuk memansuhkan ISA [lihat UM 18/07/09]. Pelik tapi benar, dan naik menyampah rakyat dibuatnya! Semasa menjadi Perdana Menteri, mengkaji ISA pun, beliau langsung tidak mahu [lihat UM 19/10/08], malah ia turut menjadi ‘senjata’ utama pemerintahan beliau. Namun bila takhta sudah terlucut, Pak Lah meminta agar ianya dihapuskan. Kini, giliran Najib pula untuk bersilat dengan ‘taming sari’ yang sungguh berkuasa ini. Siapa berani lawan jika ‘keris hikmat’ ini sudah di tangan?

Demokrasi Memberanakkan ISA

ISA merupakan satu akta yang bertindak sebagai tahanan pencegahan (preventive detention). Sebelum ISA, telah ada Ordinan Peraturan Darurat 1948 sebagai undang-undang untuk menghalang anasir subversif khususnya dari Parti Komunis Malaya, yang membenarkan seseorang ditahan tidak lebih dari satu tahun. Setelah darurat diisytiharkan tamat, maka kuasa penahanan yang terkandung di dalam Ordinan tersebut juga turut berakhir kerana peruntukannya telah dimansuhkan. Namun, pada tahun 1960, kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang ‘menghidupkan’ semula kuasa tahanan pencegahan di bawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Apa yang jelas lagi nyata adalah, lahirnya ISA adalah dari peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya diluluskan oleh Parlimen. Jika kita tanya, siapakah yang meluluskannya? Maka jawapannya tidak lain tidak bukan, ‘wakil rakyat’lah yang meluluskannya. Jika kita tanya lebih lanjut, bagaimana wakil rakyat boleh meluluskan akta sekejam itu? Maka jawapannya, kerana ‘demokrasi’lah yang membenarkannya dan kerana menurut demokrasi, mana-mana undang-undang sekalipun, boleh diluluskan jika mendapat undi/sokongan majoriti di Parlimen. Atas nama majoriti yang menjadi tonggak ‘kelulusan’ undang-undang di bawah sistem demokrasi, maka sekejam mana sekalipun undang-undang itu, ia tetap dapat dilaksanakan, malah yang halal boleh jadi haram, dan yang haram boleh jadi halal, yang penting, majoriti meluluskannya. Di bawah sistem demokrasi, undang-undang Allah boleh dibuat, digubal, dibuang, dimansuh, dipinda dan dihapuskan dengan sesuka hati, pokoknya ia diluluskan secara majoriti. Inilah hakikat demokrasi yang hina lagi menghinakan!!!

ISA adalah contoh nyata kebobrokan demokrasi yang kononnya dikatakan sebagai pemerintahan ‘oleh rakyat dari rakyat untuk rakyat’ (the rule of the people by the people for the people). Mengikut idea asal demokrasi di bawah konsep ini, rakyatlah yang merupakan ‘tuan’ kepada diri mereka sendiri dan menentukan kehendaknya sendiri dalam membuat peraturan (rule of the people). Rakyatlah (melalui wakil mereka) yang memerintah mengikut peraturan yang telah mereka tetapkan (by the people). Dan mereka menerapkan undang-undang yang mereka cipta itu untuk kesejahteraan mereka (for the people). Namun, apa yang dipraktikkan bertentangan secara diametral dengan konsep yang dibawa. Ternyata, puak yang memerintah adalah segolongan Kapitalis raksasa atau yang di‘back-up’ oleh Kapitalis raksasa. Mereka membuat undang-undang yang mementingkan mereka (seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Polis, Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak dan sebagainya) dan dengan undang-undang ini, mereka pastikan tidak ada orang/pihak yang boleh menentang atau mengkritik mereka. Jika ada yang berani mengkritik, maka ‘penjara’lah jawabnya. Dan ternyata, banyak undang-undang yang mereka terapkan adalah undang-undang yang memberikan kesejahteraan kepada mereka (bukan kepada rakyat) dan yang dapat mengekalkan kekuasaan mereka.

Sudah sekian lama kita dapat melihat sendiri para penguasa Kapitalis ini menggunakan undang-undang yang mereka gubal untuk menyekat rakyat dari bersuara (atau bertindak) mengkritik mereka. ISA merupakan contoh yang jelas. Jika benar mereka memerintah mengikut kehendak rakyat dan untuk rakyat, sepatutnya sudah lama ISA dihapuskan kerana majoriti rakyat tidak mahukan ISA. Namun, ternyata ini tidak berlaku. Sebaliknya, jika ada wakil rakyat dari parti pemerintah yang berani mengusulkan dan bertindak untuk memansuhkan ISA, mungkin sahaja wakil rakyat berkenaan yang di‘ISA’kan terlebih dahulu. Bertambah malang bagi pihak rakyat apabila pasukan polis dipergunakan habis-habisan, bahkan ada di antara mereka yang sanggup taat membabi buta kepada pemerintah, tanpa menilai langsung sama ada tindakan pemerintah selaras dengan ajaran Islam atau tidak. Malah berapa ramai di antara mereka yang menjadi manusia yang tidak berperi kemanusiaan menangkap dan menyeksa tahanan di bawah ISA, semata-mata kerana taatkan tuan mereka yang derhaka kepada Allah dan Rasul. Termasuk mereka yang ditahan adalah mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Dan berapa ramai lagi pejuang agama Allah di luar sana yang diugut untuk ditangkap di bawah ISA. Sungguh keji dan hina perbuatan mereka ini, tidak ubah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang menghalang Rasulullah SAW dari menegakkan agama Allah semasa di Mekah!

Sekiranya kita tanya, dari manakah lahirnya ISA, dan kenapa ia masih kekal hingga sekarang? Jawapannya, ISA sesungguhnya diberanakkan oleh demokrasi dan ‘anak haram’ ini kekal hingga ke hari ini kerana ibunya masih hidup. Ibunyalah yang memastikan anaknya terus hidup. Oleh yang demikian, sungguh aneh bagi umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin menghapuskan ‘anak haram’ ini, namun dalam masa yang sama, mereka bersungguh-sungguh menjaga ‘ibu haram’ yang melahirkannya. Sungguh aneh bagi umat Islam yang bermati-matian ingin menolak ISA tetapi dalam masa yang sama bermati-matian ‘menjaga’ demokrasi. Mereka bencikan ISA tetapi sayangkan demokrasi, mereka ingin mansuhkan ISA tetapi tetap mahu mengekalkan demokrasi. Masya Allah! Perbuatan mereka ini tidak ubah umpama bencikan riba, tetapi tetap mengambil riba, yang dengan perbuatannya itu hanya akan memperpanjangkan lagi ‘usia’ perbankan kufur (ibu riba) yang ada. Atau lebih tepat lagi jika dikatakan, mereka umpama bencikan babi, tetapi senantiasa menghidupkan, malah membaik pulih kandang-kandang babi yang ada.

Sedarlah wahai saudaraku! Emosi kita hendaklah dipandu mengikut hukum syarak. Kita memang marah dan bencikan ISA (secara emosi), namun marah dan benci itu hendaklah di atas kesedaran bahawa ISA itu ‘haram’ di sisi syarak. Maka, ISA itu mesti dihapuskan sebab ia bertentangan dengan syarak, bukan kerana sebab lainnya. Justeru, ‘ibu’ yang melahirkannya hendaklah turut dihapuskan kerana bertentangan dengan syarak. Jika kalian menolak ISA, tetapi dalam masa yang sama tetap mengambil demokrasi, maka ibaratnya kalian ingin menghapuskan judi namun dalam masa yang sama membiarkan, malah membenarkan pusat perjudian. Mana mungkin jika kita kasihkan undang-undang Islam, kita tetap 'menyayangi' Perlembagaan Persekutuan? Malah, ada di antara kita yang marah apabila kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Apakah kita (dan kerajaan) dituntut oleh Allah SWT untuk mentaati sumber undang-undang kufur terbesar di Malaysia itu? Atau kita hanya dituntut untuk mentaati Al-Quran dan Sunnah? Apakah Perlembagaan Persekutuan yang dicipta oleh sikafir Lord Reid itu selaras dengan Al-Quran dan Sunnah, sehingga kita harus tunduk kepadanya? Kita hendaklah sedar bahawa yang haram itu perlu dihapuskan kesemuanya, tidak kira kecil mahupun besar.

Sungguh, tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa ISA itu lahir dari sistem demokrasi. Selama mana ibu haram ini masih hidup dan dijaga rapi, maka selama itulah ia akan melahirkan anak-anak haram. Bukan sahaja ISA, malah pelbagai anak haram lain lagi yang dilahirkan oleh demokrasi seperti OSA, AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Kanun Acara Jenayah (CPC), Akta Mahkamah Syariah, Akta Pendidikan, Akta Kawalan Harga, Akta Air dan Elektrik dan bermacam-macam lagi Akta serta Enakmen. Semuanya lahir dari perut demokrasi. Ramai di kalangan umat Islam di Malaysia yang beranggapan ISA itu zalim, tetapi mereka tidak pula menganggap Akta Pendidikan, Akta Syarikat, Akta Cukai atau Akta Kontrak sebagai zalim, walhal kesemuanya adalah undang-undang yang dibuat oleh manusia dengan suara majoriti di bawah sistem demokrasi. Dan kesemua undang-undang ini diluluskan tanpa memperhatikan Al-Quran dan Sunnah sedikit pun. Dan kita semua tahu bahawa sistem pendidikan kita adalah sekular, sistem ekonomi pula Kapitalisme-kufur yang kesemuanya terhasil dari undang-undang buatan manusia yang diluluskan di Parlimen. Jadi, selama mana sistem demokrasi masih tidak terhapus, maka selama itulah ISA boleh wujud. Malah, undang-undang yang jauh lebih zalim dari ISA pun boleh diwujudkan, yang penting majoriti ahli Parlimen bersetuju. Inilah realiti negara demokrasi!

Demokrasi Dijadikan Way Of Life

Usaha untuk menghapuskan ISA patut dipuji dan disokong. Hanya sahaja, usaha tersebut hendaklah selaras dengan Islam dan niat para pejuangnya juga hendaklah semata-mata kerana Islam. Dalam masa yang sama, undang-undang kufur lain juga mestilah diperjuangkan untuk dihapuskan oleh umat Islam. Pokoknya segala undang-undang buatan manusia yang diluluskan oleh wakil rakyat di Parlimen perlu dihapuskan, kerana ia bukanlah undang-undang Islam dan bertentangan dengan Islam sama sekali. Jika ISA berjaya dihapuskan, namun undang-undang kufur lain masih lagi berkuat kuasa, maka perjuangan mestilah diteruskan. Perjuangan umat Islam bukanlah sekadar untuk menghapuskan ISA atau mana-mana undang-undang yang dianggap zalim sahaja, malah perjuangan hendaklah ditujukan kepada aspek yang jauh lebih besar dari itu, yakni ‘sistem’ yang melahirkan undang-undang tersebut hendaklah diperjuangkan agar dihapuskan. Selagi akarnya masih hidup, maka selagi itulah seluruh cabang dan rantingnya akan hidup.

Sungguh sedih dan mengecewakan apabila melihat sebahagian besar dari umat Islam yang masih terus bergelumang dengan demokrasi. Malah, dalam setiap tindakan dan perbuatan mereka, termasuk tindakan yang dilakukan oleh pemerintah, mereka menilai dan meletakkan ‘standard kebenaran’nya dengan demokrasi. Mereka sering mengatakan bahawa ‘tindakan kami adalah selaras dengan demokrasi’, ‘kami berjuang dalam lunas-lunas demokrasi’. Dan mereka marahkan pemerintah dengan mengatakan bahawa, ‘tindakan pemerintah adalah tidak demokratik, atau ‘tidak selaras dengan prinsip demokrasi’ atau mereka mengatakan, ‘pemerintah telah melanggar semangat demokrasi’ dan seumpamanya. Parti pemerintah juga mengatakan perkara yang sama di mana mereka menuduh pembangkang tidak demokratik dan merekalah yang demokratik. Begitulah tuduh-menuduh, tuding-menuding dan perbalahan yang sering kita saksikan di antara parti pembangkang dan pemerintah, malah turut melibatkan sebahagian dari umat Islam lainnya sama ada secara individu atau pun gerakan. Satu hal yang pasti, masing-masing telah menyandarkan nilai atau ‘standard kebenaran’ hujah masing-masing kepada demokrasi, bukannya kepada Islam. Baik atau buruk, terpuji atau tercela, mulia atau hina sesuatu tindakan itu, semuanya dinisbahkan dengan demokrasi, seolah-olah demokrasilah ‘kayu ukur’ kepada kebenaran atau kebatilan di dalam hidup ini.

Sungguh amat mendukacitakan apabila umat dan gerakan Islam telah menjadikan demokrasi sebagai cara hidup (the way of life) mereka, di mana setiap tindakan dan tingkahlaku (khususnya dalam persoalan politik) dinisbahkan dengan demokrasi. Sesuatu perbuatan itu dikatakan baik apabila selaras dengan demokrasi dan menjadi buruk apabila bertentangan dengan demokrasi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka ini telah menjadikan demokrasi seolah-olah sebagai ‘agama’ di mana setiap tindakan, perbuatan dan perkataan mesti disandarkan kepada demokrasi. Fenomena nyata di mana demokrasi ini dijaga ‘kesuciannya’ boleh dilihat setiap kali pilihan raya diadakan, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil. Standard ‘suci dan hina’ seseorang calon, penyokong mahupun parti yang bertanding diukur dari sejauh mana mereka berpegang teguh kepada demokrasi. Lagi kuat mereka berpegang dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi, maka lagi ‘suci’lah mereka dan jika melanggar demokrasi, maka buruk dan hinalah mereka. Dan oleh sebab ‘kesucian’ diukur dengan demokrasi, maka masing-masing ‘takut’ jika dikatakan atau dituduh sebagai tidak demokratik. Dan masing-masing juga turut berebut-rebut untuk tunduk kepada peraturan demokrasi agar mencapai darjat ‘kemuliaan’ kerana dikatakan mematuhi demokrasi. Begitulah yang terjadi secara berulang-ulang kepada para pejuang demokrasi. Demokrasi seolah-olah menjadi satu ‘agama baru’ yang suci yang mesti dijaga kesuciannya dan tidak boleh dicemari sedikitpun. Siapa sahaja yang ‘mencemari’ demokrasi atau proses demokrasi, maka hinalah orang itu bagi mereka, dan jika berpegang teguh dengannya, maka mulialah orang itu. Malah, mereka akan cukup-cukup marah dan melenting jika ada pihak yang menghina atau mengutuk demokrasi atau menyatakan demokrasi itu haram. Inilah pegangan sebahagian dari umat/gerakan Islam yang begitu mensucikan demokrasi. Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran! Semoga Allah menyedarkan mereka dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Wahai kaum Muslimin! Sukalah kami mengingatkan kalian bahawa kayu ukur, standard kebenaran, kemuliaan dan kehinaan, baik dan buruk serta terpuji dan tercelanya sesuatu tindakan dan perbuatan itu, semuanya hendaklah dinisbahkan kepada Islam, bukannya kepada demokrasi. Mulia dan benarlah seseorang itu bila dia mengikut Islam, serta salah dan hinalah seseorang itu apabila dia menyalahi Islam, bukannya kemuliaan dan kehinaan itu kerana dia mengikut atau menyalahi demokrasi. Hakikatnya, kerana mengikut dan tunduk kepada demokrasilah yang selama ini menyebabkan umat Islam hidup terhina di seluruh dunia. Demi sesungguhnya, sistem demokrasi yang diterapkan pada hari ini adalah sistem kufur. Ia lahir dari akidah kufur yang berasal dari Barat dan langsung tidak punya hubungan sama sekali dengan Islam, dilihat dari aspek mana sekalipun. Demokrasi sangat bertentangan dengan hukum-hukum Islam dalam garis besar mahupun rinciannya, dalam aspek sumber kemunculannya, aqidah yang melahirkannya atau asas yang mendasarinya, serta berbagai idea dan peraturan yang dibawanya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan! Kami telah pun menerangkan akan keharaman ISA di sisi Islam di dalam SN174. Kami juga telah menerangkan sedikit sebanyak tentang keharaman demokrasi menurut Islam di dalam SN167. Ingatlah wahai saudaraku, bahawa sesungguhnya Islam ini telah lengkap dan sempurna dan tidak ada satu pun yang tertinggal dari diwahyukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Apatah lagi apabila kita membincangkan tentang sistem pemerintahan, satu perkara yang amat penting yang tercakup di dalam perintah Allah untuk menzahirkan agamaNya di muka bumi. Maka, teramatlah mustahil jika Allah tidak menurunkan hukum tentang pemerintahan atau menurunkan satu bentuk sistem pemerintahan yang tidak lengkap. Mustahil sama sekali sistem pemerintahan Islam tidak lengkap sehingga kita perlu mengambil sistem pemerintahan demokrasi dari Barat untuk melengkapkannya, apatah lagi sebagai galang ganti. Jika kita meyakini Firman Allah “pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu agamamu” [TMQ al-Mai’dah (5):3], maka kita hendaklah meyakini bahawa Allah dan Rasul telah mengajar kita dari hal membuang air kecil hinggalah kepada hal memerintah dunia, dan tidak ada satu pun urusan agama ini yang tercicir atau tidak lengkap. Janganlah kalian menjadikan kejahilan kalian tentang agama Allah sebagai penyebab kalian mencari sistem lain, atas dalih bahawa Allah dan Rasul tidak merincikan hukum tentang pemerintahan. Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam adalah Sistem Khilafah dan sistem ini telah lengkap sempurna tanpa memerlukan ‘pertolongan’ dari demokrasi sedikit pun. Wallahu a’lam.

Friday, July 24, 2009

KOMUNISME DITENTANG KAPITALISME DITATANG

SN Keluaran 23 Julai 2009
alt
KOMUNISME DITENTANG KAPITALISME DITATANG

[SN185] Seketika negara dihangatkan dengan isu cadangan untuk membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM) Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa pulang ke Malaysia. Cadangan ini timbul apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini di atas dasar perikemanusiaan dan juga dengan alasan bekas pemimpin komunis itu bukan lagi merupakan suatu ancaman terhadap keselamatan negara. Keadaan bertambah hangat apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula secara terbuka meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tanpa berlengah, kerajaan UMNO/BN terus ‘menghentam’ Anwar habis-habisan dan menggunakan segala media yg dimilikinya untuk menyerang bekas Timbalan Perdana Menteri itu dari segenap sudut.

Tidak cukup dengan menteri-menteri yang membidas Anwar, demi menjayakan propaganda mereka, pelbagai pihak diambil pendapat mereka untuk mencurah petrol ke atas unggun yang dinyalakan Anwar. Bahkan hampir semua bekas perajurit, khususnya yang pernah bertempur dengan komunis suatu waktu dahulu, dikaut UMNO agar memberi komen masing-masing tentang kenyataan Anwar tersebut. Apabila api di dalam sekam sudah dikacau, apatah lagi dicurahkan petrol ke atasnya, maka kita semua tentu tahu apa akibatnya. Maka, berapi-apilah kemarahan bekas perajurit, yang, walaupun dituju kepada Chin Peng, telah diolah media sedemikian rupa untuk disasarkan (kemarahan itu) kepada Anwar Ibrahim. Berminggu-minggu hingga naik jemu masyarakat dihidangkan dengan segala berita penderitaan bekas perajurit yang pernah suatu ketika dahulu bertempur dengan pasukan komunis di bawah pimpinan Chin Peng. Sehingga ada segelintir dari kalangan mereka yang terang-terang berikrar untuk menyembelih Chin Peng sebaik sahaja bekas pemimpin PKM itu menjejakkan kaki di lapangan terbang Malaysia. Begitulah kemarahan membuak-buak bekas perajurit kita terhadap komunis, dan kemarahan yang sama dihambur kepada Anwar.

Apakah benar Komunisme merupakan satu ideologi yang bahaya? Bagaimana pula dengan Kapitalisme? Apabila kita mengkaji realiti dunia pada hari ini, kita akan mendapati akan adanya tiga mabda’ (ideologi) yang pernah wujud dan sedang wujud yakni Kapitalisme, Sosialisme (termasuk Komunisme) dan juga Islam. Dua mabda’ yang pertama yakni Kapitalisme dan Komunisme masing-masing dikembangkan oleh satu atau beberapa buah negara. Sedangkan mabda’ yang ketiga iaitu Islam, saat ini, tidak lagi dikembangkan oleh sebuah negara pun. Mabda’ Islam hanya dikembangkan oleh gerakan-gerakan Islam dan sesetengah individu di dalam masyarakat sahaja.

Mabda’ adalah aqidah aqliyah yang melahirkan peraturan. Yang dimaksud akidah adalah pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan, serta tentang apa yang ada sebelum dan setelah kehidupan, di samping hubungannya dengan sebelum dan sesudah alam kehidupan. Mabda’ muncul di benak seseorang, baik melalui wahyu Allah yang diperintahkan untuk mendakwahkannya atau dari kejeniusan yang lahir pada diri orang itu. Mabda’ yang lahir dalam benak manusia melalui wahyu Allah adalah mabda’ yang benar, kerana bersumber dari Al-Khaliq, yaitu Pencipta alam, manusia, dan kehidupan. Mabda’ ini pasti (qath’i) kebenarannya. Sedangkan mabda’ yang muncul dalam benak manusia kerana kebijaksanaan yang nampak pada dirinya adalah mabda’ yang salah (bathil), kerana berasal dari akal manusia yang terbatas, yang tidak mampu menjangkau segala sesuatu. Peraturan dan undang-undang yang lahir dari mabda’ buatan manusia ini selalu menimbulkan perbezaan, perselisihan, dan pertentangan, sehingga membuahkan segala bentuk penderitaan dan kesengsaraan bagi manusia. Oleh kerana itu, mabda’ yang muncul dari benak seseorang adalah mabda’ yang salah, baik dilihat dari segi akidahnya mahupun peraturan yang lahir dari akidah tersebut [Nizamul Islam, Taqiyuddin an-Nabhani].

Sedikit Mengenai Komunisme dan Kapitalisme

altKomunisme adalah satu cabang dari ideologi Sosialisme yang pernah wujud sebagai sebuah kuasa besar dunia suatu ketika dahulu sebagai pesaing kepada ideologi Kapitalisme, setelah Islam diruntuhkan sebagai sebuah ideologi pada tahun 1924 di Turki, setelah runtuhnya Daulah Khilafah. Ideologi Komunisme menyatakan bahawa alam semesta, manusia dan juga kehidupan, semuanya adalah ‘material’. Mereka meyakini bahawa material adalah asal dari segala sesuatu. Melalui perkembangan dan evolusi material-lah, benda-benda lainnya (dari tidak ada) menjadi ada. Bagi golongan ini, di sebalik alam material ini, tidak ada lagi alam lain. Mereka berpegang bahawa material bersifat azali (tidak berawal dan tidak berakhir), qadim (terdahulu) dan tidak seorang pun yang mewujudkannya. Dengan kata lain, ia bersifat wajibul wujud (wajib adanya). Penganut ideologi ini mengingkari penciptaan alam ini oleh Zat Yang Maha Pencipta. Mereka mengingkari aspek kerohanian, dan beranggapan bahawa pengakuan adanya aspek rohani merupakan sesuatu yang merbahaya bagi kehidupan. Agama dianggap sebagai candu yang meracuni masyarakat dan menjadi penghalang kepada suatu pekerjaan/perbuatan. Bagi mereka, tidak ada sesuatu yang wujud kecuali hanyalah material. Ini berarti mereka mengingkari adanya Sang Pencipta dan mengingkari adanya sesuatu sebelum dan sesudah kehidupan dunia. Yang mereka akui hanyalah kehidupan dunia ini sahaja.

Kapitalisme pula merupakan sebuah ideologi yang tegak atas dasar pemisahan agama denganalt kehidupan (sekularisme). Idea ini menjadi akidahnya, sekaligus sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir), serta qaidah fikriyah (kaedah berpikir)-nya. Berlandaskan qaidah fikriyah ini, mereka berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan hidupnya sendiri. Mereka pertahankan kebebasan manusia yang terdiri dari kebebasan berakidah, berpendapat, berkepemilikan, dan kebebasan peribadi (bertingkah laku). Dari kebebasan hak milik inilah lahirnya sistem ekonomi Kapitalis, yang termasuk perkara yang paling menonjol dalam mabda’ (ideologi) ini atau yang dihasilkan oleh akidah mabda’ ini. Karena itu, mabda’ tersebut dinamakan mabda’ Kapitalisme, sebuah nama yang diambil dari aspek yang paling menonjol dalam mabda’ tersebut.

Kelahiran ideologi ini bermula pada saat Kaisar (Caesars) dan raja-raja di Eropah dan Rusia menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama waktu itu dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbulah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kebangkitan bagi ahli falsafah dan cendekiawan. Sebagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak. Sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyerukan agar dipisahkan dari kehidupan dunia. Sampai akhirnya pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu cenderung memilih idea yang memisahkan agama dari kehidupan, yang kemudian menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Disepakati pula pendapat untuk tidak ‘mempermasalahkan’ agama, dilihat dari segi apakah diakui atau ditolak. Yang pentingnya, bagi pendokong ideologi ini, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan. Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang menghendaki segalanya harus tunduk kepada mereka (atas alasan agama) dengan ahli-ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari peranan agama dalam kehidupan.

Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam, Barat telah menyuntik ideologi Kapitalisme ini ke dalam umat. Mereka melantik pemerintah dari kalangan kaum Muslimin sendiri sebagai talibarut mereka lalu mereka mengajar pemerintah yang jahat dan khianat ini dengan ideologi mereka. Dengan habuan dunia yang diberi, maka pemerintah ini pun memeluk erat ideologi kufur ini, lalu mereka pun mula memerintah dengan memisahkan agama dari kehidupan. Mereka mula membuat undang-undang sendiri dengan mengenepikan undang-undang Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan kekallah mereka seperti itu hinggalah ke hari ini.

Setelah dunia Timur melihat kebobrokan Kapitalisme yang dibawa oleh dunia Barat, maka muncullah pula ideologi Komunisme, dan ideologi baru ini mula merebak ke seluruh dunia, sehingga sampai ke Malaysia. Namun, kelestarian Komunisme tidak lama apabila negara kuasa besar penganutnya tumbang. Di Malaysia, hancurnya Komunisme dan PKM adalah setelah kedatangan British buat kali kedua. Malangnya kebanyakan rakyat Malaysia tidak sedar bahawa penjajah kuffar British adalah penganut dan pengembang ideologi Kapitalis, yang sememangnya musuh kepada Komunisme. Setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom, Jepun terpaksa menyerah kalah dan British berjaya menguasai semula Tanah Melayu. Sepanjang penguasaannya ke atas Tanah Melayu, rakyat tidak sedar bahawa British bukan sekadar berjaya menjajah negara, malah mereka berjaya menjajah ‘hati dan pemikiran’ penduduk Tanah Melayu, khususnya umat Islam, agar membenci ideologi Komunisme dan mencintai serta mengamalkan ideologi Kapitalime yang mereka bawa.

Berbeza sedikit dengan idea asal komunisme, penganut ideologi ini (khususnya PKM) di Malaysia yang berketurunan Melayu masih tetap menganggap Islam sebagai ‘agama’. Sebab itulah kita sering mendengar bahawa mereka masih lagi percya kepada Tuhan, menjaga solat, berpuasa dan seumpamanya. Namun Islam hanyalah sebatas ‘agama’ bagi mereka, dan Islam langsung tidak menjadi ‘cara hidup’ (way of life) mereka. Hal ini sesungguhnya langsung tidak berbeza dengan ideologi Kapitalis yang dipegang oleh para pemimpin umat Islam dan juga sebahagian besar dari umat Islam itu sendiri. Para pemerintah berideologi Kapitalis ini, termasuklah di Malaysia, hanyalah menjadikan Islam sebatas ‘agama’ di mana Islam hanya dianut mereka sekadar untuk bersolat, berzakat, berpuasa dan menunaikan haji. Namun mereka tidak pernah menjadikan Islam sebagai way of life mereka. ‘Cara hidup’ mereka adalah Kapitalisme, yakni satu cara hidup yang memisahkan antara agama dan kehidupan (faslu deen ‘anil hayah - sekularisme). Malah mereka akan menentang habis-habisan jika ada usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam dalam konteks pemerintahan.

Sesungguhnya pegangan mereka saling tak tumpah dengan komunis dari segi mengingkari Islam sebagai ‘cara hidup’, malah pemerintah penganut Kapitalis ini jauh lebih berbahaya dari Komunis. Mereka menindas rakyat, memakan harta rakyat, mengaut segala kekayaan negara untuk membuncitkan perut-perut mereka yang durjana itu. Mereka berpakaian kemas dan segak, memiliki kekayaan yang tak ternilai, tinggal di istana-istana mewah jutaan ringgit, bijak dalam bermanis muka, pandai bermain kata-kata dan licik dalam melakukan pelbagai kemunafikan kepada rakyat. Semuanya demi kuasa, demi pangkat, demi mengaut habuan dunia sebanyak-banyaknya dan demi mengekalkan takhta. Inilah ‘jasa dan kebaikan’ pemerintah Kapitalis yang cuba menerangkan kepada rakyat bahawa Komunisme adalah satu ideologi yang bahaya dan mesti dihalang!

Islam -vs- Kapitalisme & Komunisme

Sejak Rasulullah SAW mula diutus, baginda telah mendakwahkan Islam sebagai sebuah ‘cara hidup’. Namun, oleh sebab Rasulullah dan umat Islam kala itu (semasa di Mekah) masih belum memiliki negara, maka Islam sebatas menjadi anutan secara individu dan secara berjemaah sahaja. Setelah tegaknya Daulah Islamiyyah di Madinah pada tanggal 1 Hijrah, maka deenul Islam telah muncul sebagai sebuah cara hidup dalam bentuk bernegara (pemerintahan). Bermula dari Madinah, Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang datangnya dari wahyu telah berjaya menguasai dunia selama lebih 1400 tahun dan menebarkan qiyadahnya hingga hampir dua per tiga dunia. Para Khalifah menjadi penjaga ideologi suci ini berkurun-kurun lamanya hinggalah akhirnya ia berjaya diruntuhkan oleh Mustafa Kamal laknatullah pada 1924 yang justeru terus menggantikan ideologi negara Turki kepada Kapitalis-sekular. Sejak itu hingga sekarang, maka sirnalah Islam sebagai sebuah ideologi yang pernah menerangi dunia. Sebelumnya, Islam sebagai suatu mabda’ yang mengandungi fikrah dan thariqah yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan umatnya mahupun manusia amnya, telah berjaya membawa suatu tamadun yang me‘manusia’kan manusia. Di sepanjang sejarah penerapan dan peradabannya, ideologi Islam membawa rahmat kepada seluruh alam - berbeza sama sekali dengan dua ideologi kufur (Kapitalis dan Komunis) buatan manusia yang kita saksikan pada hari ini.

Sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 1924, tidak ada lagi Negara Islam yang menerap dan mengembangkan ideologi Islam. Pemimpin umat Islam rata-ratanya memeluk ideologi Kapitalis, termasuklah Malaysia. Mereka menyeru agar kita menolak Komunisme, namun mereka merangkul erat ideologi Kapitalisme, dan dalam waktu yang sama mereka mengekang Islam habis-habisan. Jika ada gerakan Islam yang memuhasabah mereka untuk menegakkan agama Allah, maka para pemimpin Kapitalis ini tanpa peri kemanusiaan sedikit pun terus menghalang dan menangkap para pejuang Islam ini. Ideologi Kapitalisme seolah-olah menjadi sebuah ‘berhala’ sembahan mereka sehingga jika ada gerakan Islam yang membawa ideologi Islam untuk melawan kesesatan mereka itu, maka mereka akan menentangnya dengan sepenuh kekuatan. Mereka berkerja siang dan malam untuk mempertahankan ideologi kufur ini, walaupun realitinya kini Kapitalisme yang mereka ‘sembah’ itu semakin menyembah bumi dengan pelbagai krisis, kerosakan, kebatilan dan kezaliman yang dibawanya. Tidak ada fakta yang dapat menafikan bahawa kedua-dua ideologi kufur Komunis dan Kapitalis telah gagal untuk mensejahterakan umat Islam khususnya dan dunia amnya, malah kita sentiasa menyaksikan bagaimana umat Islam dan sebahagian besar manusia semakin menderita dan sengsara akibat kedua-duanya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Chin Peng mengakui bahawa dia adalah seorang penganut ideologi Komunis, namun seluruh pemimpin kaum Muslimin, termasuklah pemimpin kalian hari ini tidak pernah menyebut secara jelas hakikat bahawa mereka adalah pemeluk ideologi Kapitalisme yang hina ini. Hal ini adalah jauh lebih berbahaya. Mereka menghisap darah kalian, merampas harta kalian dan mengaut segala kekayaan kalian. Hasil bumi yang kalian miliki dirampas mereka, cukai-cukai yang haram dikenakan ke atas kalian, pendidikan sekular diajar kepada anak-anak kalian dan kalian terpaksa membayar untuknya. Rawatan kesihatan mereka jadikan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dari kalian. Keamanan untuk kita dan anak-anak kita banyak mereka abaikan, anak-anak kita diculik, dirogol dan dibunuh sedangkan mereka dan anak-anak mereka hidup mewah dikelilingi pengawal 24 jam. Ibu-ibu dan kakak-kakak kita menjadi mangsa ragut dan rogol, rumah kita dipecah dan dirompak, namun rumah mereka bak istana dan keluarga (kroni) mereka terjaga rapi. Saudaraku, inilah pemerintah berideologi Kapitalis yang berbicara kepada kita bahawa Komunisme adalah sebuah ideologi yang bahaya dan mesti ditolak!!!

Wahai kaum Muslimin! Bandingkanlah kejahatan dan kesesatan yang dibawa oleh Chin Peng dan kejahatan serta kesesatan yang dibawa oleh Lord Reid. Bayangkan selama lebih 50 tahun kalian diperintah dengan hukum kufur di bawah ‘kitab suci’ Lord Reid yang dipegang dan diterapkan oleh para pemimpin kalian sepenuh hati. Bagi para perajurit yang ingin membunuh Chin Peng, tidak terdetikkah di hati kalian untuk ‘membunuh’ ajaran Lord Reid, yang kerananyalah pemikiran kalian sudah terjajah selama 52 tahun, dan kerananyalah hukum Allah terhalang dari ditegakkan di bumi Malaysia ini? Tidakkah kalian sedar yang kuffar British memerintah bumi ini beratus tahun lamanya berbanding Komunisme yang hanya memerintah kalian dahulu selama 3 minggu, namun mereka (British) berjaya menjadikan kalian membenci ideologi Komunisme, namun sayangkan ideologi mereka, walhal ideologi mereka adalah lebih jahat dan lebih sesat dari Komunisme? Sesungguhnya Komunisme dan Kapitalisme adalah mabda’ kufur buatan manusia dan tidak layak untuk diambil, hanya Islamlah satu-satunya mabda’ yang datangnya dari Allah ‘Azza wa Jalla yang wajib dianuti oleh umat manusia dan dapat menyelamatkan manusia dari penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Dan mabda’ Islam akan pasti kembali memerintah dunia apabila Daulah Khilafah tertegak tidak lama lagi. Wallahu a’lam.
Last Updated on Thursday, 23 July 2009 19:33