Showing posts with label InsanIngatlah. Show all posts
Showing posts with label InsanIngatlah. Show all posts

Thursday, June 4, 2009

4 - BERIBADAT BAGAIKAN MATI AKAN MENJELANG ESOK HARI

Seluruh manusia mengetahui bahawa kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak siapa pun yang dapat mengandaikan dirnya akan hidup lama. Orang muda tidak boleh optimis bahawa dia akan hidup lama, kerana semua orang tahu kematian itu tidak bertarikh, bayi dalam kandungan pun menemui ajal sebelum dilahirkan, dan kesihatan yang dikawal rapi tidak akan memanjangkan usia seseorang.

Manusia tidak diberi ilmu untuk membongkar rahsia roh dan mati. Orang sering mengaitkan mati dengan sakit atau sesuatu tragedi, tetapi orang yang sihat pun mati. Justeru itu persoalan mati adalah urusan Allah Taala, sebagaiman yang dijelaskan oleh firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh, katakanlah : Roh itu termasuk urusan Tuhanku.”
(Surah al-Isra ayat 85)

Justeru itu soal roh adalah di dalam agenda atau jadual Allah Taala secara mutlak, ketika manakah Allah Taala hendak meniupkan kepada manusia, atau bilakah dia hendak mencabut roh dari jasad manusia, maka kesemuanya hak mutlak Allah Taala.

Oleh kerana mati itu datang tanpa memberi tahu terlebih dahulu, ia sepatutnya memberi pengajaran kepada manusia agar menggunakan masa sepenuhnya tanpa membazirkan umur walau sedetik. Tidak menangguhkan sebarang kerja atau kewajiban yang difardukan, kerana tidak pasti adakah nafas yang dihembuskan sebentar tadi akan dapat ditarik kembali, dan adakah hari esok masih ada untuknya.

Seorang ulama bernama Yazid ar-Raqash, suatu ketika beliau telah mengadakan sesi ucapan khas untuk dirinya sendiri, menasihati diri yang bererti menghitung diri. Beliau melakukan itu kerana sudah banyak kuliah dan khutbah yang diucapakan untuk menasihati orang lain, dan kali ini beliau mengkhususkan kuliah nasihat untuk dirinya sendiri. Di dalam ucapannya beliau telah mengemukakan suatu pertanyaan : “Wahai Yazid ar-Raqash,” ujarnya “Siapakah yang akan mengerjakan solat fardu bagi dirimu selepas kamu mati?”

Beliau mengemukakan soalan tersebut kepada dirinya, kerana beliau sedar bahawa solat yang dilakukan selama ini ibarat seorang murid yang memasuki ujian peperiksaan, tetapi keputusan ujian itu dirahsiakan. Bolehkah dia yakin bahawa dia lulus ujian? Semuanya menjadi teka-teki dan keputusannya hanya akan diketahui apabila catatan amal seseorang itu telah dibentangkan oleh Allah Taala pada hari hisab di padang mahsyar kelak.

Sebelum datangnya hari pendedahan segala amal itu, sudah tentu tidak seorang pun yang merasa pasti bahawa solatnya itu telah diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah yang terbaik, dia hanya mengharap solatnya itu diterima. Tetapi dia tidak tahu bagaimana nasib solat itu, sama ada ia telah dibawa ke langit oleh para malaikat yang bertugas dengan jaya atau sebaliknya. Adakah dapat melepasi pintu-pintu langit sehingga akhirnya sampai ke pangkuan Allah SWT. Ataukah solat itu telah dilontarkan oleh malaikat penjaga pintu langit disebabkan kecacatan yang terdapat di dalamnya?

Selain itu, tiada siapa pun yang dapat menjangka dia akan sampai kepada waktu solat yang berikutnya. Justeru itu, apabila masuk waktu solat fardu maka dia akan melakukannya sebagai solat yang terbaik, yang dilengkapi dengan rukun dan syarat-syaratnya, serta dengan khuryuk dan hati yang tertumpu ingatan hanya kepada Allah Taala.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menyebutkan : “Jadikan solat yang kamu dirikan itu sebagai solat yang terakhir dalam hidupmu.”

Mendirikan solat atau ibadah seolah-olah kematian akan datang menjelang esok hari, tentulah dilakukan sebaik-baiknya. Kerana apabila solat atau ibadah yang dilakukan itu cacat dan tidak memenuhi rukun serta syarat-syarat yang selayaknya, maka solat dan ibadah itu pasti ditolak oleh Allah Taala, dan tidak ada masa untuk memperbaikinya semula.

Apabila telah mati seseorang itu maka putuslah segala ikhtiar, solat yang cacat itu kekal dengan kecacatannya tanpa dapat diperbaiki lagi. Sebab itulah Yazid ar-Raqash bertanya pada dirinya sendiri : “Siapakah yang akan menggantikan solat yang cacat itu setelah kamu mati?” Jawabnya tentulah tidak ada siapa pun yang dapat melakukannya, melainkan dia bergantung harap kepada solat dan ibadah yang telah dilakukan sama ada cacat atau sempurna.

Oleh yang demikian apabila mati itu sentiasa berada di dalam ingatan, ia akan mendorong melakukan sesuatu ibadah dengan cermat dan khusyuk. Berusaha mencari punca-punca yang menghalang terjadinya khusyuk di dalam solat dan lain ibadah, mendalami ilmu yang berhubung dengan solat dan lain-lain ibadah, kerana melakukan ibadah tanpa ilmu akan sia-sia.

Antara perkara yang menghalang terjadinya khusyuk di dalam solat, antaranya ialah tidak memahami setiap perkataan atau kalimah yang diucapkan, sama ada lafaz yang wajib seperti bacaan fatihah dan lainnya. Mereka hanya menghafaz setiap kalimah yang terkandung di dalam solat, dan mengucapkannya setiap kali ibadah solat itu dilakukan.

Solat seperti itu tidak akan mencapai tingkatan khusyuk, kerana hati mereka tidak dapat menghayati maksud-maksud yang terkandung di dalam kalimah-kalimah yang diucapkan. Kalimah itu dibacanya sekadar memenuhi syarat atau rukun yang ditetapkan oleh ilmu fiqh, sedangkan segala pengertian yang terkandung di dalam setiap bacaan di dalam solat itulah yang akan menambat hati serta ingatan seseorang yang sedang mendirikan solat.

Solat yang dilakukan dalam keadaan tidak memahami bacaan yang diucapkan, adalah ibadah hanya pada zahirnya sahaja, sedang pada batinnya tidak mencapai khusyuk.

Walau bagaimanapun solat yang khusyuk tidak bergantung kepada memahami makna bacaan semata-mata, hanya bangsa Arab sajalah yang boleh mencapai khusyuk, kerana bahasa di dalam solat itu adalah bahasa mereka. Jika begitu adakah orang Arab sahaja yang masuk syurga? Tetapi kita yakin bahawa ada orang Arab yang masuk syurga dan tidak sedikit pula yang masuk neraka.

Oleh yang demikian semua orang Islam tidak kira Arab atau ‘Ajam mesti memahami setiap perkataan yang diucapkan di dalam solat mereka, supaya hati mereka terikat dengan maksud perkataan yang dituturkan oleh lidah mereka. Apabila hati terikat dengan makna bacaan, maka tidak ada peluang untuk hati lalai merayau merata-rata sehingga tidak lagi mengingati Allah SWT, sedangkan di antara tujuan solat itu ialah untuk mengingati Allah Taala.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”
(Surah Tohaa ayat 14)

Bagi orang yang berharap agar solat mereka diterima oleh Allah SWT, maka sewajarnya sentiasa meningkatkan ilmu sehingga dapat memahami dan menghayati semua makna ayat serta kalimah yang diucapkan di dalam solat, bagi membantu mencapai khusyuk itu. Lebih-lebih lagi bangsa ‘Ajam yang begitu asing dengan bahasa Arab.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun ayat 1-2)


Justeru itu solat yang khusyuk itu adalah suatu urusan yang besar bagi orang beriman, mereka tidak mungkin mendakwa boleh mencapai khusyuk tanpa mengetahui makna bacaan dalam solat.

Suatu ketika Rasulullah SAW memberitahu para sahabat, sekiranya di antara mereka ada yang boleh melakukan solat dengan khusyuk dan megingati Allah dari awal hingga akhir, maka Rasulullah akan memberi mereka sehelai baju. Tiba-tiba Sayidina Ali mengaku dapat melakukannya, sayangnya apabila Sayidina Ali mendirikan solat, lalu hatinya berkata : “Alangkah baiknya jika Rasulullah boleh memberinya dua helai baju.”

Jika Sayidina Ali sebagai sepupu Nabi dan juga pembantunya yang pernah dikhabarkan bahawa beliau adalah pintu ilmu dan Nabi sebagai gedungnya, namun masih terdapat gangguan di dalam solatnya, maka apakah yang boleh menjamin bagi bangsa ‘Ajam yang tidak menguasai bahasa Arab dan kurang berilmu itu akan mencapai khusyuk dengan mudah di dalam solat mereka?

3 - HINDAR KEMUNGKARAN DENGAN ZIKRUL MAUT

Seorang pemandu kenderaan yang cermat pasti menjaga ciri-ciri keselamatan, bukan sekadar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya, malah dia juga tidak lupa meneliti kenderaan sebelum memandunya. Sekalipun enjin dalam keadaan baik, namun mereka belum boleh berpuas hati sebelum meneliti lain-lain peralatan penting. Di antara perkara utama ialah memastikan sama ada brek dalam keadaan baik, kerana brek merupakan perkara utama untuk menjamin keselamatan di jalan raya.

Begitulah juga dalam kehidupan manusia memerlukan ciri-ciri keselamatan, bagi menjamin keselamatan hidup manusia di dunia dan terutamanya ialah keselamatan hidup di akhirat. Seperti kenderaan tadi, manusia juga selain dia tidak lalai dan sentiasa waspada dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba, dia juga mesti mempunyai brek bagi memastikan dirinya tidak terbabas sehingga melampaui batas-batas Allah Taala.

Apakah sebenarnya brek bagi manusia agar mereka tidak terbabas dan merempuh perkara yang dilarang atau diharamakan oleh Allah Taala? Sesungguhnya yang berfungsi sebagai brek bagi manusia itu banyak, yang terutama ialah keimanan terhadap Allah SWT dan hari akhirat.

Keimanan itu tidak subur dengan sendirinya, kecuali dibaja dengan ilmu agama yang berteraskan wahyu Allah Taala yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Teruatamanya ilmu tauhid atau aqidah yang dapat mengEsakan Allah Taala dan juga ilmu yang mencakupi bidang syariat sebagai panduan hidup untuk mengabdi diri kepada Allah dan hubungan sesama insan.

Dengan segala ilmu yang berteraskan wahyu Ilahi itu dapatlah manusia menjaga peradaban hidup mereka, serta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT melalui solat yang penuh khusyuk, kerana solat yang khusyuk itu berperanan mencegah manusia dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah (solat) lebih besar (keutamaannya dari ibadat yang lain).”
(Surah al-Ankabut ayat 45)

Selain itu perkara yang berfungsi sebagai brek dalam hidup manusia ialah ‘zikrul maut’ atau mengingati mati. Sesungguhnya mengingati mati itu akan memberi ruang yang banyak untuk manusia menghadapkan wajah hati dan ingatan mereka kepada akhirat. Pandangan orang-orang yang beriman itu amat jauh, kerana mereka tidak sekadar melihat dengan mata kepalanya, tetapi yang lebih penting ialah melihat dengan pandangan mata hati. Mata hati mampu melihat tidak sekadar melihat kehidupan di duniawi, malah pandangannya menjangkau ke akhirat, sesuai dengan keyakinannya bahawa kehidupan yang lebih panjang bagi manusia ialah di akhirat.

Bagi orang yang lalai dari mengingati mati boleh disimpulkan bahawa mereka tidak pernah mengambil masa walau sedikitpun untuk mengingat atau memikirkan akhirat, inilah yang menyebabkan mereka khayal dan lalai dengan kesenangan dan kelazatan hidup di dunia.

Kehidupan manusia di dunia ini hanya menempuh dua keadaan, iaitu sama ada susah ataupun senang, kesenangan bagi orang yang tidak bersyukur ada kalanya melalaikan manusia dari mengingati Allah Taala dan juga mengingati mati, tetapi apabila menghadapai kesusahan dan penderitaan hidup kadang kala manusia berputus asa lalu mereka merasakan mati lebih baik ketika itu. Persoalannya adakah mereka mempunyai persiapan untuk menghadapi mati? Jika tidak, bagaiman mereka tahu bahawa mati itu lebih baik bagi mereka?

Mengingati mati dalam keadaan susah dan senang itu amat besar faedahnya. Sekiranya berada dalam kehidupan yang susah dan menderita, tidaklah mereka merasakan bahawa penderitaannya itu terlalu berat jika dibandingkan dengan detik-detik menghadapi mati yang dasyat, suatu detik yang penuh cemas dan kesakitan. Bukan sekadar sakit disebabkan nyawa dicabut keluar dari badan, tetapi ia adalah saat-saat penentu yang amat digeruni oleh semua manusia, sama ada dia akan beroleh husnul khatimah (kesudahan yang baik) atau su-ul khatimah (kesudahan yang buruk).

Dengan mengingati saat-saat roh dicabut oleh malaikat maut, dengan kesakitan bagaikan disiat kulit hidup-hidup, maka apalah sebenarnya penderitaan dan kesakitan hidup di dunia ini. Apakah lagi jika mengingati kesengsaraan di hari mahsyar dan azab neraka yang bakal menimpa orang-orang yang ingkar, maka kesengsaraan di dunia yang singkat ini bukanlah bandingan. Justeru, dengan mengingati mati dan mengingati persoalan sesudah mati iaitu di alam barzakh dan juga alam akhirat itu akan meringankan beban derita yang ditanggung di dunia ini.

Sekiranya seseorang itu hidup senang dengan kekayaan yang melimpah, maka kesenangan yang dirasai itu tidak akan mempesonakan dan merasa terlalu berbangga dengannya. Kerana ia sekadar kesenangan bagaikan setitik embun di hujung daun yang akan gugugr dan hilang dalam sekelip mata. Kebahagiaan dan kesenangan di dunia adalah kesenangan yang tidak kekal jika dibandingkan dengan kesenangan selepas mati bagi orang-orang beriman yang mendapat rahmat Allah SWT.

Justeru, walau bagaiman besar penderitaan yang ditanggung di dunia ini, namun kesengsaraan itu pasti ada penghujungnya, penamat kepada penderitaan itu ialah mati. Jika seseorang itu ingat akan mati, malah semua yang bernafas juga akan menemui kematian, dia sedar bahawa bukan dia sahaja yang akan mati, tetapi orang lainpun mati juga, dengan itu akan ringanlah beban yang ditanggungnya kerana dia tahu bahawa kematian pasti mengakhiri kesulitan hidup yang ditanggung selama ini. Walau bagaimanapun mereka juga sedar bahawa kematian adalah permulaan kepada suatu kehidupan yang abadi.

Selain itu disebabkan kesabaran menghadapi ujian kepayahan hidup serta keimanan yang sentiasa disuburkan dengan amal dan ketaqwaan, maka dia penuh yakin bahawa kesengsaraan di dunia ini hanya sekadar kulit dari kesengsaraan yang sebenar. Di samping itu dia tetap bersangka baik kepada Allah SWT, bahawa kematian itu adalah satu permulaan ‘sa’adah atau kebahagiaan yang sebenar baginya.

Sentiasa dia berharap semoga tidak menempuh kesengsaraan di akhirat kerana sepanjang dia mengingati mati, menyebabkan dia sentiasa berusaha melakukan ketaatan dan menjauhi apa yang dibenci Allah SWT agar terhindar dari menempuh kesengsaraan akhirat yang tempohnya terlalu panjang serta tiada peluang untuk melakukan sebarang ikhtiar bagi mengurangkan penderitaan tersebut walaupun sedikit.

Kehidupan yang dipenuhi dengan kesenangan ada kalanya meninggalkan kesan yang buruk terhadap martabat keimanan seseorang, selain dia leka dengan kesenangan itu bererti dia tidak pernah menempuh ujian. Ibarat emas yang belum dibakar, belum diketahui ketulenannya, demikian juga keimanan yang tidak pernah teruji, dikhuatiri akan gagal apabila ditimpa ujian yang berat.

Justeru itu, kita temui sepanjang sejarah para nabi dan rasul a.s. dipenuhi dengan berbagai-bagai ujian yang berat, mereka diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan hidup, diuji dengan penentangan dan ancamana maut dari kaumnya, dipulau oleh kaum kerabat mereka, diusir dan diperangi, dicaci dan dinista. Kesemua itu merupakan ujian yang didatangi oleh Allah SWT terhadap mereka, untuk menjadi pengajaran kepada sekalian umat para nabi dan rasul itu agar mengambil iktibar bahawa kehidupan orang yang beriman itu pasti akan menghadapi ujian.

Ujian dari Allah SWT itu berdasarkan iman seseorang, oleh kerana orang yang mempunyai keimanan yang unggul adalah terdiri dari para rasul dan nabi-nabi juga Siddiqin, maka merekalah golongan yang banyak menerima ujian dari Allah SWT.

Bagaimanapun mereka adalah golongan yang sentiasa mengingati mati dan hatinya sentiasa menghadap ke alam akhirat, maka semua ujian dan ancaman itu hanyalah asam garam yang akan melazatkan lagi kehidupan mereka di akhirat.

Sebaliknya kesenangan bagi orang yang lalai dari memikirkan hidup selepas mati, hanyalah ibarat sebiji pisang di dalam perangkap yang menyebabkan musang akan terperangkap hanya dengan sebutir pisang itu.

Justeru itu, kesusahan dan kesenangan itu kedua-duanya berguna kepada orang yang beriman yang sentiasa mengingati mati. Kesusahan yang ditimpakan kepadanya tidak menyebabkan dia keluh kesah, kerana dia sedar bahawa kesusahan itu tidaklah seberapa jika dibandingkan kesengsaraan di akhirat yang akan ditanggung oleh mereka yang lalai.

Kesenangan dan kekayaan juga tetap berguna kepada orang yang beriman yang sentiasa ingat akan mati, kerana sudah tentu mereka mencari kekayaan itu melalui cara-cara yang diredai oleh Allah SWT, serta dia menggunakan kekayaan itu untuk berbakti kepada Allah SWT bagi mencari keredhaan-Nya. Mengingati mati adalah ubat yang paling mujarab bagi manusia menghindarkan diri dari lalai, dan juga perisai yang kukuh bagi keimanan seseorang itu.

2 - MANUSIA CERDIK IALAH MEREKA YANG MENGINGATI MATI

Tidak seorang pun yang sudi digolongkan sebagai orang yang jahil atau bebal, sebaliknya masing-masing ingin dipandang sebagai orang yang bijak dan cerdik. Sekalipun mereka tidak berusaha untuk melayakkan dirinya untuk digolongkan sebagai manusia bijak dan cerdik, malah tidak kurang juga orang yang berlagak bijak meskipun dia sebenarnya sebaliknya.

Ada orang yang mengukur kebijaksanaan seseorang itu berdasarkan ijazah yang dimiliki kerana orang yang lulus dalam sesuatu peperiksaan hingga melayakkan mereka menerima ijazah itu adalah bukti bahawa dia seorang yang bijak. Sijahil adalah mustahil untuk mencapai segulung ijazah kecuali dia telah berusaha membuang kejahilannya dengan belajar bersungguh-sungguh.

Tidak dinafikan orang yang memiliki ijazah adalah orang yang bijak, tetapi tidak pula bererti orang yang tidak memiliki ijazah itu tidak bijak kerana jika ditinjau dari kacamata Islam bahawa orang yang beriman itu lebih bijak dari orang yang beriman. Orang yang beriman dianggap bijak oleh Islam kerana mereka mengetahui tentang Allah yg Maha Esa, mengetahui rahsia disebalik alam barzakh dan seterusnya mengetahui alam akhirat dengan segala peristiwa Mahsyar, as-Sur (tetuang sangkakala), al-Mizan (timbangan amal), as-Shirot (titian ke syurga), an-Nar(neraka) dan al-Jannah (syurga).

Orang mukmin yang sebenar adalah mengetahui setiap perkara yang diimani dan diyakini, kerana itu mereka dianggap bijak oleh kerana mengetahui seseuatu yang belum pernah dilihat oleh mata zahirnya, khususnya mengenai kehidupan selepas mati iaitu alam barzakh dan alam akhirat. Sedangkan orang yang tidak beriman itu melihat kematian seolah-olah suatu noktah bagi setiap kehidupan, mereka tidak yakin adanya kehidupan selepas mati.

Justeru ia telah meletakkan orang yang beriman lebih bijak dan lebih baik dari orang yang tidak beriman, namun demikian tahap kebijaksanaan dan kebaikan di kalangan orang-orang yang beriman mempunyai peringkat, ada yang kurang ada yang lebih, bergantung kepada keilmuan sejauh mana ia diamalkan dan sejauh mana keikhlasan, kerana amal yang didasarkan kepada ilmu itu sebenarnya yang membuahkan keimanan.

Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma berkata, bahawa ketika dia sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW lalu datang seorang lelaki memberi salam dan bertanya kepada Rasulullah : “Siapakah yang lebih utama (lebih baik) di kalangan orang yang beriman?” Jawab Rasulullah SAW : “Orang yang lebih baik di kalangan orang beriman ialah mereka yang berakhlak mulia.”

Kemudian lelaki itu bertnaya lagi : “Siapakah orang yang paling cerdik di kalangan orang yang beriman?” Jawab Nabi SAW : “Orang yang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapai mati.”

Demikianlah ukuran cerdik pada pandangan Islam jauh berbeza dengan tanggapan manusia ramai, kerana manusia ramai mengukur kecerdikan itu berdasarkan pencapaian mereka dalam akademik, serta kepakaran dalam cabang ilmu pengetahuan, termasuk juga para pengkaji dan saintis yang berjaya menghasilkan ciptaan baru dalam dunia teknologi canggih. Walaupun Islam tidak menafikan cabanag-cabang ilmu tersebut, tetapi ia hanya akan lebih bernilai jika ia dapat membantu mempertingkatkan keimanan seseorang terhadap Allah Taala dan juga alam akhirat.

Islam melihat dari sudut tersendiri iaitu kecerdikan berdasar kepada kemampuan menggunakan ilmu, untuk melihat rahsia yang tersembunyi di alam ghaib selepas mati. Lantaran itu orang yang sentiasa mengingati mati akan lebih memahami kehidupan sebenar di alam kubur iaitu alam perantara, di antara alam dunia dan alam akhirat.

Orang yang banyak mengingati mati bererti akan sentiasa mengawasi diri dari melakukan dosa, kerana dosa akan membawa akibat buruk di alam barzakh dan lebih–lebih lagi di akhirat. Setiap apa yang dilakukan akan sentiasa merujuk terlebih dahulu kepada hukum Allah Taala, bukan seperti pepatah melayu ‘tepuk dada tanya selera’ yang membawa erti hidup di bawah dorongan nafsu. Sebalinya orang yang sentiasa mengingati mati itu akan sentiasa bertanya imannya sendiri, iaitu ‘tepuk dada tanya iman’.

Jika dia seorang ketua rumahtangga, dia tidak akan lalai daripada tangungjawabnya, memimpin anak-anak dan isteri menurut petunjuk iman. Dengan itu wujudlah tarbiyah Islam dan suasana rumahtangga terpancar nur Islam.

Begitu juga jika dia seorang peniaga yang sentiasa mengingati mati, nescaya dia akan menjadi peniaga yang jujur. Tidak mengecoh atau menipu dalam sukatan, tidak menyembunyikan kecacatan barangan yang diniagakan, tidak menindas pengguna dgn mengambil keuntungan berlebihan, tidak menyorokkan barang keperluan umum semata-mata kerana hendak melambungkan harga bagi meraih keuntungan yang berlipat ganda.

Apatah pula jika dia seorang pemimpin negara, andainya dia tidak sentiasa mengingati mati atau tidak beriman dengan Allah Taala, nescaya tiada alasan untuk pemimpin tersebut bagi melaksanakan hukum Allah SWT, sebaliknya dia akan menggunakan kekuasaan untuk memuaskan nafsu bagi mengaut kekayaan dari harta negara dengan memperalatkan kekuasaan yang dimiliki, untuk kepentingan diri dan kelompoknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Peniaga yang amanah akan bersama para malaikat yang mulia di akhirat kelak.” Dan pada hadith yang lain disebut: “Peniaga yang amanah akan bersamaku (Rasulullah) di dalam syurga.”

Natijah dari banyak mengingati mati itu akan melahirkan manusia yang berdisiplin tinggi, berakhlak mulia, tidak gentar menghadapi ancaman manusia, kerana dia tidak takut selain kepada Allah Taala. Dia berani menyatakan kebenaran meskipun seorang diri, kerana kebenaran itu adalah dari Allah Taala, justeru tidak ada sesuatu yang meragukan dia.

Orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa berusaha menambahkan ilmu terutamanya tentang ilmu yang berhubung dengan Allah Taala, kerana asas kepada keimanan ialah ilmu. Sebab itulah Allah Taala berjanji akan mengangkat darjat orang berilmu sebagaimana firman-Allah SWT:

Yang bermaksud:
“Nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(surah al-Mujadilah ayat 11)


Allah Taala mengangkat darjat orang beriman dan berilmu pengetahuan kerana mereka mempuanyai asas yang kukuh untuk unggul ketakwaannya, bedasarkan bahawa hati mereka sentiasa mengingati mati, sangat sensitif terhadap suruhan dan larangan Allah, tidak mungkin mereka akan melanggar larangan Allah Taala, kerana meninggalkan kefardhuan dan melakukan kejahatan akan menyulitkan kehidupannya di alam barzakh dan di akhirat. Mereka sentiasa gementar hatinya terhadap ancaman Allah.seperti firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.”
(surah Faathir ayat 28).


Mengingati mati tidak akan menimbulkan kesan yang pasif atau negatif, sebagaimana anggapan setengah golongan orang yang tidak memahami hikmah di sebalik zikrul maut itu. Ramai orang jahil berkata, jika asyik ingat mati nescaya tidak akan membangun. Anggapan itu amat keliru kerana pembangunan masyarakat manusia tidak hanya pembangunan benda, kerana pembangunan benda tanpa pembangunan jiwa atau rohani pasti akan hancur binasa.

Dunia menyaksikan betapa kemajuan benda yang dihasilkan oleh kepakaran manusia, kemudiannya dihancurkan oleh tangan manusia sendiri. Los Angeles sebuah bandaraya di Amerika musnah menjadi abu apabila manusia merusuh, ekoran daripada rasa tidak puas hati terhadap sistem perundangan yang tidak menghasilkan keadilan seperti yang mereka harapkan, khususnya ketika membicarakan kes Rodny King.

Demikianlah nasib sebuah kotaraya yang disuburkan dengan tamadun kekufuran, akibat sistem perundangan ciptaan manusia yang tidak berteraskan wahyu Ilahi, tanpa iman kepada Allah Taala, tiada kepercayaan kepada hari pembalasan, sebab itulah perundangan mereka tidak menjanjikan keadilan.
Andainya manusia membangun kebendaan dan kemudiannya tangan mereka sendiri pula yang meruntuhnya, sudah nyata mereka bukan golongan yang cerdik. Justeru orang yang bodoh dan dangkal sahaja yang membina tamadun benda semata-mata yang tidak menjanjikan kebahagiaan, sebaliknya untuk mewarisi kesengsaraan.

Mengingati mati akan melunakkan hati yang keras, serta menjinakkan nafsu yang ganas, umpama seekor harimau yang hilang garangnya apabila tali tas atau tali cemeti dipecutkan di hadapannya.

Apabila nafsu yang ganas ditundukkan, maka akan bertambah mudahlah usaha untuk membuat persiapan dan bekalan bagi menghadapi kehidupan abadi selepas mati. Justeru nafsu yang ganas itulah yang selama ini menjadi penghalang, hendak menderma untuk kebajikan atau perjuangan menegakkan kalimah Allah tidak lagi keberatan kerana sifat bakhil yang didalangi oleh nafsu sudah ditundukkan.

Orang yang tidak pernah mengingati mati adalah orang yang dangkal ilmu pengetahuan dan lemah, terutama dalam aspek kerohanian. Golongan tersebut sering menjadi tunggangan kepada nafsunya sendiri, hidup dalam suasana lalai dan terpesona dengan kelazatan dunia yang bersifat sementara, sedangkan kesenangan akhirat itulah yang kekal. Jika ada manusia yang tidak memilih kebahagiaan yang kekal, nescaya mereka itu adalah terdiri daripada orang-orang yang dungu.

1 - ‘MATI’ SUATU PERINGATAN BERHARGA

RASULULLAH S.A.W. mengakui bahawa umat manusia mempunyai banyak kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak sepi dari sifat lalai dan lupa. Justeru insan amat memerlukan bimbingan dan peringatan, kerananyalah Allah Taala telah mengutuskan para rasul a.s. bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yg diperlukan oleh manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat manusia seperti yang disebut di atas.

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”
[Surah Adz-Dzariat, ayat 55].

Lantaran para rasul itu sebagai penerima wahyu yang mengandungi petunjuk dan peringatan, maka manusia perlu mendampinginya dan beriman dengannya, kerana pertunjuk dan juga peringatan dari wahyu Allah itu hanya akan berguna kepada mereka yang beriman sahaja, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat 55 surah Adz-Dzariat itu.

Petunjuk dan peringatan wahyu dari Allah itu laksana air yang akan menyuburkan tanaman, air akan mendatangkan faedah hanya kepada tanah yang subur, jika air disiram ke atas batu pejal pasti tidak mendatangkan sebarang kesan. Demikian juga petunjuk dan peringatan Allah SWT, ia akan berguna apabila segala nasihat dan peringatan itu jatuh ke lembah hati yang lembut. Hati yang keras sama dengan batu pejal yang tidak mungkin dapat manfaat dari petunjuk dan peringatan wahyu itu.

Batu pejal terlalu keras tetapi hati yang keras adakalanya lebih keras dari batu yang pejal, batu yang keras lama kelamaan akan lekuk jika dititis air terus menerus, tetapi hati yang keras kadangkala tidak mendapat manfaat dari kehadiran para rasul a.s., sekalipun rasul itu didatangkan dari kaum keluarganya sendiri sebagaimana firaun tidak mendapat faedah dari kenabian Musa a.s. walaupun Nabi Allah itu dibesarkan di dalam istana firaun sendiri. Begitu juga Abu Jahal walaupun Nabi Muhammad dari kaum kerabatnya sendiri namun hati Abu Jahal tetap berkeras dan menolak wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Hati memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang, sama ada ia akan menjadi insan yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam diri seseorang itu ada seketul daging, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Hati manusia telah dicipta oleh Allah Taala mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat ‘mahmudah’, seperti sifat lemah lembut, sabar, insaf, simpati, pemurah, penyayang, belas kasihan dan seumpamanya. Bagaimanapun ia perlu diasuh dengan bersungguh-sungguh untuk menyubur dan merawat sifat-sifat mahmudah itu, kerana hati manusia itu sering menjadi sasaran makhluk jahat iaitu iblis. Jika dibiarkan makhluk jahat itu menguasai hati, pasti hati akan rosak binasa, jika hati sudah rosak maka rosaklah seluruh anggota sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. itu.

Hati boleh dipimpin dan disedarkan hanya dengan ilmu yang berteraskan wahyu, kerana hanya ilmu tersebut sahaja yang bersumberkan tauhid iman dan akidah. Tanpa wahyu Allah Taala pasti manusia tidak akan mengetahui hal-hal yang abstrak iaitu perkara-perkara ghaib, seperti rahsia di sebalik kematian, alam barzakh dan juga hari qiamat.

Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidup dan dibangkitkan semula, mereka akan menghadapi satu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan diikuti babak peristiwa alam barzakh, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi ahli syurga atau neraka.

Peristiwa alam barzakh bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai, sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang engkar yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzakh itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar akan dirasai ketika di mahsyar kelak.

Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati itu, maka tidak dapat tidak manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam barzakh dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut,maka tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak dalam mimpi ngeri.

Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya hari Mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut untuk mencabut nyawanya, kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.

Saidina Ali r.a. pernah berkata “sesungguhnya manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya.” Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur lena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.

Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan diingatinya. Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.

“Apakah anda hendak mengambil nyawaku?” tanya Nabi Ibrahim kepada Izrael,

“Benar,” jawab malaikat maut.

“Tidakkah engkau tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah) yang selalu didampingi dan mendampingi-Nya? Adakah munasabah seorang kekasih hendak mengambil nyawa kekasihnya?”

Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat maut pun berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Justeru dengan kematian itu, bererti Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya.” Dengan penjelasan malaikat maut itu maka Nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya “hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan kelazatan hidup,” bertanya Abu Hurairah “apakah yang boleh meleburkan kelazatan hidup itu?” jawab Rasulullah “zikrulmaut” iaitu mengingati akan mati.

Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan, kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orang akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur. Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan kematian.

Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka akan mati. Justeru kematian adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak akan disudahi dengan kematian.

Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan jika tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas dia pun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.

Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, si pulan telah mati dan si anu sudah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?

Justeru, mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.